Ayah Lelaki Berangin

Assalammualaikum, pertama sekali terima kasih sebab beri peluang untuk berkongsi cerita dengan para pembaca. Shyy itu nama panggilanku. Tujuan shyy menulis kisah ini bukan untuk mengaibkan sesiapa mahupun diri sendiri tapi untuk dijadikan sebagai pengalaman yang menjadi pengajaran pada masa hadapan. Ayah shyy seorang yang kuat “berangin”, ada kalanya dia akan menjadi sangat happy-go-lucky suka bergurau tapi pada satu tahap dia akan melenting dan menengking. Selama 12 tahun iaitu dari umur 8 tahun shyy pendam segala masalah shyy daripada ayah shyy.

Dalam fikiran ayah mungkin dia hanya mahukan anak-anak dia dapat banyak A dalam peperiksaan besar, tak kiralah yang penting mesti dia akan tanya “along dapat berapa A? apa yang A?”. Ya, lumrah semua ibubapa nak anak dia dapat banyak A kononnya itulah tanda orang yang berjaya. Anda tidak tahu dan mungkin tak faham bahawa betapa susahnya seorang anak nak belajar dengan menggalas beban harapan ibubapa. Niat belajar yang sepatutnya diletakkan kerana Allah kini hanyalah semata-mata nak banggakan ibubapa. Hilang keberkatan hilang niat ikhlas. Jangan tanya kenapa mereka gagal.

Oleh kerana ayah selalu menekankan “A yang banyak” itu penting, maka shyy berjuang sendiri tanpa dia tahu pun selama 4 tahun shyy dibuli, dipulaukan di sekolah. Hari-hari kena baling sampah, sampah bawah meja, tapak kasut atas kerusi, kena sindir, nak pergi solat pun kena baling sampah(sekolah petang). Tapi, apa yang ayah nampak hanya senyuman shyy setiap hari dia balik. Shyy nak beritahu dia yang shyy nak pindah sekolah tapi shyy diam sebab taknak susahkan dia. Shy faham dia sibuk dengan kerja dan waktu untuk kami berbual pun lepas siaran berita. Berbual pun tentang apa je.

Pernah juga shyy kurung diri dalam bilik setiap kali dia balik kerja shyy takkan keluar kecuali untuk pergi tandas. Sebulan shyy tak bertegur dengan dia sampai dia tanya “baru sebulan ni nak berapa lama lagi taknak tegur?” Maaf shyy bukan anak yang baik tapi shyy juga ada perasaan, teringin nak cakap dengan ayah yang shyy sayang ayah sangat-sangat. Betullah ada yang kata “nak cakap pun susah” sebab tak tahu nak cakap macam mana, nak mula macam mana. Terlalu banyak perkara yang shyy nak kata tapi takut ayah terasa dan seperti anak kurang ajar.

Sekarang ni, shyy nak final exam semester 3 tahun 2. Sepatutnya, ayah bagi kata-kata semangat, tapi apa yang ayah buat? Ayah menengking shyy disebabkan shyy tak dapat download lagu yang ayah nak, rasanya boleh je nak cakap elok-elok. Shyy faham ayah makin tua ayah penat. Shyy harap ayah dapat tunggu lagi berapa tahun je nak habis ijazah ni. Shyy tahu harapan ayah tinggi sangat sebab shyy anak pertama, satu-satunya anak perempuan yang dia ada, tapi ayah.. shyy pun ada perasaan. Boleh tak sekali je seumur hidup ayah tanya shyy “apa yang along nak? kenapa along sedih?”.

Shyy cuma nak ayah tanya “kenapa along stress ni, janganlah stress ayah kan ada. Gembirakan lah diri tuh” tapi setiap kali kalau shyy balik rumah dari matriks sampailah dah masuk U mesti ayah tanya, “agak-agak berapa pointer along target? subjek apa yang boleh dapat A? belajar semua ok je kan? takde masalah kan?”. Ayah tahu susah along nak jawab semua soalan tuh sebab ayah tak nampak along bangun 3 pagi belajar tak tidur dah lepastuh, saat semua orang lena tidur tapi along berjaga. Pernah tak ayah fikir apa perasaan along lepas usaha macam tuh tapi tak dapat apa yang ayah nak?

Boleh tak setiap kali soalan yang ayah nak tanya tuh ayah fikir dulu? Shyy susah nak tipu ayah tapi shyy kuatkan semangat shyy untuk usaha lebih demi tunaikan harapan ayah. Shyy nak luahkan segala beban yang terbuku tapi tak tahu kepada siapa hanya tangisan selepas solat sahaja yang mampu shyy buat. Hari ni, ayah masih marah dan apa yang ayah buat malam tadi? Dua kali ayah tengking shyy sedangkan ayah nampak shyy sedang belajar. Ayah, along nak final exam. Tolonglah jaga perasaan shyy walaupun sekali. Cuma sekali.

Shyy tahu ayah rindu nak berbual tapi kenapa bila shyy balik mesti ayah macam ni? Shyy ni nampak macam musuh ayah ke? Shyy tahu shyy anak yang degil, keras kepala tapi ayah tanya tak kenapa shyy jadi macam ni? Ayah tak pernah beri ruang untuk shyy bersuara. nak bersuara?? hmmm entah kena tengking agaknya. Kalau dalam telefon pun, nada suara ayah sentiasa keras, itu sahaja kah nada suara yang ayah boleh mesrakan? Ayah pernah tanya “kalau telefon je nak cakap dengan mak, kenapa taknak cakap dengan ayah?”… sebab shyy pujuk hati…

Ayah, shyy bukannya mesin kejayaan untuk ayah. Walaupun ayah ada masalah di tempat kerja tolonglah jangan bawa rasa marah tuh sampai rumah. Shyy tak buat apapun ayah. Shyy cuma membatukan diri dan belajar. Shyy sayang ayah shyy hormat ayah tapi boleh tak ayah hormat perasaan shyy juga? Shyy ni seorang manusia yang berbinti kan nama ayah, ada hati dan perasaan, ada harapan dan impian sama seperti ayah. Shyy faham ayah juga tak sempurna tapi hormatlah orang yang sayangkan ayah.

Ayah, bagi shyy ayah tetap hero dan ayah dah jalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan baik. Shyy faham amanah Allah itu berat. Shyy doakan ayah dapat kawal emosi, amarah dan stress ayah tuh. Shyy kan anak ayah mestilah shyy sayang ayah tapi shyy harap ayah kurangkanlah tekanan ayah tuh, ayah kan ada darah tinggi. Shyy taknak ayah sakit. Ayah, tolong hidup dengan gembira.

Lagi satu, tolong jangan sesuka hati marah shyy, mak, angah, acik atau sesiapapun depan orang ramai. Kami ni malu tahu bila ayah tinggikan suara depan orang. Ayah tak rasa malu? Kami pun ada maruah juga, bukannya kami je yang patut jaga maruah ayah tapi ayah pun kena jaga maruah kami juga. Kalau ya pun nak marah nak membebel tolonglah tahan dan lepaskan bila kt rumah. Benda kecil pun nak marah, shyy tak faham dengan ayah ni. stress dengan belajar stress dengan ayah ya tuhann stressnya…..

Mesti ada pembaca yang tak faham dengan cerita ni tapi apa yang shyy nak kongsikan cuma jangan jadikan anak kalian sebagai mesin kejayaan, sebagai ibubapa kalau nak anak jadi baik tunjuklah contoh yang baik2, faham isi hati anak jangan harap anak je nak faham ibubapa. Lagi, harapan tuh harapan kalau sampai jadi beban then anak pun tak gembira, merana itu kah yang ibubapa nak lihat dalam seorang anak? Tanya pada diri anak ni sebagai apa? Penyambung impian, cerminan diri atau orang yang bawa kalian masuk syurga? Anak bukan hamba anak itu anugerah Allah. Tolong faham semula apa erti anugerah Allah. Kalau nak marah ke apa ingat orang lain pun ada perasaan jangan sesuka je nak lepaskan, apa kalian fikir kalian sahaja punya marah?

Anak…. “anak itu seperti kain putih yang ibubapanya sebagai pencorak, maka tentukanlah seperti apa kau mahu corakkan”….. jangan salahkan anak jika mereka liar mungkin kalian terlepas pandang, mungkin kalian lepas tangan, tatap wajah mereka dan ucap terima kasih. mereka juga perlu dihargai. Mereka hamba Allah bukan hamba kalian…. akhir kata Assalammualaikum….

– Shyy

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit