Ayah, Pimpinlah Kami Ke Syurga

Assalamualaikum semua warga IIUM Confession. Terima kasih banyak kalau admin siarkan confession saya ni.

Saya hanya inginkan doa kalian dan semangat untuk diri saya dan keluarga. Maaf kalau cerita panjang dan ayat sedikit berterabur sebab tak berapa pandai nak mengarang. Harap pembaca memahami.

Ayah… Tajuk confession saya berkaitan dengan ayah saya. Dulu saya sangat inginkan seorang sosok ayah yang pergi ke masjid taat kepada Allah sehingga ke hari ini tidak pernah jemu berdoa, tidak pernah jemu memujuk rasa.

Walau susah untuk kami sekeluarga “bentuk” ayah kami semula tetap kami berusaha kerana tahu Allah yang Maha Esa membolak balik hati hambaNya.

Ayah dari zaman saya kecik lagi memang “culas” mengerjakan solat. Hampir semua 5 solat wajib tidak dikerjakan sehingga ke hari ini. Puasa? Tidak sama sekali.

Kami adik beradik sudah menjadi “taboo” dengan karenah ayah. Ayah seorang yang pemarah sejak kecil. Saya dan adikberadik sudah puas merasa dirotan dan berbirat.

Tapi tidak pernah sekali ayah mengajak kami solat berjemaah termasuk mengajak ibu berjemaah. Ibu sangatlah penyabar orang nya. Semoga ayah dan ibu ditempatkan dalam syurga kelak tanpa dihisab. Aamiinn.

Saya anak yang paling terpaksa berkasar untuk mengajak ayah solat. Hampir setiap hari rasa marah dan kecewa dengan sikap ayah sedemikian.

Sekarang umur ayah sudah tua dan tak dapat bekerja jadi aktiviti main nombor ekor lambat laun terkubur mungkin sebab takde duit. Pernah satu ketika dahulu ayah bergaduh dengan adik kerana kantoi ada perempuan lain.

Alasan hanyalah untuk hiburan. Sedih tengok ibu menangis diperlakukan sedemikian oleh ayah. Tidak pernah terdetik kami adikberadik meminta ayah untuk melepaskan ibu.

Ayah berubah hanyalah sekejap semasa saya berhijrah ke negeri lain untuk melanjutkan pelajaran. Namun setelah beberapa semester, ayah mengulangi tabiat yang lama. Tidak sembahyang, tidak puasa dan mempunyai perempuan lain.

Benar, iman tidak dapat diwarisi, atok seorang imam masjid menurut cerita ibu dan atok juga seorang guru mengajar Al Quran.

Sekarang umur ayah mencecah 80 tapi hidupnya hanyalah membazirkan masa lapang dengan telefon, tv, jika ada duit ayah akan keluar dengan kawannya yang seorang bujang tua tujuan keluar lepak.

Ibu sudah terbiasa dengan tiada respon setiap kali ibu bercakap dengan ayah kerana ayah hanyalah fokus dengan telefonnya.

Selama 2 tahun kebelakang ayah sudah mula berpuasa kerana tidak bekerja. Sepanjang bulan puasa, saya bukanlah buruk sangka atau menuduh, ayah akan menghabiskan masa di luar dari pagi hingga ke petang sebelum masuk waktu berbuka.

Ayah nampak cergas berbanding orang berpuasa tidak bermaya. Bukanlah fitnah tapi ada beberapa orang kampung terserempak dan mengatakan pernah terjumpa ayah minum lepak dengan rakannya di pekan.

Kami sekeluarga hanya diamkan sahaja. dan berasa sangat sedih jika benar aoa yang dilakukan oleh ayah. Wallahualam’bissawab.

Dari segi kebersihan, ayah tidak suka mandi dan sering memberi alasan sejuk mungkin kerana sudah berusia. Ayah seolah budak berumur 3-4 tahun setiap kali petang kami adikberadik akan menyuruh ayah mandi lagi lagi musim covid tetapi diabaikan kerana fokus bermain telefon.

Pernah satu ketika, saya menyuruh ayah mandi dan jawapan nya jika Allah nak bagi mati sebab covid lama sudah terkena covid. Saya mengucap panjang.

Penat? Pernah satu ketika saya mengalah dan nekad untuk tidak menegur dan mengajak ayah untuk solat lagi. Ayah seolah faham dengan perang dingin tersebut. Ayah mula sembahyang dan berjemaah. Namun ku sangkakan panas hingga ke petang , ayah kembali tidak sembahyang.

Dalam kamus hidup ayah, hari khamis malam jumaat sangat perlu maghrib isyak dan wajib sembahyang kerana peluang membaca yassin untuk ayah dan ibunya yang telah tiada.

Jumaat sabtu ahad Isnin selasa Rabu kembali lagi menatap telefon tanpa henti. Adakah kerana hati sudah hitam?

Allahu, Saya hanya mampu berdoa semoga Allah memberi hidayah kepada ayah. Pernah saya menangis semalaman mengenangkan nasib ayah di akhirat kelak dan selepas mati nanti. Allahu, sakit di dada.

Kami adik beradik pernah berbincang dan untuk tidak lagi berkasar dan membiarkan ayah. Namun saya sangatlah takut jika ditanya akhirat nanti kenapa tidak jalankan tanggungjawab seorang anak mengajak ayahnya untuk menghadap Allah mendirikan solat.

Sahabat saya berpesan seburuk buruk ayah jangan lupa bersedekah atas nama ayah dan ibu. Itulah yang saya amalkan sekarang, semoga ayah mendapat bahagian nya di akhirat kelak.

Sejak olimpik bermula, ayah hanya duduk di depan tv sehingga masuk waktu magrib. Kami puas memujuk untuk sembahyang bersama sama namun ayah dengan degilnya mengutamakan olimpik daripada akhirat.

Tv dibuka dengan sangat kuat dan menganggu solat. Bila ditegur ayah memarahi kami semula. Ibu selalu menenangkan kami adik beradik untuk tidak bersikap kasar. Egois ayah menyebabkan kami bertindak sebegitu.

Abang dan ayah pernah tidak bertegur selama beberapa tahun kerana sikap degil dan ego walaupun abang pernah datang melawat untuk berdamai.

Peristiwa saya pula setelah 3 tahun mengenali seorang jejaka selepas menamatkan pelajaran yang saya inginkan jadi imam saya terkubur. Pada mulanya saya tak dapat terima hakikat namun akhirnya saya akur.

Bf saya yang bakal menjadi tunang dalam masa beberapa hari lagi pada masa tu, kami pergi ke pekan untuk membuat persediaan pertunangan.

Setelah membeli barang, kami berdua terserempak kawan ayah lama yang sekepala dengan ayah. Pakcik tersebut tanpa rasa bersalah atau membuka aib ayah saya di hadapan bf,

Mungkin pakcik tersebut terlalu excited berjumpa dengan anak kawannya tanpa bertanya siapakah lelaki yang menemani saya lalu pakcik tu bertanya “Ayah apa khabar? Masih pemarah tak? Masih main nombor ekor? Dah insaf ke belum dah pergi masjid?”

Hati saya masa tu berkecai dihadapan bf. Namun respon bf hanyalah biasa sehinggalah bf meminta tangguhkan pertunangan. Setelah 2 minggu kemudian dia inginkan kebenaran bahawa betul ke ayah tak solat, semua yang dia dengar.

Saya rasa bersalah kerana terlalu jujur dengan bakal tunang. Saya sangat sedih bila bf menyatakan kami tidak sekufu dan tidak boleh berkahwin sebab pakcik bf dan ayah bf sendiri bergelar haji dan makcik nya seorang ustazah.

Bf tidak menyangka dan beranggapan pakaian saya betudung labuh, memakai stoking tetapi ayah saya seorang yang tidak sembahyang.

Saya menjadi sangat sedih apa yang berlaku dan mengambil masa untuk bertenang. Setelah okay, saya memujuk dan menerangkan perkara sebenar.

2 hari sebelum mengikat tali pertunangan, kami telah bersetuju untuk putuskan hubungan disebabkan bf tidak dapat menerima ayah saya.

Saya sangat terkilan dan takut untuk mendekati mana mana lelaki sejak hari itu. Dan sehingga hari ini, ayah tidak tahu kami putus disebabkan ayah. Saya tidak sama sekali menyalahkan ayah.

Saya akur dengan qada’ dan qadar mungkin ada hikmah untuk tahu sebelum kami berkahwin daripada sudah berkahwin tengok ayah mertua tidak solat apatah lagi puasa. Itu serba sedikit kisah saya dengan ayah.

Perkara lain pula, Ayah sangatlah seorang yang tidak suka bersedekah. Ayah akan memarahi ibu jika ibu memberi atau menyediakan makanan untuk orang lain.

Ibu sudah biasa, dan sehingga sekarang ibu akan bersembunyi bersedekah tanpa diketahui ayah kerana jika ayah tahu ibu akan dimarahi kaw kaw.

Ayah menyatakan orang lain ada duit dan boleh beli makanan/ barang. Saya sangat sedih kenapa ayah tidak faham konsep bersedekah.

Dalam kalangan ahli keluarga sendiri ayah sangat berkira termasuk anaknya, setiap yang dibeli oleh ayah, ayah akan menyebut 7 hari 7 malam mengenai berapa amaun yang telah dihabiskan untuk membeli barang walaupun tanpa disuruh.

Ayah juga mempunyai sikap yang tidak mahu mengalah. Semua yang diberitahu oleh ayah tidak boleh dibantah dan ayah juga tidak bersetuju beberapa perkara yang di ajar dalam Islam. Setiap ceramah ustaz @ ustazah semua akan diktritik dan salah. Allahu.

Pernah ayah di ziarah oleh imam kampung kerana ada yang menyampaikan bahwa ayah memberi komen bahawa cara imam tersebut salah bacaan dan apa yang dilakukan imam tersebut tidak betul.

Saya sehingga sekarang befikir macam mana seorang yang tidak pernah sembahyang boleh memberi komen dengan seorang imam yang telah bertahun menjalankan tugasnya.

Ibu sangat berasa malu dan ibu meminta maaf bagi pihak ayah. Ayah tidak pernah meminta maaf terhadap imam tersebut dan masih berpegang teguh dengan apa yang diperkatakannya setelah adikberadik inginkan penjelasan daripada ayah.

Bawa ayah ke Perubatan Islam? Ayah seorang yang menyangkal segala benda yang betul di dunia bagaimana pulak kami nak bawa ayah berubat cara Islam. Silap silap kami adikberadik serta ibu akan dimarahinya.

Pernah ayah berkecil hati kerana dia menganggap kami hanya fokus dengan ibu dan merasa tidak dihargai dan sering memarahi ayah. Saya sudah cuba memujuk jika masih beperangai sedemikian rupa, tiada siapa yang mampu bertahan. Hanya doa yang kami titipkan supaya ayah berubah.

Maaf jika saya menceritakan keadaan ayah saya sebegitu rupa, kebaikan ayah juga banyak.

Masa kecik dahulu, selepas ayah memarahi kami adikberadik, ayah akan memujuk kami semula dan memeluk anak-anaknya. Ayah sangat menyokong apa yang dimahukan oleh anaknya. Ayah juga memberi kata-kata semangat.

Sering mengingatkan ibu untuk menelefon saya serta adikberadik lain jika berjauhan. Ayah juga sangat rajin bekerja dan rajin bercucuk tanam.

Kami belajar untuk tidak melupakan kebaikan ayah dek kerana dia tidak patuh kepada yang Maha Esa. Itulah perkara yang berulang kali diingatkan antara ibu dan adikberadik untuk tidak melupakan kebaikan seorang ayah.

Sehingga ke hari ini, ayah tetaplah ayah yang dulu. Semoga ayah dilembutkan hati dan diberikan hidayah untuk berubah. Semoga ayah dan ibu saya ditempatkan ke dalam syurga tanpa dihisab.

Kepada ayah, pimpinlah tangan kami ke syurga Allah, tiada lain yang dipinta. Semoga kita dapat bersua di Syurga.

– Kejora (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *