Assalammualaikum dan salam sejahtera.. Aku doakan kalian sihat dan sentiasa di berkati oleh Pencipta. Andai arktikel ini disiarkan.. Pinta aku jangan kalian menghakimi aku yang jahil ini.. Nasihat dan kata-kata semangat aku perlukan untuk meneruskan hari-hari mendatang..
Aku si bongsu dari tiga beradik. Sedari kecil aku amat menyayangi AYAH. Antara ibu dan AYAH, aku memilih AYAH (di masa itu). Bagi aku AYAH sangat memahami aku, manjakan aku dengan semua kehendak aku dan selalu membela aku saat ibu berleter panjang.. Aku akan lari kepada AYAH untuk menjadi benteng untuk aku berhadapan dengan garangnya ibu. Di waktu kecil, aku akan menangis untuk mengikuti AYAH ke tempat kerjanya. AYAH aku perniaga KASUT, jadi tiada halangan untuk AYAH membawa aku ketempat kerjanya.
Aku ingat lagi, kaki kecil ini melangkah renek mengejar langkah AYAH dan tangan kananku memegang tangan AYAH. Sepanjang perjalanan ke bus stop, AYAH akan bercerita dan lirit matanya akan tunduk memandang aku yang renek. Jika aku penat, AYAH akan mendukung aku ke bahunya (Sumpah aku rindu zaman itu). Sampai sahaja di tempat kerja AYAH.. kerusi malas telah tersedia untuk aku dengan sebungkus air sirap ikat tepi.
Sepanjang hari aku melihat pekerjaan AYAH dan detik itu juga aku ingin menjadi seperti AYAH. SEORANG PERNIAGA.. Best tau ikut AYAH pergi kerja sebab.. balik kerja je AYAH akan bawa aku ke kedai buku. Aku beli buku cerita mengikut gambar yang menarik (Baca? masa itu aku baru kenal ABC) cuma kulit buku mewarnai perasaan aku. Kekadang, bila rezeki AYAH murah..AYAH akan bawa aku ke A&W (zaman itu fast food ini paling famous tau).
Pagi ahad jam 8.00 (18.04.2004), ketika itu umur aku 13tahun.. hari paling tertampar dan detik melukakan dalam kamus hidup aku. Masih jelas dalam ingatan aku sehingga ke hari ini.. saat perpisahan berlaku. AYAH meninggalkan kami pergi tanpa menoleh.. bengis dan marah. Jiwa aku koyak dengan drama yang berlaku pagi tu. Hilang semua manis dan kenangan yang lama kami bina.. Atas sebab AYAH tersendiri, barangkali bosan dan sudah ada yang menghiasi hati AYAH. (Orang ketiga itu kejam!). Bermulalah hari-hari aku dengan dendam dan kesedihan. Aku murung, banyak persoalan aku tiada jawapan.. AYAH pergi seperti tiada kasih sayang yang terbina.
Kami tergapai-gapai membina semula rumah yang hilang tiangnya. Alhamdulillah.. Aku mempunyai abang yang sangat bertanggungjawap, ketika itu abang baru habis SPM. Impiannya hendak ke menara gading di tangguhkan demi memikul tanggungjawab AYAH. Aku ingat lagi.. Abang aku menangis di malam hari dan siangnya dia senyum seperti tiada beban yang di rasa. Merintih agar diberi kekuatan untuk melangkah pada hari-hari kedepan. Demi Ibu dan dua adik perempuanya.. Segala jenis pekerjaan dia lakukan, Ibu aku pula seorang suri rumah yang mengambil upah menjahit.
Alhamdulillah.. Allah SWT tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya saat ujian melanda. Walaupun kami tidak mempunyai AYAH..tetapi kami masih merasa cukup dengan lipahan rezeki yang di berikan. Aku? bukan seperti seusia ku.. 13 tahun aku mula bekerja part time di katering milik jiranku. Menjadi pelayan tetamu di majlis kahwin orang dan membasuh pinggan kotor yang ada. Malu? entah barangkali kerana RM50 sehari hilang perasaan itu. Sama seperti kakakku.. kami mula bekerja di usia yang muda. Pelbagai jenis pekerjaan kami lakukan andai ini mampu meringankan beban ibu dan abang, kami rela..
Tahun berganti tahun.. Kami bertiga sudah dewasa, mempunyai pekerjaan yang boleh membanggakan keluarga. Jika dahulu.. ada saudara menjauh, memandang juga seperti tidak mengenali.. kini, mereka berteriak..’dia anak buah ku’. Kelakarkan mainan dunia. Lupa yang kami juga ada perasaan? lupa kami boleh mengingati setiap kenangan.. Tapi, yang lepas kami biarkan jadi pengajaran untuk kami tidak mengulangi pada insan yang senasib kami dahulu. Aku tidak pernah sesalkan takdir Allah SWT. Bagi aku, hikmah indah Allah SWT dah aturkan pada kami sekeluarga.
Kisah AYAH? berbelas tahun aku tidak pernah berjumpa AYAH. Walaupun khabar kewujudannya berdekatan pada rumah yang kami diami dulu. Jiran memberitahu.. eh! aku nampak AYAH kau dekat lorong sebelah rumah.. eh! AYAH kau ada dekat sini tadi. Tapi.. AYAH tak singgah pun berjumpa kami. SEDIH? hati yang koyak menjadi lopong tanpa jahitan pengubat. Berbelas tahun.. hati aku kosong tanpa AYAH. Di awal-awal kesedihan melanda dahulu, ada terbit rasa rindu pada AYAH. Muncul kenangan menyapa minda. Tapi, AYAH tak pernah datang merawat rasa itu..
Akhirnya, aku seperti anak derhaka.. tiada rasa kasih sayang aku pada AYAH dan cuma baki kenang di atas sahaja mampu aku ungkapkan mengenai AYAH. Selebihnya.. hilang..hilang..dan lenyap. Jika rakan-rakan aku bertanya di mana AYAH aku? kenapa tidak pernah mulut aku bercerita pasal AYAH. Jawapan yang mampu aku ungkapkan.. ‘AYAH dah tak ada’. Ada yang mengucapkan Innalillah, ada mengatakan kata-kata maaf. Sangkaan mereka AYAH aku dah tiada di alam nyata. Aku berdosa tidak membetulkan kenyataan mereka. Aku diam dan menukar cerita perbualan baru. Itu kesilapan aku..dan aku akuinya.
Masa membawa aku ke tapak ini mengali semula kenangan bersama AYAH. MENGAPA KINI?.. saat AYAH muncul memohon kemaafan dari kami, satu sosok tua merobek hati aku. Kali terakhir aku bertemu AYAH ketika rambutnya masih hitam, badannya tegap dan tiada garis-garis tua di wajahnya. Usianya ketika itu 47 tahun. Di depan aku kini.. AYAH yang lama aku simpan persoalan mengapa berbuat begini pada kami? Mana kasih sayang AYAH? Kami anak-anak AYAH..Darah kami dari darah AYAH. Tapi tak terpancul soalan itu ketika matanya menyapa mata aku dan kami. Jelas dalam matanya ada kolam yang sedia untuk di curahkan.
MAAFKAN AYAH.. satu ayat yang merobek hati. Tapi terus terang aku nyatakan.. aku sudah lupa pada kenangan bersama AYAH. Puas aku gali..puas aku selam, tidak aku jumpa..kasih sayang juga hilang. Aku cuma tahu.. yang panggilan AYAH itu masih ada tetapi janggal di sebut-sebut. Berbeza saat ibu sakit atau ibu berjauhan dari aku, aku rasakan rindu, sayang dan takut untuk kehilangannya.
Andai kalian paham situasi aku saat ini.. bukan aku tidak memaafkan AYAH. Siapa aku untuk menghukum AYAH? Cuma kasih sayang itu tiada.. Kenangan juga berbaki sedikit. Aku buntu mencari rasa yang hilang.. Doakan aku berjaya mencari rasa yang pernah bertahta dalam hati aku 16 tahun dahulu.
Assalammualaikum..
– EZ
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit