Ayah Senang, Anak Sengsara

Aku nak berkongsi ni sebab terbaca kisah baru-baru ini yang nasibnya sebiji macam keluarga aku.

Ayah aku ni senang cerita biawak hidup. Mak aku pula dijodohkan dengan ayah aku sebab terhutang budi dengan nenek aku, lagipun umur diorang sebaya. Ayah aku tak pernah sekali aku nampak dia kasi aku dengan adik duit belanja.

Mak aku yang setiap hari keluar kerja pukul 5 pagi, balik pukul 4 petang. Ayah aku pula sekejap kerja, sekejap tidak. Malang waktu ni umur aku dalam 15 tahun, mak kemalangan di tempat kerja dan meninggal dunia.

Aku sebagai anak sulung, benda pertama yang aku fikir adalah macam mana aku dengan dua orang adik nak makan sebab ayah aku ni tak kerja.

Duit sewa rumah dalam RM450 sebulan, api air selalu dalam RM50–60 total setiap bulan. Duit belanja sekolah lagi—aku selalu mak kasi RM5 sebab aku sekolah menengah, adik pula dua orang dapat RM3.

Sebulan selepas mak meninggal, kerja rumah jangan cakaplah, memang aku dengan adik yang buat. Masak mi segera pun, dia tinggalkan je mangkuk tu dekat lantai sebab rumah kami kecil, tak ada meja makan. Sekejap-sekejap duduk jerit suruh buatkan dia kopi sambil hisap rokok.

Kalau aku ada kat rumah, aku yang buatkan. Kalau tak, adik aku yang jadi mangsa. Adik aku sorang tu baru darjah 4, sorang lagi darjah 2. Kalau kena air panas, naya adik aku dua orang tu.

Duit belanja jangan haraplah—seringgit sorang je dia kasi. Setiap hari dapat RM3 dan dia suruh kami pandai berjimat. Aku bagi dekat adik-adik aku je, aku tak belanja pun tak apa.

Hampir setiap hari makan mi segera. Selalu Khamis malam Jumaat, aku bawa adik-adik aku pergi masjid sebab diorang selalu ada sedekah makanan—baru merasa makan ayam atau daging.

Waktu raya, baru kami bertiga ni all out beraya merata, dari pagi sampai Maghrib baru balik. Selalu balik, aku dengan adik akan sorok dalam 60–70% duit raya dalam sampul surat, lepas tu tanam dekat satu tempat di rumah kosong terbengkalai.

Sebab kalau balik, memang ayah aku akan ambil. Dia tak cakap panjang, dia check satu badan. Ada duit raya, baru kami adik-beradik boleh “senang”. Yang aku sebenarnya geram, ayah aku ni hidup senang. Tiba-tiba beli motor LC warna hijau—waktu tu tengah trending motor LC.

Tak lama selepas tu, beli kereta Wira. Bermacam-macam dia upgrade. Aku dengan adik-adik setiap malam fikir, “Banyaknya duit ayah sampai dapat beli kereta,” tapi waktu tu kami tak fikir sangat.

Sampailah aku tengah belajar final year sekarang. Itu pun aku apply memang dekat dengan rumah sebab nak jaga adik aku.

Ayah aku jangan cakaplah—kalau aku kira, dalam satu tahun duit yang dia kasi mungkin RM1,000 pun tak lepas. Mungkin cuma berapa ratus sepanjang 365 hari.

Nasib aku sama macam orang yang cerita sebelum ni—habis SPM, terpaksa kerja sebab ayah aku tak nak tanggung aku lagi. Bukan setakat aku, tapi adik-adik aku sekali. Dia suruh aku pandai-pandai cari duit untuk adik juga.

Sampailah final year, aku jumpa kawan sekerja arwah mak aku dulu. Waktu tu aku tengah tunggu bas nak balik rumah. Aku pun cakap tengah study dekat tempat sekian-sekian.

Dari tempat aku belajar ke rumah dalam 50 minit naik bas. Dia pun tanya kenapa tak beli motor atau kereta.

Belum sempat aku jawab, dia cakap, “Beli lah motor guna duit yang arwah mak dapat tu dulu.”

Aku pun cakap dekat makcik tu, “Dapat tak banyak mana pun, dapatlah untuk beberapa bulan.”

Makcik tu pun cakap, “Takkan tak cukup? Sebab aku yang uruskan, dan dapat puluh ribu juga.” Itu tak termasuk duit arwah mak aku main undi—tapi diorang halalkan untuk sedekah, katanya dalam RM15,000.

Tempat kerja mak aku pun buat pungutan derma—itu pun dalam belasan ribu juga, sebab bos tempat diorang sendiri derma dalam RM5,000.

Aku terus blur dan cakap yang ayah aku bagitahu kami cuma dapat semua sekali dalam RM3,000 sahaja. Makcik tu pun cakap, “Memang RM3,000, tapi tu untuk selesaikan majlis kebumian. Bulan-bulan mendatang, baru kami salurkan bantuan lain lagi.”

Aku cuma cakap dekat dia, kami adik-beradik tak tahu sebab semua duit tu ayah aku yang pegang. Makcik tu cuma pesan, “Suruh tanya ayah kau.”

Balik rumah, sementara ayah aku tak ada, aku selongkar satu bilik dia—almari, dokumen semua aku buka dan baca. Lepas entah berapa lama, aku baca, rupanya banyak weyh ayah aku dapat duit atas kematian mak. Lebih kurang dalam RM75,000 semua sekali atau mungkin lebih.

Aku waktu ni dah geram, tapi aku tahan. Aku bagi adik selesai sekolah dulu supaya nanti aku senang nak uruskan. Aku dah plan memang nak berambus terus lepas adik aku habis sekolah. Bila adik aku dah habis, aku memang guide dia apply jauh. Adik aku yang lagi sorang dah habis pun sama.

Bila semua dah settle, aku bawa semua dokumen ayah aku—IC, surat beranak, lesen, segala benda penting aku angkut. Aku dah tak tunggu lama. Dia tidur, aku rembat beg duit dia, pergi ATM, keluarkan semua duit dalam bank—dalam RM3,500 aku keluarkan semua. Beg duit dia aku bawa sekali.

Tayar motor LC dia aku hancurkan. Kami duduk flat, jadi aku tahu motor dan kereta dia park kat bawah. Kereta aku bawa lari—waktu tu noob lagi bawa kereta, tapi boleh perlahan-lahan walaupun beratus kilometer.

Sebelum lari, aku dah beli kunci besar. Aku kunci pintu rumah—pandai-pandailah dia nak keluar, dengan rumah flat tingkat 5 lagi.

Rumah flat korang tahulah—ada pintu pagar luar, then pintu rumah dalam. Pintu pagar tu aku kunci pakai lock besar. Pintu rumah tu aku dah tukar lock lama, tapi ayah aku tak perasan. Dia nak keluar rumah pun terseksa.

Nak pergi report polis, kena minta tolong orang—itu pun duit tak ada. Pandai dia jalan kaki.

Dah hampir 8 tahun, setiap kali aku terfikir, rasa puas hati betul. Adik aku pun setiap kali dengar, asyik mengekek je ketawa. Adik aku dah habis belajar dan dah kerja pun. Aku waktu tu sengaja tak nak tukar nombor telefon.

Ayah aku call, dia maki sumpah seranah, aku maki dia balik. Aku cakap, “Jadi bapak pun tak guna. Padan muka kau.” Dia ugut nak report polis semua. Hakikatnya, memang payahlah dia nak hidup tenang sebab semua dokumen dia aku dah bawa.

Surat beranak, IC, lesen, geran kereta, geran motor—senang cerita, bertimbun surat menyurat aku angkut. Bukan setakat tu sahaja, semua bantuan online aku dah register guna nama dia, tapi masuk akaun aku.

Aku cuma mampu gelak je sebab puas hati. Selama ni dia goyang kaki hidup senang, kami sengsara.

– Zul (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *