Ayah Seorang Perokok

AYAH AKU SEORANG PEROKOK. SO WHAT?
Terima kasih admin sekiranya sudi menyiarkan konfesyen aku ni. Aku Suri. Seorang anak yang tak pernah duduk asrama atau berjauhan dari ibu dan ayah. Membesar dalam keluarga yang sederhana. Bukan anak pak ostaz, atau pak menteri. Aku membesar dengan pekerjaan ayah aku dahulu adalah pengait kelapa dan tukang rumah. Aku berpendidikan sekolah agama (alhamdulillah) sebab ibu aku yang struggle nak kami adik-beradik sekolah agama. Seperti tajuk di atas, aku nak cerita berkenaan AYAH, AKU & ROKOK.

Ayah dan rokok memang tak boleh dipisahkan. Aku lahir-lahir saja ke dunia, ayah memang dah merokok. Sebelum kahwin dengan ibu lagi, ayah dah memang merokok. Memang aku membesar dengan rokok ayah. Orang kata rokok haram, benar. Aku tak nafikan. Tapi, itu bukan alasan aku nak berperang dengan ayah untuk menegakkan hujah bahawa rokok adalah haram. Ayah aku maklum saja berkenaan hal itu.
Jujurlah, sebagai anak kadang-kala aku malu sebab ayah merokok. Zaman aku sekolah dulu, aku budak tarbiyah weh. Budak usrah. Haha. Tapi ayah aku merokok. Kalau ambik aku dari sekolah tu, dengan slumber je ayah aku merokok dalam kereta. Cikgu-cikgu semua nampak dan kenal dah dengan ayah aku. Aku selalu nak sorok ayah dari kawan-kawan atau cikgu-cikgu aku. Haha. Jahat kan aku.

Macam-macam usaha kami sekeluarga dah buat. Ibu aku dah nasihat, ayah aku diam je. Kami adik-beradik nasihat, ayah aku buat tak tahu je. Sampai, pernah ayah kena tahan ward sebab sakit jantung. Doktor nasihat pun, ayah senyum saja. Waktu ni, ayah di hospital, tak bawa rokok bersama. Jadinya, aku yang di rumah ni, ambik rokok dan lighter ayah. Aku buang rokok-rokok tu. Aku ganti dengan gula-gula. Hahaha. Nak tunggu ayah balik rumah tu, cuak sangat. Tak tahu apa reaksi ayah. Takut kena rotan.

Apabila ayah balik ke rumah, ayah cari rokok tak jumpa. Ayah tak tanya banyak. ambik kunci motor pergi kedai, beli yang lain. Aku masa tu, tak tahu nak gelak ke menangis. Hehe.. Aku nasihat supaya usaha berhenti rokok. Aku kata, kalau teringin nak merokok, cepat-cepat hisap gula-gula. Ayah aku balas, “makan gula-gula la punca dapat kencing manis”. Aku berhuhuhu je la lepas ayah cakap macam tu.

Dalam tahun 2012, kakak aku nak kahwin. Masa ni, aku cuak sangat. Sebab tak tahu apa penerimaan abang ipar terhadap keluarga kami. Terhadap ayah. Sebab abang ipar aku ni dari keluarga yang berpendidikan. Kami ni, biasa-biasa saja. Tapi, alhamdulillah, abang ipar aku boleh terima yang ayah aku seorang perokok. Dia hormat. Tiadanya nak sindir-sindir atau tak bagi naik kereta sama-sama. Hahahaha.

Satu hari, selepas kakak aku kahwin, mak cik aku ada cerita pasal ayah. Mak cik aku kata, “Ayah kau tahu rokok tu haram. Dia dah usaha nak berhenti. Jumpa doktor. Buat rawatan. Tapi tak berjaya. Sekarang ayah kau tukar rokok daun. Jauh di sudut hati ayah kau, dia nak berhenti. Tapi belum cukup kuat”. Masa ni, aku rasa nak menangis sangat. Aku kenal ayah macam mana. Sejak dari hari tu, aku dan ibu selalu ingatkan ayah. Bagi nasihat sikit-sikit.

Walaupun ayah merokok, tapi ayah tak pernah abai perkara lain. Ayah jaga keselamatan kami. Ayah banyak bagi nasihat untuk aku berjaya dalam pelajaran. Ayah tak kedekut dengan anak-anak. Kalau ada duit lebih, ayah bagi buat belanja. Ayah teman aku buat kek coklat sampai tengah malam. Ayah tunggu aku depan pagar sekolah. Ayah belikan apa yang aku teringin nak makan. Ayah buangkan sampah yang dah penuh. Ayah berdiam dan sabar apabila ibu membebel. Ayah ajar kami untuk kenal saudara mara. Jaga silaturrahim.

Benar ayah tidak sempurna, tapi kekurangannya itu bukan syarat untuk kami menderhaka dan tunjuk pandai. Ayah bukanlah yang sempurna untuk kami. Tapi ayah adalah anugerah yang terbaik daripada Allah untuk kami. Sebab tu, walau aku tengok ada orang lain merokok, aku tidak akan sekali-kali menghukum dia sebagai apa. Kerna pada aku, mungkin saja kisah silam menjadikan dia seperti hari ini. Pengaruh kawan di usia muda. Kurang didikan agama.

Tetapi, aku tahu di luar sana ada segelintir masyarakat yang tidak dapat menerima kehadiran si perokok ini. Aku sendiri alami perkara ini. Aku ada dua orang kawan. A & B. Suatu hari, A bertanya pendapat aku berkenaan orang yang merokok. Macam mana nak nasihat orang yang merokok ni. Aku kata, “Merokok ni adalah satu ketagihan. Kita hanya mampu nasihat dan bimbing secara istiqomah. Supaya satu hari nanti, timbul kesedaran dan kesungguhan untuk orang tu berhenti. Ayah saya merokok. Sebab tu saya faham perasaan kita nak bantu orang yang merokok ni”. Kawan aku terkejut apabila dapat tahu, ayah aku merokok. Budak usrah, ayahnya merokok. Kau rasa?? Hahaha.

Tapi, masa ni aku dah tak hairan terhadap persepsi orang lain. Aku kenal ayah aku macam mana. Dipendekan cerita, dalam satu perjalanan, aku, A & B naik satu kereta sebab balik ziarah kawan sempena hari raya. Aku sebagai pemandu duduk di hadapan. Sebelah aku adalah A. Belakang pula adalah B. sampai kat satu traffic light, di hadapan kami ada seorang lelaki yang menunggang motor sambil merokok. Kawan aku yang B ni, dia kata, “ Lelaki tu merokoklah. Kat tempat praktikal saya pun ada je anggota polis yang merokok. Macam mana lah diorang dengan ahli keluarga. Pada saya, lelaki yang merokok ni tak bertanggungjawab dan tak berguna”.

Aku masa ni, terdiam. Cannot brain orang kata. kawan aku yang A ni, serba salah. Sebab dia tahu ayah aku merokok. Dia Cuma kata, “Entahlah awak. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana”. Aku masa ni diam je lagi. Aku tak sangka seteruk itu persepsi terhadap orang yang merokok. Hahaha.. Tak lama tu, aku kata kepada mereka, “Jangan kita menilai seorang perokok tu adalah tak berguna atau apa pun. Bukan hak kita nak menghukum sesiapa. Kita tak tahu apa kisah silam dia hingga jadi perokok. Kita juga tak tahu, bagaimana penghujung hidup dia. Mungkin akhir hidupnya, dia lebih baik dari kita. Bersyukur lah tiada ahli keluarga yang merokok. Nanti, cari suami yang tak merokok ya”. Lepas aku cakap macam tu,suasana dalam kereta jadi sepi. Biarlah. Orang tak faham perasaan jadi anak si perokok ni apa dan bagaimana.

Pernah aku telefon ayah tanya khabar. Aku kata kepada ayah, gunakanlah kereta aku yang ada kat rumah tu. Untuk mudahkan pergerakan ibu dan ayah. Sebab kereta iswara milik ayah adalah manual. So, ayah macam tak larat nak pandu disebabkan masa tu kaki ayah sakit. Tapi, ayah jawab, “Takpelah. Itu Suri je la guna. Kereta baru tu. Ayah nak merokok pun tak boleh”.

Masa ni, aku terdiam. Dalam hati, ‘kejam sangat ke aku? Kenapa ayah perlu ada serba salah dan takut-takut nak guna kereta aku?’ Sumpah aku rasa berdosa sangat. Seolah macam aku ni TUAN pulak. Segera aku mesej ayah dan beritahu,”Yah, guna je kereta tu. Memang beli untuk kegunaan ibu dan ayahkan. Kalau ayah nak merokok, buka je tingkap. Suri tak kisahlah. Kalau berbau, sembur je minyak wangi. Guna tau. Dengan Suri, tak payah nak malu-malu. Ahaha”.

Lepas aku cakap macam tu, barulah ayah berani nak guna. Dah tak kisah nak merokok dalam tu. Pada aku, jangan kerana rokok, aku kena jadi anak derhaka sampai ibu ayah ada perasaan takut atau segan dengan anak sendiri. Soal rokok itu dosa atau apa pun, itu antara ayah dan Tuhan. Tapi, tanggungjawab sebagai anak, aku kena buat sehabis baik.

Sebab tu, apabila ayah makin berusia ni, aku perasan ayah cuba kurangkan merokok. Kadang-kala aku nampak ayah makan gula-gula. Aku perhatikan saja. Ayah sekarang dah jadi siak surau. Berkawan dengan geng-geng surau. Secara tak langsung, sedikit demi sedikit ayah cuba berubah. Apabila berkawan dengan penjual minyak wangi, pasti kita akan dapat bau wangi. Apabila kita berkawan dengan pembuat besi, pasti kita akan dapat tahi besi. Kan? Itulah yang berlaku dalam hidup ayah.

Kalau orang lain kata macam-macam pasal si perokok, itu hak masing-masing. Cuma pada aku, tunjukanlah qudwah yang baik. Tak perlu nak melabel orang yang merokok ni masuk nerakalah, nanti nak mati susah nak mengucaplah, tak bergunalah, tak bertanggungjawablah. Jangan menghukum seolah kita ni Maksum dan ahli syurga.

Sepatutnya, kita bimbing dan bantu mereka untuk berubah. Doakan agar Allah beri taufik dan hidayah agar golongan merokok ni berubah jadi lebih baik. Setiap orang ada kisah silam dan dosa masing-masing. Orang yang masuk syurga tu, bukan sebab banyak ibadah atau rajin up status tazkirah dan post #donedakwah. Fuhhhh.. Tapi, orang yang masuk syurga adalah disebabkan rahmat Allah.

Kepada anda yang ada ahli keluarga hisap rokok, jangan rasa malu sampai tak nak mengaku ahli keluarga. Itu ujian hidup berkeluarga. Bantu dan bimbing semula mereka yang merokok ni. Perlahan-lahan ibarat menarik rambut dari tepung. Sebab, orang yang merokok ni pun ada ego mereka. Jangan putus doalah untuk mereka.

Maaf salah dan silap.
-Suri hati Mr Ayah-

– SURI

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit