Beberapa hari selepas Hari Raya pertama, aku ada terlihat video Tiktok seorang anak muda ni.
Video tersebut menunjukkan seorang anak muda lelaki berbaju Melayu warna hitam, sedang makan hidangan Hari Raya, sementara di sekelilingnya, ahli keluarganya sedang riuh rendah bersiap untuk menyambut Hari Raya.
Dari caption yang dipaparkan, anak muda itu memberitahu bahawa ayahnya bersikap baran pada hari itu, kakaknya pula bising-bising sebab tudungnya dipijak orang dan macam-macam lagi kejadian pada pagi raya.
Ramai yang respon pada video tersebut, termasuklah anak-anak bangsa lain, yang turut memberitahu yang ayah mereka juga bersikap moody pada perayaan Deepavali dan Tahun Baru China.
Video tersebut menyedarkan aku bahawa ramai ayah yang bersikap moody semasa suasana perayaan. Ayahku juga tak terkecuali. Tapi ni cerita 30-40 tahun lepas. Ayahku memang tak suka bertandang ke rumah orang, bukan sahaja pada Hari Raya, tapi hari-hari biasa juga.
Selepas solat raya, biasanya ayahku akan tidur. Bila petang sikit, barulah ibuku berani mengajak bertandang ke rumah adik-beradiknya.
Setelah aku kaji, aku rasa ayahku ada a few emotional issues. Ye lah, ayahku lahir masa zaman Jepun. Zaman rakyat susah. Lepas tu, ayahku juga mangsa perceraian. Ibu bapanya berpisah semasa dia berusia 8 tahun. Ayahku pula anak tunggal.
Setelah beberapa ketika, ibunya meninggal, dan ayahku tinggal dengan neneknya. Masa tu ayahku tinggal di Besut, Terengganu. Kadang-kadang menumpang ibu saudaranya di Mersing. Kadang-kadang menumpang ayahnya sendiri di Pahang. Jadi hidupnya sering berpindah-randah.
Seawal umur 17 tahun, ayahku dah berhijrah ke kota raya untuk mencari kerja. Ayahku pernah cerita yang dia pernah duduk di kawasan rumah setinggan.
Bila hari hujan lebat, air akan masuk ke dalam rumah. Nyamuk pun bermaharajalelal. Aku tak dapat bayangkan perkara itu berlaku kepada diriku sendiri. Sungguh.
Bila aku dah ada keluarga sendiri, aku dapat rasa yang mungkin ayah tak seronok menyambut Hari Raya disebabkan latarbelakang kehidupannya. Tambahan pula, masa itu kewangan kami tidak berapa memberangsangkan.
Ayah bersara dari pekerjaannya dan pulang ke kampung untuk membina rumah di atas tanah keluarga. Kami memang berjimat cermat masa itu.
Masa tu heboh dengan berita pelancaran Kereta Nasional. Ada jiran depan rumah kami yang beli kereta itu. Kalau tak silap, harga masa tu 19,000 ringgit. Memang kami tak mampu. Ayah dah berhabis untuk buat rumah di kampong dalam 30,000 ringgit.
Ditambah pula dengan saudara mara yang mungkin tidak sealiran dengan ayah. Ayahku bersara untuk menjaga neneknya, manakala saudara-mara masih bekerja dan ada yang naik pangkat jadi Ketua Sektor dan Pengarah. Aku dapat rasa mungkin ayahku berasa rendah diri di situ.
Jadi selalunya ziarah Hari Raya kami sekejap sahaja. Sebenarnya aku seronok berkunjung ke rumah saudara-mara, sebab aku suka mencuba berbagai jenis kuih dan juga memerhati hiasan rumah orang lain.
Jadi aku dapat simpulkan yang kemungkinan besar ayahku bersikap moody di pagi raya disebabkan faktor kewangan, faktor emosi semasa kecil dan faktor rendah diri setelah bersara.
Sekarang ni ayahku dah berumur 80-an dan dia memang dah tak larat ke mana-mana. Dia banyak tidur dan berbaring. Jadi selalunya kami lah yang menziarahi saudara-mara tanpa dirinya.
Aku juga bernasib baik sebab suamiku bersikap agak positif setiap kali raya. Suami tidak keberatan menyediakan pakaian raya untuk anak-anak, dan juga menolong di dapur menyiapkan juadah raya.
Dalam aspek ini aku rasa bersyukur sangat sebab aku nak anak-anak aku ingat memori yang positif sempena Hari Raya. Dah namanya pun Raya kan… Hari kebesaran umat Islam.
– Zuliana Zamri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
suami saya dah kehilangan kedua ibu bapa nya semasa dia masih belajar. jadi sebelum kami kahwin, rutin raya dia memang ringkas- solat raya, balik rumah, duduk bilik & tidak beraya. kakak-kakak & abang-abang dia semua sudah berkahwin. saya tahu dia sunyi. jadi bila saya berkahwin dengan suami, saya cuba memahami emosi suami. saya tak terus paksa dia follow flow saya, tahun by tahun saya cuba terapkan kepada dia keindahan hari raya. buat ketupat, masak rendang, cari baju sedondon, main mercun. 1st year kahwin, mmg dia culture shock sebab family saya jenis beraya memang sampai malam huhuhu. semoga kehadiran saya dan anak-anak dapat mengubat kesedihan hati suami yg lama terpendam.