Assalamualaikum dan selamat sejahtera bagi yang bukan beragama Islam.
Sempena malam kemerdekaan (ketika confession ini di tulis) buat kali ke-65 tahun, ini buatkan aku ingin berkongsi sebuah coretan oleh seorang ‘anak derhaka’ mengenai sikap luar biasa ayah kandungnya.
Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mementingkan didikan agama semenjak kecil lagi.
Bayangkanlah, arwah ibundaku yang telah membawa aku di dalam kandungan sehinggalah usia aku dalam 2-3 tahun begitu pun, arwah ibunda tak pernah dengan sengaja ketinggalan pengajian ilmu agama di salah sebuah pondok di Kedah ini.
Malahan, beliau beserta ayahandaku siap membawa buaian mudahalih ke pondok pengajian itu sampaikan pernah pada suatu hari, terputus tali buaian tersebut membuatkan aku meraung menangis.
Aku ringkaskan sajalah.. setelah kematian ibunda di mana usiaku tika itu baru 12 tahun, kami sekeluarga begitu terkilan akan pemergian ibunda yang tak disangka-sangka itu.
Rupanya, arwah ibunda telah berpesan kepada ayahandaku agar memasukkan abangku dan aku ke sekolah agama. Di mana niat arwah sudah tentulah inginkan kami berdua menjadi anak yang soleh buat kedua mereka kelak.
Akan tetapi, kejutan budaya serta silap pergaulan kami berdua itu telah mengakibatkan kami terjebak di dalam kancah penagihan dadah durjana!
Sungguh hancur luluh hati seorang ayah tatkala mengetahui kedua anak lelakinya itu merupakan penagih dadah!
Tambahan lagi, ayahanda pula merupakan seorang Timbalan Pengerusi (Imam kedua) di masjid kariah kami ketika itu.
Abangku di hantar ke tanah Yaman bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang agama manakala aku pula di hantar ke salah sebuah IPTS di Kuala Lumpur di dalam bidang katering dan perhotelan.
Tetapi, disebabkan najis dadah aku tidak dapat menghabiskan pengajian diplomaku itu.
Bagi merawat ketagihanku ini, ayahanda serta ibu tiri kami telah bersepakat dengan rakan mereka yang juga ibu bapa kepada salah seorang rakan kami untuk menghantarkan aku ke institut pemulihan akhlak dan dadah di Sabak Bernam, Selangor.
Aku menjalani rawatan di situ selama 2 tahun berturut-turut yakni langsung tak pernah pulang ke kampung halaman sepanjang tempoh 2 tahun aku berada di sana.
Apabila sudah habis kontrak 2 tahun, aku pun pulang ke kampung halaman yang mana kepulihanku itu hanyalah bertahan selama 6 bulan sahaja!
Hancur sekali lagi hati ayahandaku tatkala dapat tahu akan ‘relapse’ (penagihan semula) aku semasa itu.
Aku dapat melihat sendiri akan kekecewaan pada wajah ayahandaku itu sehingga buatkan hatiku terjentik akan seribu penyesalan yang tak dapat digambarkan.
Manakala abangku ketika itu telah menyambung pelajaran di salah sebuah universiti di Yogyakarta, Indonesia yang juga telah bersih daripada sebarang penyalahgunaan najis dadah durjana.
Aku? Masih lagi terbelenggu, terkapai-kapai dalam lautan penagihan yang sangat sukar untuk perubahan sekali lagi yang telah aku sia-siakan.
Betapa aku sendiri pun sangat merasa hairan dengan beliau di mana tak pernah pun beliau membuang aku ini daripada keluarga. Ayah kepada rakan-rakan sepenagihanku?
Ada yang sudah tak ambil peduli lagi, ada juga yang langsung mengusir mereka buat selamanya!
Pada bahagian kedua, akanku ceritakan berapa kali aku menagih semula serta berapa kali ayahandaku tidak berputus asa dalam inginkan kepulihan ‘anak derhaka’nya ini.
– Muhnas (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit