Untuk part I, (https://iiumc.com/ayahku-yang-luar-biasa/).
Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera kepada bukan beragama Islam.
Pertama sekali, saya berterima kasih kepada admin IIUM Confessions yang sudi menyiarkan pengalaman hidup saya ni juga kepada para pembaca budiman yang sudi membaca.
Bahagian kedua ini saya ingat nak jadikan bahagian penghabisan perkongsian saya.
Disebabkan kepulihan saya terjejas kembali walaupun setelah 2 tahun menjalani rawatan ketagihan dadah di salah sebuah pusat rawatan yang terletak di Sabak Bernam, Selangor.
Ayahanda saya yang amat saya kasihi, ‘luar biasa’ sungguh sikap beliau bagi saya secara peribadinya,
Dia telah menghantar saya ke pondok pesantren (ponpes) di Sragen, Jawa Tengah, Indonesia sana untuk saya berjauhan daripada persekitaran yang merosakkan itu.
Nasib kurang baik menimpa saya kerana kelewatan saya untuk memperbaharui VISA pelajar saya selama 12 hari, menyebabkan saya telah disanksi (didenda) sebanyak 100 ribu rupiah sehari (RM 32)!
Sebaik sahaja ayahanda mengetahui akan perihal tersebut, lantas beliau pun menyuruh saya pulang ke tanahair.
Tak sampai seminggu, saya mencari kembali “kekasih durjana” yang telah sekian lama saya tinggalkan. Walhal, telah hampir 8 bulan lebih sudah saya bersih daripada najis dadah tersebut.
Tetapi, disebabkan ketiadaan ilmu untuk berhenti daripada penagihan semula dan juga ilmu bagi mengekalkan kepulihan sepanjang hayat itulah buatkan saya kbali terbelenggu.
Sungguh celakanya, betapa ‘berhantu’ dadah durjana itu,
Ia membuatkan bekas penagih yang tidak kuat keazamannya dalam mengekalkan kepulihan sepanjang hayat yang didambakan oleh hampir kesemua para penagih dadah di atas muka bumi ini membuatkan mereka (bekas penagih) menjadi hamba kepada najis dadah tersebut.
Pada tahun 2019, kehidupan saya semakin teruk walaupun tak pernah ‘putus’ bekalan dadah kerana saya telah ‘di bawah jagaan’ salah seorang ‘tokan dadah’ di kampung saya itu
Ia membuatkan saya jarang sekali berada di rumah sehinggakan ayahanda tidak mampu menasihati lagi “anak bertuahnya” ini.
Pada pertengahan bulan Jun, setelah pulangnya abang saya daripada rawatan pemulihan dadah di salah sebuah Puspen di Pulau Pinang selama 12 bulan lebih, setelah dinasihati oleh abang dengan penuh kelembutan.. saya tewas lalu membuat keputusan ingin ke sana pula.
Saya agak bernasib baik kerana mendapat asrama yang paling terbaik di antara keenam-enam asrama yang ada kerana pertamanya ia memiliki televisyen bersaiz 42 inci dan paling tegas sekali dalam hal-hal kebersihan asrama.
Di Puspen tersebut telah saya pelajari sistem TC (Therapeutic Community) yang diasaskan oleh Alcoholic Anonymous (AA) di Staten Island, Amerika Syarikat yang juga ditubuhkan atas nama Daytop Village pada tahun 1963.
Sungguh saya bersyukur di atas pengenalan ilmu-ilmu pengetahuan dalam sistem TC ini.
Secara asasnya, sistem TC mengajarkan bekas peminum alkohol/penagih dadah untuk mengubah tingkahlaku yang buruk sepanjang penagihan kepada tingkahlaku yang baik berpandukan suri tauladan (role-model).
Sistem TC ini jugalah yang diterapkan oleh pusat pemulihan swasta yang juga NGO, PENGASIH yang diasaskan oleh Datuk Yunus Pathi.
Setelah menjalani rawatan kepulihan dadah 12 bulan seminggu, akhirnya saya dibebaskan.
Untuk kali ini, saya bertahan agak lama sehinggalah tercetus sebuah tekanan, permasalahan yang buatkan saya ‘relapse’ (penagihan semula) lagi, dan lagi!!!
Bayangkanlah betapa kecewanya hati abang saya dan ayahanda tercinta terutamanya setelah mengetahui akan ‘kejatuhan’ saya itu.
Sebak dada saya ketika menaip pengakuan ini serta hampir mengalirkan airmata dek mengimbas kembali betapa bodohnya, jahanamnya saya ini kerana seringkali mensia-siakan kesempatan yang diberi oleh Allah Rabbul ‘Izzah itu.
Untuk kali ini (tahun 2022 ini)… saya betul-betul telah membulatkan tekad, meninggikan keazaman untuk berhenti dengan sendiri yakni mengamalkan kembali ilmu-ilmu daripada sistem TC serta asas-asas agama yang telah dipelajari di pondok-pondok agama terdahulu.
Keazaman saya ini semakin kuat setelah bertemu dengan seorang gadis yang menepati ciri-ciri yang saya impikan selama ini serta sebuah keberhasilan yang tak disangka-sangka akan muncul dalam kehidupan saya seandainya saya berjaya mengekalkan kepulihan sepanjang hayat tersebut…
Insya-Allah dengan ‘inayah, keizinan serta dengan kehendak-Nya jua. Aamiin yaa Rabbal ‘alamin.
Saya dengan penuh kerendahan hati ini juga ingin meminta budi baik para pembaca agar mendoakan saya supaya berjaya berhenti, dicampakkan kebencian terhadap najis dadah ke dalam hati saya serta dapat istiqamah sehingga saya menghembuskan nafas yang terakhir…
Sebanyak 8 kali saya telah ‘jatuh’, menagih semula dadah durjana tersebut. Saya sejujurnya amat mengharapkan bahawa TIDAK AKAN ADA untuk kali ke-9 lagi. Allahumma yassirlana umuurona…
Pesanan terakhir saya, seandainya ahli keluarga pembaca telah terjebak dalam penagihan dadah ini…
Jangan berlengah, terus hubungi AADK yang berdekatan, janganlah pula terus menghubungi pihak polis kerana mereka hanya mahu menghantar ke penjara jikalau hendak dibandingkan dengan belas ihsan oleh pihak AADK.
Percayalah, pihak AADK tidak semudahnya, tergamak mahu ‘mencemari’ maruah sesebuah keluarga itu melainkan telah melampaui batas.
Sekian daripada saya, sang bongsu yang amat, amat menyayangi keluarganya walau otak telah dikawal oleh dadah durjana tersebut serta mengharapkan kepulihan sepanjang hayatnya. Doakan saya iya?
– Muhnas (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit