Ayat Membuka Hijab

Assalamualaikum semua. Aku TunRamos. Kali ini aku nak bawa pembaca meneroka alam ghaib yang pernah dialami ketika zaman remaja. Abah aku adalah seorang pegawai daerah di negeri Perak. Susur galur keluarganya berasal dari Batu Bara Indonesia.

Ketika mereka datang berhijrah ke tanah Melayu, mereka turut membawa ilmu kebatinan sebagai pendinding diri melawan orang jahat.

Aku tidak berkesempatan untuk mengenali datuk dan nenek sebelah abah kerana mereka telah meninggal dunia waktu aku masih kecil.

Tapi abah selalu bercerita kepada kami adik-beradik tentang ilmu alam ghaib termasuk jin dan syaitan. Biasa lah, cerita seram memang menarik minat untuk didengari sampai lewat malam.

Ada suatu malam tu, sedang rancak bercerita, tiba-tiba abah menoleh ke sebelah kiri dan menegur “Heh! Hampa pun mai dengaq cerita”. Kami di situ terpinga-pinga melihat gelagat abah.

Kemudian abah bertanya sama ada kami ingin melihat makhluk yang datang menyinggah. Kami geleng. Seraaamm…

Tapi dalam hati menggeletek nak tahu. Aku memberanikan diri untuk bertanya, “Macam mana rupa depa?”.

Abah berkata makhluk hantu, jin dan syaitan ni rupanya buruk. Kalau boleh abah pun tak nak tengok rupa diaorang. Abah kata lagi, kalau pun hantu ni menyerupai manusia, rupanya tak sempurna.

Kadang-kadang ada yang datang seperti campuran manusia dan haiwan, atau campuran haiwan yang berbeza. Pendek kata, buruk dan hodoh.

Abah kata lagi, makhluk hantu ni memang suka bila kita bercakap pasal diaorang. Diaorang akan datang dekat-dekat dan seakan bangga sebab manusia bercakap atau bercerita pasal diaorang.

Hmmm…. kalau korang rasa seram-sejuk atau naik bulu roma waktu baca cerita ni, baca la ayat kursi. Dan mata tu jangan meliar sangat tengok kiri-kanan. Takut tak sempat makhluk hantu larikan diri. Bila dah tertengok haaaa… Acaner tu?

Kakakku, Al-falfa adalah seorang yang berani. Dia anak kedua, jadi semua perkara nak champion. Di sebabkan perangainya yang tegas, berani dan pintar, dia menjadi harapan abah untuk menjaga kami adik-beradik.

Kakak kedua ku, Al-Yaya pula seorang yang lemah lembut. Berbeza dengan perangai Al-falfa, Al-Yaya seorang yang banyak beralah dan banyak mendengar kata.

Abang sulungku Al-Zuburo adalah cucu kesayangan nenek sebelah mak, dan kebanyakan masa dia tinggal bersama nenek wan. Aku, anak keempat dan adik lelaki Al-Qomri adalah adik bongsu. Kami empat beradik sangat suka mendengar cerita hantu.

Abah pula rajin bercerita dan berkongsi pengalaman seramnya. Dalam simpanan abah, ada satu kitab tua tinggalan keturunan datuk dan nenek. Kitab tu berwarna kuning cair dan bertulisan jawi lama.

Menariknya kitab kuning itu adalah kitab pendinding diri menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan kaedah tertentu.

Abah tak benarkan kami membaca kitab kuning tu tapi biasa la kan budak-budak… Lagi ditegah, lagi nak buat.

Aku dan adikku Al-Qomri selalu curi-curi ambil dan baca. Terutamanya bila bergaduh dengan geng kat sekolah. Konon nak balas dendam, dan nak dapatkan ilmu kebal.

Antara contoh ilmu kebal yang aku baca ialah menulis ayat-ayat tertentu di atas pinggan kaca menggunakan pen berdakwat. Kemudiannya tuang air ke atas pinggan, dan kacau dakwat tadi sampai larut. Air itu kemudiannya diminum.

Kami berdua teringin juga nak buat tapi apa kan daya. Ayat-ayat yang kena salin tu, punya lah panjang. Nak tulis Bismillah sampai habis pun dah makan masa 5 minit. Hmmmm… akhirnya kami berputus asa.

Contoh kedua pula ialah dengan menepuk batang pokok pisang sambil membayangkan itu adalah badan orang hendak dihapuskan.

Sebelum itu, beberapa ayat perlu dibaca sekali nafas, kemudian hembus dengan kuat sambil menepuk batang pisang. Heh! Itu pun kami buat. Tapi setakat tepuk batang pisang saja lah. Mana la rajin nak menghafal ayat-ayat yang panjang, dan baca senafas pulak tu.

Semasa aku berumur 12 tahun, kedua-dua kakakku Al-Falfa dan Al-Yaya telah memasuki sekolah agama berasrama di negeri Kedah.

Apabila cuti sekolah, kakak mengadu pada abah yang sekolah diaorang banyak hantu. Boleh dikatakan setiap hari pasti ada kes budak kena histeria. Al-Yaya yang paling takut sebab dia rasa hantu-hantu tu dah target nak masuk badan dia.

Sewaktu Al-Yaya tidur di asrama, dia telah bermimpi sekumpulan kelawar terbang masuk ke biliknya.

Salah satu kelawar telah bertukar menjadi manusia bertaring dan membaling pisau tepat ke dahi Al-Yaya. Itu sebagai petanda yang mereka nak target Al-Yaya sebagai mangsa rasukan histeria.

Selain itu, bila ada pelajar yang histeria, dengan suara yang garau, pelajar itu menunding jari ke arah Al-Yaya dan berkata “Siap la kau! Siap la kau!”. Al-Yaya sering ketakutan dan meminta Al-Falfa menemaninya setiap masa.

Disebabkan Al-Yaya seperti dibuli oleh hantu, Al-Falfa rasa berang dan marah dengan geng hantu.

Seperti yang aku gambarkan tadi, Al-Falfa ni perangainya memang lain. Kalau ada pelajar histeria, Al-Falfa tidak berasa takut atau seram. Tetapi dia rasa marah sebab geng hantu yang mengacau.

Bila pulang ke rumah, Al-Falfa meminta abah mengajarnya sepotong dua ayat yang boleh melawan hantu di asrama. Abah telah berkongsi sepotong ayat dan meminta kami menghafalnya. Ayat tu bukan ayat Quran, tapi lebih kepada mentera.

Bunyinya seakan syair arab heeeeee…. Abah meminta kami merahsiakan ayat tersebut dari orang lain kerana ayat itu diambil dari kitab kuning.

Dipendekkan cerita, sejak itu Al-Yaya sudah selamat dari gangguan hantu di asrama. Al-Falfa pula menjadi seperti penyelamat kepada pelajar-pelajar yang sering diganggu histeria.

Bila ada kes histeria, Al-Falfa akan menghembuskan bacaan ayat tadi ke dalam air dan sapu ke muka pelajar yang dirasuki hantu. Dan woooshhhh! Hantu terus keluar dan pelajar tu terus pengsan. Selesai masalah.

Sejak itu, Al-Falfa menjadi popular di kalangan pelajar, dan juga geng hantu. Bila ada kes histeria, hantu yang berada dalam badan pelajar akan berkata kepada pelajar lain,

“Hampa nak buat apa pun aku tak takut. Tapi hampa jangan panggil si Al-Falfa tu. Aku takuuuuuuuuutttt!!!!”.

Warden dan ustaz pun tahu geng hantu takut pada Al-Falfa sehingga ada yang bertanya ayat apa Al-Falfa pakai sampai hantu pun takut kat dia.

Kehebatan ayat syair arab itu kami pegang sehingga lah abah dan mama berhajat pergi menunaikan haji. Ketika itu aku berumur 13 tahun dan bersekolah di sekolah arab yang sama dengan kakakku.

Beberapa bulan sebelum ke Mekah, abah telah memanggil kami. Dia berkata yang dia mahu membuang semua ilmu batinnya dan tidak akan menurunkan kepada anak-anak. Ini kerana semua ilmu tersebut melibatkan jin pendamping.

Abah juga meminta kami melupakan ayat syair arab yang kami hafal dan pegang kemas setelah sekian lama. Abah berkata ayat itu sebenarnya menyeru nama-nama jeneral Iblis.

Sebab itulah bila dibaca kepada hantu-hantu histeria, geng hantu cabut lari. Memang pun, bila aku baca ayat tu, bulu roma mesti naik. Rupa-rupa ayat seru kepala jin! Abah meminta kami mengamalkan ayat kursi sekiranya berdepan dengan hantu asrama.

Selain itu, abah turut mengajak kami untuk solat taubat nasuha sebanyak-banyaknya. Kata abah lagi, disebabkan amalan ayat tersebut, tak semena-mena kami bergantung penuh kepada ayat untuk melindungi diri dari hantu.

Dengan kata lain, kami telah syirik kerana percaya yang ayat tersebut mempunyai kuasa pelindung selain dari Allah.

Sebagai ganti, abah telah mengajar kami selawat Tafrijiyyah. Selawat ini lebih baik dari ayat seru jin kata abah. Tapi abah berpesan supaya sandarkan semua perkara kepada Allah.

Abah kata, walau apapun ayat yang kita amal, tak kira lah zikir ke, selawat ke, ayat quran ke, kita kena yakin kuasa memberi itu datang dari Allah.

Bukan dari ayat yang kita amalkan. Kami seperti patah semangat untuk mempelajari selawat Tafrijiyyah ini. Selawat ini agak panjang dan tak biasa didengar. Tapi abah pujuk dengan berkongsi teknik berselawat.

Abah kata, selawat Tafrijiyyah ni banyak fadhilatnya. Dengan izin Allah, kalau kita amal dengan yakin dan bersungguh-sungguh, kita akan dapat apa yang dihajatkan.

Al-Falfa, seperti biasa dengan beraninya bertanya kepada abah, “Kalau minta nak tengok hantu pun boleh ka abah?”.

Abah tersenyum dan menjawab “Try la.”

Tapi ada beberapa kaedah bacaan yang perlu diikuti. Antaranya ialah kita perlu baca mengikut tajwid dan makhraj yang tepat, dan beberapa kaedah lain yang perlu aku rahsiakan. Bukan apa, takut-takut jika ada pembaca yang salah menuntut nanti, boleh jadi gila isim.

Kalau nak menuntut elok cari gurunya. Seperti dicabar, Al-Falfa telah mengamalkan selawat ini dengan niat untuk melihat hantu!

Korang jangan la kecam sangat, biasa lah remaja. Semua benda nak dicuba. Aku turut mengamalkan tapi dengan niat yang lebih sederhana.

Tak sampai seminggu mengamalkan selawat Tafrijiyyah, Al-Falfa mengadu pada abah yang dia mudah ternampak hantu. Bila di asrama, apabila terdetik sahaja di hati, Al-Falfa akan ternampak kelibat-kelibat hantu secara spontan.

Menariknya, walaupun Al-Yaya tidak mengamalkan selawat ini, tetapi apabila berada berdekatan dengan Al-Falfa, dia seolah-olah turut berada dalam zon hijab yang terbuka.

Dan lebih menarik lagi, Al-Falfa dan Al-Yaya tidak berasa gerun atau seram sewaktu melihat geng hantu. Ini kerana geng hantu seolah-olah tidak menyedari Al-Falfa dan Al-Yaya boleh melihat mereka.

Misalnya Al-Falfa dan Al-Yaya ternampak dua ekor hantu panjang seperti orang lidi, berbadan kurus dan tinggi sehingga siling sedang berlari-lari di koridor kelas.

Mereka berlari-lari dengan kaki yang menjangkau panjang tanpa menyedari Al-Falfa dan Al-Yaya sedang memerhati.

Ada juga ketika kami bertiga sedang menyorok di dalam kelas sewaktu melarikan diri dari menghadiri ceramah Ma’al Hijrah di surau. Suasana di dalam kelas memang gelap tetapi disebabkan kami bertiga, buat-buat berani lah juga.

Dalam setengah jam di situ tiba-tiba Al-Falfa mengajak kami pergi ke surau dengan segera. Walaupun tak setuju, aku ikutkan juga kata-kata kakakku itu.

Sampai sahaja di surau, Al-Falfa berkata dalam suasana kelam, dia ternampak sesusuk badan manusia sedang duduk di belakang kelas tempat kami menyorok. Susuk badan itu seperti lelaki berbadan besar, memakai penutup kepala dan menunduk memandang meja.

Al-Falfa kata dia berasa seram sebab kami telah menjadi sebahagian dari geng hantu yang lari dari ceramah. Hmmm…

Sejak itu, walaupun malas, kami tidak lagi lari menyorok di kelas. Selalunya kami akan lepak di bilik asrama dan pura-pura sakit. Sekurang-kurangnya tidak ada hantu berdamping, sama-sama ponteng ceramah.

Setelah itu, Al-Falfa serik meneruskan hajatnya untuk terbuka hijab. Abah berpesan supaya dia menukar niat kepada yang lebih baik dan memberi manfaat. Cadangan abah aku ikuti. Aku tetapkan niat supaya Allah mudahkan urusan harianku dan memberi gerak hati yang baik.

Sekiranya sebarang malapetaka bakal terjadi, aku memohon agar Allah menyimpang ke arah yang lain.

Ketika aku berada di tingkatan lima, aku sangat bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Aku memohon bersungguh-sungguh agar Allah menolong aku mendapat kejayaan cemerlang dalam SPM.

Aku bukanlah budak yang rajin dan pandai, dalam kelas pun selalu dapat nombor pertengahan. Tapi aku rajin amalkan selawat Tafrijiyyah dan juga surah Waqiah.

Dengan izin Allah, aku mendapat mimpi yang memberi petunjuk tentang soalan dan jawapan yang bakal keluar dalam SPM.

Misalnya kalau esok tu paper Sejarah, pada malam tu aku akan bermimpi topik Sejarah yang masuk dalam SPM.

Kalau Matematik pula, aku akan bermimpi cikgu mengajarku menjawab beberapa soalan. Dan ajaibnya, soalan-soalan yang aku mimpi itu, memang keluar sama sebijik dalam SPM.

Akhirnya, aku menjadi pelajar cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Begitulah hebatnya ilmu Allah, cuba korang try. Tapi sandarkan semua itu kepada Allah tau. Bukan sebab ayat atau selawat. Tak pasal-pasal jatuh syirik wei!

Beberapa tahun kemudian, abah telah pergi meninggalkan kami semua. Kami diberi tempoh tiga bulan untuk berpindah keluar dari rumah kerajaan.

Dalam kesibukan berpindah, Al-Qomri terjumpa kitab kuning yang disorok oleh abah. Al-Falfa berkata yang dia menghormati kehendak abah untuk membuang semua ilmu kebatinan dan tidak mahu menurunkan kepada anak keturunan.

Al-Yaya pun tidak berminat kerana dia sangat penakut dengan hal-hal ghaib. Aku pula tidak mahu mempunyai sebarang kaitan dengan ilmu yang melibatkan jin dan iblis. Akhirnya kami sepakat membakar kitab kuning agar tidak ditemui oleh sesiapa pun.

Kami takut kalau ada orang lain yang membaca dan mengamalkan sebarang ayat berserta kaedah yang boleh menjejaskan akidah.

Walaupun kisah ini sudah lama berlaku, tapi kami mudah ternampak hantu. Terutama ketika dalam keadaan lemah. Sewaktu aku berpantang, aku menyusu bayiku di atas tilam.

Dalam suasana kelam dan suram, aku ternampak susuk tubuh yang besar ragam sedang duduk di sisi katil.

Kakinya terjuntai ke lantai. Rambutnya panjang mengurai dengan hidungnya sedikit panjang terdongak ke atas. Tangannya dilepaskan ke bawah dan wajahnya menunduk memandangku.

Aku segera membawa ayat Kursi dan meneruskan tidur. Aku sememangnya berdoa pada Allah agar tidak terlihat rupa makhluk hantu ni kerana rupa mereka,

Seperti yang dikatakan abah, hodoh dan tidak berseri. Patut lah iblis marah bila manusia diciptakan, sememangnya kejadian manusia adalah berkali-kali lebih baik.

Penampakan hantu bukan sahaja berlaku pada waktu malam malah waktu siang pun boleh terjadi. Waktu tu tengahari, aku sedang kalut menyiapkan beg untuk pulang ke kampung.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi plastik dipukul-pukul di ruang tamu. Aku segera meninjau, memang pelik sebab tiada sesiapa di situ. Aku ternampak satu plastik merah berterbangan ke atas dan ke bawah seolah-olah ditarik oleh tangan ghaib.

Aku sedar ada hantu iblis nak mengacau, cepat-cepat aku baca ayat kursi dan bercerita pada suami. Pada masa yang sama, aku meminta bersungguh-sungguh pada Allah supaya tutup hijab ku. Aku tak nak tengok rupa mereka. Aku tak suka wujud perasaan gerun atau seram.

Paling aku tak suka ialah bila berseorangan di ruang tamu atau di dapur, tiba-tiba terasa cering bulu roma menandakan kehadiran hantu di sekitarku.

Masa menaip cerita ini pun, bulu roma ku naik beberapa kali. Haaaa…. mengikut kata abah, makhluk hantu ni seperti seronok bila kita bercakap pasal mereka.

Okey la geng, aku sudahi cerita di sini saja. Cukup lah sebagai hiburan, lari sikit dari cerita-cerita sedih dalam confession ni. Aku harap korang terhibur dan ambil lah pangajaran sekiranya ada.

Kalau korang rasa meremang, sapu-sapu je lah leher dan lengan korang sambil baca ayat Kursi. Wassalam.

– TunRamos (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Aslm kak.. sye ada 1 permintaan, hajat sye ni xde sape yg tahu, kecuali sye, Allah dn akak.. sye nk mintak izin, bole x akak ajar sye apa cara yg lengkp, (yg baca selawat tafrijiyyah dan syarat ii lain) utk buke hijab penglihatan.. harap akak dpt kongsi ilmu dgn sye, ilmu ni cume lah sye sdiri yg nk guna, bkn org lain.. time kaseh harap balas(kalau boleh, reply ke gmail sye) aslm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *