Assalamualaikum,
Kurang dari 5 tahun lalu, jiran saya yang saya namakan si Ali (bukan nama sebenar) bunuh diri. Sudah pasti beliau orang Islam. Usia beliau ketika itu lebih kurang hampir 66 tahun. Apa yang saya tahu tentang beliau, beliau seorang yang berpendidikan tinggi,mempunyai isteri dan juga anak. Dan sikap beliau kadang kala hanya melihat kesalahan orang lain, tetapi kesalahan keluarganya seperti endah tidak endah. Kadang kala saya juga tidak senang dengan sikap beliau yang satu ini. Anak-anak serta isteri beliau berpakaian mengalahkan orang berada. Dan setahu saya juga beliau bukan penerima pencen dek kerana beliau bukan penjawat awam (kerja kerajaan).
Dijadikan cerita, seminggu sebelum meninggal, saya ada bertemu dengan beliau. Dan beliau kelihatan agak pelik dan berbeza sedikit dari sebelumnya. Kata-kata beliau itu juga membuatkan saya rasa seperti ada 2 perkara yang berlaku. Satu, mungkin beliau sudah berubah,alhamdulillah. Kedua, mungkin beliau akan meninggal. Kenapa saya rasa perkara kedua ini? Sebab saya pernah rasa bila kehilangan orang terdekat, saya dapat macam-macam hint. Lagi pula seminggu atau dua minggu sebelum kejadian itu, saya ada bermimpi yang di sebuah rumah kampung,ada ada seorang hamba Allah meninggal. Rupa rumah kampung itu lebih kurang kartun Kampung Boy, di mana ia sebuah rumah papan dan mempunyai tangga. Semasa saya mahu menaiki ke rumah itu melalui tangga, bau busuk yang amat. Saya pun pelik bau apakah itu. Tetapi saya tidak dapat melihat siapa orang yang meninggal itu. Kemudian di tanah perkuburan itu, ada 3,4 orang yang biasa saya lihat di rumah Ali, iaitu adik beradiknya. Kebetulan saya menziarahi kubur bertentangan kerana ada orang yang meninggal.Orang yang meninggal itu juga saya tidak kenal. Walaupun saya berada di kubur bertentangan, saya melihat adik beradiknya dan kubur si mati tadi.
Bermakna 2 minggu sebelum itu saya bermimpi, kemudian berjumpa dengan beliau seperti yang dinyatakan tadi, dan seminggu selepas itu meninggal. Selepas seminggu, kami semua menerima kejutan bahawasanya Ali telah meninggal dunia. Bila ditanya punca, adik beradiknya tidak mahu menceritakan. Sehinggalah polis datang dan menjadi kes polis. Barulah jiran mendapat tahu beliau membunuh diri dengan menggantungkan dirinya. Ketika beliau menggantungkan dirinya, tiada sesiapa di rumahnya dan sebelum itu beliau ada memberitahu jiran sebelah mahu membunuh diri. Jiran tersebut telah menasihatinya tetapi tidak menyangka ia tetap berlaku. Dikatakan beliau sangat-sangat tertekan dengan anak dan isterinya yang mahu hidup mewah serta tidak mempedulikannya.
Jenazah beliau dibawa pulang ke kampung di mana ia memakan masa lebih kurang 6 jam perjalanan. Seeloknya jenazah dikebumikan dengan kadar segera. Tetapi kes beliau mengambil masa hampir 21 jam untuk dikebumikan. Dan ketika jenazah tiba di kampung, nyamuk pula datang secara tiba-tiba. Beribu-ribu ekor. Agak aneh menurut penduduk di situ kerana tidak pernah berlaku sedemikian rupa. Nyamuk-nyamuk itu mengganggu para jemaah ketika solat jenazah serta individu yang datang menziarahi beliau. Ada yang mengahalau nyamuk dengan mengibas tangan ketika sedang solat.Ia bukan nyamuk biasa, seperti nyamuk hutan kerana boleh menembus stoking yang saya pakai.
Setelah jenazah dibawa keluar ke tanah perkuburan, nyamuk mula berkurangan di dalam rumah dan banyak pula nyamuk di tanah perkuburan. Di dalam hati saya terfikir, ini realiti. Baru azab dunia belum azab di dalam alam sana. Sungguh saya tidak pernah menyaksikan perkara ini di depan mata saya.Itulah pertama kali saya lihat. Selama in hanya tengok dalam “Tanah Kubur” sahaja. Tapi ini realiti. Selepas kejadian, isteri serta anak-anak beliau telah berpindah ke rumah lain kerana takut. Katanya seperti dipanggil dan sebagai.
Kita sebagai manusia memang tidak lari dari buat kesilapan. Tetapi saat kawan-kawan kita,adik beradik kita mempunyai masalah, dengarlah masalah mereka. Ini kerana, menyesal kemudian tidak berguna. Seperti kisah Ali,adik beradiknya mengatakan beliau tidak mahu berkongsi masalah seolah-olah menyesal dan malu. Namun mereka juga salah satu masalah yang membuatkan Ali membunuh diri. Beliau sudah meninggal. Saya menceritakan bukan untuk membuka aib beliau tetapi untuk kita menjadikannya pengajaran. Di saat orang lain takut untuk mati / tidak bersedia untuk mati, mereka pula sedia untuk membunuh diri. Ya mati itu pasti, tetapi kita tetap berasa takut kerana dalam hati tertanya, apakah amalanku ini sudah mencukupi? Apa pun beliau telah pergi. Kita yang masih hidup masih berpeluang melakukan kebaikan dan menambahkan amalan kita.
Moga kita semua dijauhkan daripada perkara seperti ini. Ameen..
– Sang Musafir
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit