3.56 pagi, aku baru selesai buat kerja. Cari rezeki demi kelangsungan hidup di ibu kota.
Sementara tunggu nak kejut suami dan anak² sahur, terbaca pulak artikel https://iiumc.com/aku-b40-m40-
Tambah pula kisah viral seorang kanak² tinggal bersama keluarga di sebuah rumah yang hampir roboh.
Aku ada terbaca komen² yang mengecam perbuatan orang sekeliling yang seolah² tidak langsung membantu keluarga tersebut, membuatkan aku terpanggil untuk meluahkan sedikit sebanyak kisah B040-M40-T20 di sekeliling aku.
Ibu ayah aku asal B40. Hasil usaha yang tak pernah jemu & doa yang tak pernah putus, mereka berjaya ubah taraf hidup ke M40 kemudian T20. Taraf hidup ya. Gaya hidup masih sama, bersederhana dalam segala hal. Dua² sekarang dah jadi YB (Yang Bersara).
Umur aku pun dah banyak, sikit lagi nak cecah 40 tahun. So aku sempat merasa keperitan ibu ayah aku semasa membesarkan aku dan adik beradik lain. Dari menyewa rumah papan, sampai mendirikan banglo.
Bukan senang ya, macam² ditempuh. Tapi hasilnya, alhamdulillah. Lebih dari cukup untuk aku & adik beradik aku membesar dan meneruskan hidup, InsyaAllah.
Keluarga besar belah ayah aku majoriti B40 & M40, mostly ada kerja tetap. Yang kerja biasa², gaji biasa², anak ramai, perangai macam² pun ada.
Normal la kan, dalam setandan pisang, mesti ada yang tak cantik, tapi boleh dikatakan hampir 100% tetap jadi ‘orang’. Sebaliknya pula dengan keluarga besar belah ibu aku.
Majoriti B40. Dan majoriti bermasalah. Ada yang berjudi, ada yang taik dadah. Keluar masuk pusat serenti macam benda normal. Belum lagi yang tiba² sahaja ada anak. Yang bercinta sama jenis. *sigh*
Ok, aku bukan nak cerita pasal masalah² tu semua. Sebab aku rasa benda² yang tak sepatutnya berlaku tu bukan berpunca dari taraf hidup, tapi individu. Tak kira apa jua usaha orang lain buat, selagi empunya badan tak beri komitmen, benda tu takkan berubah.
Aku dan keluarga kecil aku pun tak pernah ‘judge’ perangai mereka, hanya mampu memberi nasihat dan semangat malah tunjuk mereka jalan keluar.
Kami juga tak pernah meminggirkan mereka. As long as mereka tak mengheret kami ke dalam masalah yang mereka cipta sendiri dan tidak kurang ajar dengan kami, itu sudah cukup.
Tapi ada beberapa situasi yang aku rasa dah agak keterlaluan sebab melibatkan ibu aku. Ibu aku ni sejenis yang selalu sangat melebih² dalam membantu orang, walaupun diri sendiri dalam kesulitan, kadang² teraniaya.
Ibu aku anak sulong. Pakcik makcik aku banyak bergantung pada dia dari dulu. Bab pinjam duit, pinjam kereta perkara biasa dari aku kecil sampai sekarang.
Tak kira berapa pun gaji adik beradiknya, bahkan ada yang gaji lagi besar dari ibu, konon² M40-T20 tapi bila tak cukup duit, ibu aku yang dicari. Kena scam berpuluh ribu dengan adik beradik sendiri pun pernah tapi ibu tak penah serik.
Itu ibu aku. Dari muda sampai ke tua, begitulah perangainya. Cuma dulu aku masih mentah. Kurang faham urusan dunia. Tak pernah mempertikaikan kebaikan ibu.
Tapi sekarang aku sendiri pun dah tua. Dah bijak untuk melihat mana baik buruk, mana yang betul² memerlukan dan mengambil kesempatan.
So kembali kepada kisah yang aku nak luah. Bermula lebih kurang 18 tahun lepas. Ibu aku ada beli rumah untuk disewakan. Kebetulan salah seorang makcik aku baru melahirkan anak. Makcik aku ni kahwin dengan orang dari keluarga susah jugak.
Lepas kahwin tinggal dengan nenek aku sebab suaminya tak mampu untuk sewa luar dan rumah keluarganya tak sesuai untuk mereka suami isteri tinggal kat sana.
Memandangkan keadaan rumah nenek aku pun tak berapa ‘sihat’ untuk bayi baru lahir membesar dan ibu aku macam biasa la bertindak membantu makcik aku untuk keluar dari persekitaran yang toksik,
Dibaginya mereka suami isteri sewa rumah tersebut dengan kadar sewa yang tak masuk akal.
Bukan mahal, tapi tersangatlah murah. Sesuai dengan gaji mereka suami isteri masa tu, ibu minta bayar RM150 sahaja untuk rumah banglo 4 bilik tidur, 3 bilik air.
Ditambah dengan halaman yang boleh memuatkan 3 hingga 4 kereta, penyewa lain di kawasan tersebut cakap makcik aku tersangatlah beruntung dapat sewa dengan harga tersebut.
Dah lah rumah baru. Tak cukup dengan rumah, ibu aku sign up insurance untuk anak mereka, dengan harapan ada simpanan dan dapat membantu anak tersebut di kemudian hari.
Ibu aku cakap akan bayar sementara mereka menstabilkan kewangan. Yelah, baru setahun jagung kahwin dan baru dapat anak. Ibu aku buat benda yang sama dia buat untuk aku adik beradik dan beberapa orang sepupu aku yang lain.
Fast forward, ibu aku dah selamat bergelar pesara 7 tahun lepas. Memandangkan gaji ibu pun dah tinggal separuh, insurans anak mereka ibu aku terpaksa tamatkan sebab makcik aku cakap suami dia tak mampu sambung bayar.
Sampai sekarang kewangan mereka suami isteri tak stabil² sejak mereka kahwin 19 tahun lepas. Berbelas tahun ibu tolong bayarkan demi masa depan budak tu. Anaknya pun dah habis sekolah menengah dan dah ada adik. Sewa rumah?
Jumlah tertunggak dah bertahun. Rumah dah barai dengan dinding ditebuk sana sini, tandas rosak tak dibaiki, halaman umpama mini hutan. Dalam masa 18 tahun macam² bantuan ibu aku bagi, termasuklah kereta.
Kalau nak disenaraikan kat sini, confession aku masuk episod 8 pun belum tentu habis. Belum lagi aku ceritakan sekali bantuan dari aku adik beradik, dari orang² sekeliling mereka. Terlalu banyak bantuan.
Ya, terlalu banyak bantuan membuatkan mereka malas untuk berusaha. Malas untuk berfikir. Hilang rasa tanggungjawab. 19 tahun bukan masa yang singkat. Makcik aku pun dah bertahun² berhenti kerja setelah beberapa kali bertukar tempat kerja.
Yang terakhir, dinasihatkan oleh majikan untuk berhenti sebab selalu sangat MC. Bukan tak ada yang tolong carikan kerja lain, tapi ditolak mentah² atas alasan kesihatan.
Diberi tunjuk ajar untuk berniaga, diberikan modal dan peralatan, sekejap sahaja bertahan dengan pelbagai alasan. Tak ada pelanggan, tak berbaloi, penat dan sebagainya. Yang suaminya pula, diberi peralatan untuk buat kerja sampingan, juga sekejap sahaja bertahan.
Yang mereka tahu, meminta sana sini bila perlu seolah² tak ada yang membantu. Diberi joran sudah, diajar memancing sudah. Tapi ikan juga yang dimahukan. Sebab tak perlu bersusah payah.
Aku kadang² malu bila ada yang datang pada aku bercerita hal makcik aku meminta² dan ada juga yang bagitau makcik aku cakap tak cukup makan. Hakikatnya? Yang berkenaan sahaja tau.
Aku triggered bila orang komen berkenaan rumah besar² sekeliling rumah keluarga seorang kanak² yang dalam keadaan sangat daif, tapi tidak membantu.
Aku tak menuduh keluarga adik tersebut berperangai sama macam makcik aku. Aku puji adik tu berusaha cari kerja walaupun upah sikit semata² nak beli barang dapur.
Sekurang² nya dia tidak mencuri dan meminta. Aku cuma nak highlight yang wujud segelintir golongan yang seolah² selesa dilihat susah, supaya senang meminta bantuan dan sentiasa dibantu tanpa perlu berusaha.
Bila tak dibantu, dipetiknya ayat-ayat agama kononnya keluarga/orang sekeliling wajib dan perlu membantu orang terdekat terlebih dahulu. Bab berusaha tak ada pula nak dikaitkan dengan agama. Bagi aku tak adil untuk membuta tuli salahkan orang sekeliling.
Berbalik kepada kisah makcik aku, bila aku atau ibu aku nasihat untuk ubah cara hidup, macam² alasan diberikan. Dikatanya ibu aku tak faham kewangan mereka. Dipertikaikan aku tak faham disebabkan aku anak orang senang dan aku tak biasa hidup susah seperti mereka.
Aku pun sekarang B40. Yang T20 tu ibu ayah aku. Aku pun ada anak². Aku juga surirumah sepenuh masa. Gaji suami aku cukup² untuk bayar rumah, kereta, sekolah anak dan beberapa komitmen lain. Selebihnya, makan pakai, bil telefon, internet aku yang bayar. Mana dapat duit?
Aku bisnes online. Ada di antara barang yang aku jual cuma untung 50 sen hingga RM1. Suami aku ada buat kerja sampingan.
Alhamdulillah rezeki sentiasa ada. Tak pernah lagi aku meminjam walaupun seringgit dengan adik beradik aku sendiri walaupun yang lain semuanya M40 dan T20.
Bukan nak puji diri sendiri, point aku kat sini usaha. Dah terbukti dalam dua confessions yang aku share awal² tadi, siapa yang berusaha pasti akan dapat rasa kemanisan hasilnya.
Dalam kes ni, selain dari kesian kat anak² makcik aku tu dapat makpak takde rasa tanggungjawab, aku cuma kesian dekat ibu aku.
Sepatutnya dah tua, dah boleh ‘enjoy’ tanpa memikirkan masalah² kewangan dan masalah yang tak sepatutnya. Anak² semua dah kahwin, dah selesai tanggungjawab ibu ayah.
Tapi yang lain² pula entah bila nak sedar. Ini cuma 5% dari kisah² lain yang ibu aku terpaksa hadap. Aku sebagai anak tunggal perempuan yang rapat dengan ibu agak terkesan bila kadang² ibu meluahkan perasaan risau dengan keluarga dia.
Cukup dulu luahan aku. Kalau ada yang pernah hadap golongan macam ni, boleh bagi idea tak macam mana nak bagi mereka sedar? Dah nasihat suruh berubah jadi lebih bertanggungjawab demi masa depan anak² sendiri pun tak jalan.
Siap diugutnya nak pindah keluar. Kalau pindah keluar nanti viral pulak kisah keluarga sendiri halau sebab tak bayar sewa. Bertambah lagi kerja netizen mengecam. Haha.
Atau boleh bagi pendapat macam mana nak bagi netizen sedar ada golongan macam ni di kalangan masyarakat kita?
So that takdela rakyat Malaysia yang prihatin dan suka bersedekah membuta tuli membantu dan golongan sebegini tidak membiak lagi. Untuk kebaikan mereka jugak, kan?
Kalau nak kongsi idea, tolong jangan buka aib siapa² ya, bagi pendapat korang je.
– Delylia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit