Baby 2021 VS Depresi

Assalamualaikum dan selamat tahun baru semua. Baby 2021 vs Depresi. Aku harap admin publish confession ni.

Tahun 2021 ni harapnya azam nak ada baby tercapai. Pregnancy test yang aku pernah beli tak lama dulu, dah lama simpan, sebab dah banyak kali kecewa lepas test. Akhirnya, bersemadilah dia dalam drawer saja.

Aku ada masalah sedikit dengan rahim, jadi aku dirujuk ke pakar O&G. Bila ada procedure baru nak dijalankan atas aku atau doktor nak tukar ubat, setiap kali tu akan diadakan pregnancy test. Aku tahu result memang negatif.

Selepas beberapa siri janjitemu dengan berkotak² ubat, scan itu ini yang tidak selesa dan berbakul² nasihat dari doktor, akhirnya janjitemu last Disember lepas, aku bebas ubat dan lain² ujian. Alhamdulillah. Doktor cakap aku boleh ttc saja.

Aku berkobar² jugak nak dapat baby. Rasanya dah bersedia mental dan fizikal ni. Cuma baru² ni aku kena refer ke psychiatrist dengan diagnosis awal aku ada Major Depressive Disorder (MDD). Risau, gelisah fikir pasal nak ada baby.

Macam mana dengan baby kalau aku tetiba burnt out? Boleh ke aku jaga dia dengan baik? Nak jaga diri sendiri pun kelaut dengan kondisi mental macam ni.

Aku dah lama ada simptom² mental illness. Dari 4 tahun lepas aku dinasihatkan oleh kaunselor untuk rujuk ke pakar. Tapi, aku yang terperangkap dalam stigma “mental illness tu gila”, reject nasihat tu.

Sampai lah pada disember tahun lepas, bila mana aku jadi kejung tak boleh bangkit. Dada dan belakang sakit sangat. Nafas laju dan dada rasa sempit macam nak mati. Tidur malam macam tak tidur, asyik terjaga dan mimpi bukan².

Kadang rasa macam ada orang bercakap dan menjerit dalam telinga aku ni. Tekanan pasal anak, kerja dan episod² lampau hidup terus kejar aku hampir setiap hari selama berbulan². Aku jadi pelupa, drive kereta asyik kena minor accident saja.

Kadang aku menangis macam nak gila, kepiluan tu memang dari dasar lubuk hati paling dalam. Kadang aku baring saja berhari² tak buat apa². Nak mandi pun malas.

Keadaan lagi teruk bila aku pergi ke tempat yang bagi aku memori tak baik atau bercakap pasal orang sekian² yang bagi aku memori tak baik tu.

Akhirnya, aku lari ke emergency sebab dah rasa macam nak mati. Kat sana doktor cek aku ok dari segi fizikal dan dia suruh aku pergi ke KK untuk ambil surat rujukan.

Sampai ke KK, aku cerita pasal sakit dada dan belakang saja. Aku masih ragu² nak cakap aku nak minta refer ke psychiatrist.

Tapi, lepas nurse yang buat saringan tengok saja muka aku yang memang kusut tu dan simptom yang aku ada, dia suruh aku jawab DASS. Result nya memang teruk lah.

Dan hari tu jugak doktor bagi aku surat rujukan dan suruh aku buat janji temu dengan klinik pakar psychiatric secepat mungkin.

Tarikh janjitemu makin dekat, aku takut sangat nak berdepan dengan psychiatrist. Aku masih berharap yang aku cuma ada stress biasa saja. Semoga yang baik² saja la.

Berbalik kepada pakar O&G tadi, (hahaha sorry cerita macam berterabur, begitulah jugak minda aku sekarang).

Doktor tanya aku masa janjitemu last, “Awak dah ready nak ada baby?” Aku jawab, “Dulu ready. Tapi lepas kena refer psychiatrist ni, rasa ragu² pulak. Tak tau la doktor?”.

But, Alhamdulillah doktor tu sangat positif dan baik. Aku kena cerita la aku kena refer ke psychiatrist sebab penting jugak untuk rujukan dia.

Dia cakap, “Awak, refer ke psychiatrist tak bermakna gila. Diagnosis mdd atau whatever sekali pun tak menentukan awak bagaimana. Tu cuma diagnosis saja. Ada yang lebih kronik macam skizo tau.

Tapi, ada baby dan boleh jaga. Awak jangan stress dan fikir banyak². Yang penting awak kena pergi janjitemu tu. Kalau stress sangat pun boleh ganggu proses nak pregnant. Jangan fikir rujuk psychiatrist tu gila.”

Dalam segala kegusaran yang aku rasa, setidaknya doktor tu sejukkan hati aku. Dengan memberitahu depresi tu bukan gila. Tak judge aku.

Tak macam sesetengah orang yang aku jumpa. Asyik tanya pasal bila nak mengandung, memperlekeh lambat dapat anak, bergurau lawak lucah pasal tak pandai “main” dan macam² lagi.

Pernah ada mak cik kat kampung tanya aku tak mengandung sebab makan perancang ke? Perlu ke tanya detail sangat. Macam² lagi la ayat pedas. Berulang. Dari orang berbeza. Dengan frekuensi kerap tahap super annoying.

Kadang aku out of control pun sebab tekanan macam ni. Nak tutup mulut orang memang susah.

Tolonglah sesiapa sahaja manusia beruntung yang ada anak tu. Tolong jangan guris hati kami yang belum ada rezeki anak. Bagi kau orang mungkin itu gurauan. Bagi kami tidak.

Tapi serius la bab anak ni sebenarnya gurauan? Anak kau tu sejenis benda lawak yang kau teran separuh mati ke? Mungkin kadang kami boleh buat bodoh dan buat pekak. Tapi, ada ketika kami rasa terguris. Orang yang tak ada mental issues pun koyak wey.

Nak² kami yang ada mental issues ni. Kami sedia ada koyak dan hancur. Kalau kau orang tak boleh jahit dan cantum kami, setidaknya kau orang duduk diam dan ada sedikit empati. Kadang kami terperangkap dalam dimensi (ke?) Yang kami sendiri tak boleh keluar.

Kadang kami tak boleh masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bab anak ni kadang dah 2 minggu pun aku masih tak boleh move on.

Terdengar² saja suara gelak kau orang yang buat lawak pasal lambat ada anak. Setiap muka tu macam jelmaan yang tak pernah padam. Tak masuk lagi sebab² lain depresi.

Kami tak pernah minta kau orang hantar kami ke hospital atau guna wang kau orang untuk perubatan, beras rumah kau orang pun tak pernah kurang sebab kami belum ada anak. Waima tak pernah cederakan kau orang atau sakitkan hati kau orang bila kami out of control.

Cederakan diri sendiri pernah la sebab benda² ni macam dok putar pergi balik dalam otak non stop, tak nak keluar. kau orang sebenarnya yang buat kami bertambah sakit. Dengan lawak jijik korang, dengan menghakimi kami sesuka hati.

Anak ni rezeki. Rezeki tu rahsia Allah. kau orang pun tahu. kau orang bukannya tak sekolah. Kadang tu boleh pulak cakap, “Eh tanya saja. Tak kan tak boleh?”

Kalau kau sekadar tanya saja dan berbasa basi prihatin tak de la orang nak meroyan. Cuba revise balik apa soalan kau dan kata² dari mulut puaka kau tu yang buat orang naik angin?

Hahahaha. Aku rasa setakat ni saja aku mampu tulis. Aku dah hampir nak lost control walaupun dengan hanya menulis ini semua.

Ok guys, semoga yang masih menunggu double line dikurniakan rezeki anak pada tahun ini. Tetaplah sabar dan tenang. Faham, mental ke tak mental, bab sensitif ni semua orang koyak.

Dan bagi yang ada mental issues, semoga kita juga akan baik² sahaja. Mental illness adalah diagnosis, dan diagnosis itu bukan kita. Siapa yang ada mental illness dan ada baby?

Boleh share pengalaman kau orang tak? At least boleh kurangkan kegusaran kami² yang masih menanti zuriat ni.

P/s: Alhamdulillah selain jumpa doktor, aku masih solat, mengaji, zikir dan buat ibadah lain dengan baik. Perubatan islam pun dah pergi.

Depresi bukan soal rapuh hati atau iman,

– Ummu Adni (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *