Assalamualaikum semua. Terima kasih kepada admin jika kisah ini disiarkan.
Tujuan aku mencoretkan nukilan hatiku disini hanya inginkan pandangan dan tips daripada akak-akak yang sudah berpengalaman berhadapan dengan sikap mertua yang berbagai-bagai jenis ini,
Supaya di masa akan datang kita dapat menggunakan pandangan yang diberikan kearah yang lebih positif dan baik.
Pertama sekali, biarlah aku perkenalkan dahulu diri aku ini, nama aku Mawar (bukan nama sebenar), berumur 27 tahun, sudah berumah tangga hampir 1 tahun, bekerjaya, seorang yang pemalu dan pendiam tetapi peramah apabila sudah selesa dengan orang yang sekepala.
Aku sudah berkahwin dengan suami hampir setahun, dan kami sudah berkawan hampir 3 tahun sebelum kami sama-sama mengikat tali perkahwinan.
Makanya, sepanjang 3 tahun perkenalan aku bersama suami, sudah banyak kali juga aku bertemu dengan keluarga suami. Sebelum berkahwin, semuanya tampak normal sahaja.
Keluarga suami baik melayan aku. Tetapi, hati aku mula berbelah bahagi sewaktu kami mengikat tali pertunangan. Aku perasan, ibu suami suka control suami dan masuk campur dalam isu hubungan kami.
Tetapi, waktu itu aku cuba untuk berfikiran positif, mungkin ibunya hanya inginkan yang terbaik buat kami berdua dan tidak mahu kami tersilap langkah biarpun, ketika itu aku mula berbelah bahagi tentang ibu suami.
Namun, sebab kasih dan cinta aku kepada suami ketika itu aku abaikan perasaan aku ini, mungkin ini sekadar mainan syaitan dan ujian orang bertunang.
Kami bertunang 1 tahun dan selamat menjadi pasangan suami isteri pada awal bulan tahun lepas.
Hati aku mula tidak sedap apabila, suami berkata ingin duduk sebumbung bersama mertua di awal perkahwinan kami sementara suami mencari rumah sewa buat kami berdua.
Aku tahu, akan timbul banyak konflik apabila menantu tinggal bersama mertua. Tetapi, suami janji, kami hanya tinggal sementara sahaja.
Tambah pula, waktu itu kita di dalam wabak covid 19, maka agak sukar untuk kami dapatkan rumah sewa yang kami harapkan. Rata-rata rumah sewa yang kami temui bayaran bulanan agak keras, sudahlah itu rumah pula tidaklah sehebat harganya.
Oleh hal yang demikian, aku terpaksa akur untuk menumpang rumah mertua buat seketika sementara kami mencari rumah sewa yang baru. Maka bermulalah konflik dalaman yang aku lalui bersama mertua sejak hari itu.
Company aku mengarahkan semua pekerja untuk work from home atas keselamatan pekerja kerana penularan wabak covid 19 yang melanda negara kita pada waktu itu. Work from home di rumah mertua aku rasa sangatlah tidak selesa.
Awal-awal kahwin harus tinggal sebumbung bersama mertua, tambah pula terpaksa work from home di rumah mertua pula.
Bagi mertua istilah work from home pada pandangan mereka ialah boleh mengular bersiar-siar, melepak di ruang tamu tanpa perlu fokus pada kerja. Senang kata, suka hati nak buat kerja bila.
Tetapi, kenyataannya jadual work from home aku sangatlah penuh. Setiap hari ada 2, 3 meeting yang kena hadap.
Bukan itu saja, kadang terpaksa handle task yang berlambak setiap hari. Jadi, aku banyak mengurungkan diri di dalam bilik. Suami aku pula, kerja di ofis. Jadi, memang aku seorang saja lah yang tinggal seorang bersama mertua dan adik beradik yang lain.
Pernah saja, aku terdengar ibu mertua bertanya pasa suami tentang aku, yang aku ni memang terkurung tak boleh langsung kah nak turun bawah meluangkan masa dengan keluarga?
Ada waktunya suami menegur aku, “awak ni, tolong-tolong la ibu tu masak”. Haih. Aku bukannya tidak mahu menolong tetapi, aku ni tengah kerja bukannya tengah melepak.
Di hari minggu, waktu rajin aku datang, bila aku ingin tolong ibu mertua masak, ditolaknya pelawaan aku. Katanya tidak payah, dan menyuruh aku duduk saja di ruang tamu.
Aku pula kadang-kadang bengong juga, bila dah dia suruh aku duduk ruang tamu aku pun pergilah ke ruang tamu melayan berborak bersama suami.
Lepas itu, ibu mertua akan mencebik tidak puas hati dengan aku. Tetapi, banyak kali juga aku ingin membantu ibu mertua memasak, tetapi ibu mertua selalu menolak pelawaan aku.
Mungkin, dia lebih selesa masak sendiri tanpa bantuan orang lain, aku cuba sedapkan hati sendiri saja. Aku fikir, ibu mertua tak kisah.
Rupanya, dalam hatinya ada yang tidak kepuasan hati dengan perangai aku sepanjang aku duduk di rumahnya.
Ada suatu hari, waktu itu suami kerja di ofis, aku pula work from home, aku mula kerja pada pukul 8.30 pagi, punyalah sibuk dengan kerja aku tidak perasan yang sudah masuk pukul 10.30 pagi patutlah perut aku asyik berkeroncong saja rupanya terlepas untuk bersarapan.
Aku pun turun kebawah untuk mengalas perut dan terdengar perbualan ibu mertua dan kakaknya memerli aku. ” hmmmmm dia tu duduk dalam bilik saja. Haaaaa ni baru lah nak turun “.
Dalam hati aku, mulalah berprasangka tidak baik tetapi aku cuba abaikan perasaan ini. Sejak hari itu, aku semacam tidak suka mertua aku. Aku tahu, itu ibu kepada suami aku tetapi, aku tidak berkenan dengan perangainya.
Aku mengemukakan cadangan aku kepada suami untuk menyewa di selangor kerana banyak rumah-rumah yang harga tidaklah mahal berbanding di KL.
Tiba-tiba, mertua mencelah kata, jauh dengan tempat kerja suami dan kasihan suami harus berulang alik jauh dari rumah dan tempat kerja.
Kemudian diselitkan pula, aku ini tidak apalah, cuma work from home saja, tidak perlu nak ulang alik kerja.
Aku cuba, menyakinkan cadangan aku bahawa rumah sewa itu cuma 30 minit sahaja dari tempat kerja suami tiada beza pun dengan perjalanan suami dari rumah mertua juga.
Tapi, mertua tetap dengan pandangan dia. Maka aku hanya diam. Tetapi, akhirnya, kami berjaya juga mendapatkan rumah sewa sendiri. Kali ini, dipersetujui mertua.
Tahulah kenapa kan… sebab rumah sewa kami dengan rumah mertua cuma 5 minit saja jika menaiki kereta. Ikutlah, janji dapat duduk di rumah sendiri bersama suami.
Betapa gembiranya aku bila dapat keluar dari rumah mertua aku. Aku membantu suami untuk membeli perabot baru untuk kelengkapan rumah kami. Suami menyediakan ini, aku pula menyediakan itu dan akhirnya rumah kami kini selesa untuk diduduki.
Sepanjang kami mula duduk di rumah sendiri ini, hampir sehari itu 4 kali ibu mertua menelefon suami bertanya makan dah ke? Aku masak apa? Risau sangat anak dia tak makan.
Iyalah kan, dekat 2 bulan aku tumpang duduk di rumah mertua berapa kali saja dia nampak aku turun ke bawah. Itulah, takutlah suami aku kebulur mati kering duduk dengan aku.
Kadang aku curi-curi juga dengar perbualan suami dan ibunya. Haritu, aku sibuk jadi aku cuma masak cekodok saja untuk breakfast.
Maka, terdengarlah suara ibu mertua berkata pada suami “Cekodok saja? Kenyang ke?”. Hmmmmm kira okay la tu aku ni bekerja sempat juga nak curi masa memasak.
Lainlah kalau aku suri rumah sepenuh masa macam mertua aku tu boleh lah nak flexiblekan masa masak bila. Boleh dikatakan setiap harilah dan setiap waktu mertua tanya suami makan apa. Aku rasa sampai rasa macam meluat.
Sekarang ini kan, dunia sudah serba moden, kalau lapar boleh order food panda atau grab food saja. Aku tak kisah nak masak untuk suami sebab memang tanggungjawab aku. Tapi, aku tak suka bila masakan aku dikritik. Simple sangat lah. Sendu sengatlah.
Bila balik rumah mertua, ibu mertua masaklah masakan kegemaran suami. Suami berseleralah kan, bila semua lauk kegemaran dia.
Ibu mertua mulalah, menyelit “berapa lama dah mir tak makan lauk macam ni?”. “Mawar masaklah lauk macam ni Amir suka takkan asyik nak makan ayam goreng saja jemu”.
Amboi, baik punya perli. Yelah, aku waktu tu baru saja lagi kawin, masih lagi nak sesuaikan diri. Aku ni pun bukannya pandai masak sangat. Masih lagi dalam proses belajar. Sabar jelah waktu tu.
Karakter suami aku ni, apa saja yang dia beli dia nak cerita pada keluarga dia. Hari itu, kami ingin melengkapkan ruangan rumah kami dengan perabot-perabot yang selesa.
Seusai kami disitu, kami menyinggah ke rumah mertua dan suami memberi tahu keluarganya bahawa rumah kami lengkap terisi dengan perabot.
Ibu mertua mula mencelah, buat apa bazirkan duit beli mahal-mahal, pergi kedai secondhand saja kat situ murah, barang pun elok saja. “Mawar, lain kali pergi saja kedai secondhand tak payah lah bawak Amir kedai situ mahal”.
Aku masih bersangka baik lagi waktu tu tapi, bila aku asyik ditegur ibu mertua soal duit dari situ dalam hati aku, mulalah terdetik, dia fikir aku ni menghabiskan duit anak dia ke? Risau sangat anak dia habis duit sebab aku?
Dia tak tahu ke yang segala barang aku beli aku pakai duit aku sendiri? Aku bekerja kot… ada duit aku sendiri. Zaman sekarang aku rasa semua perempuan independent. Ada lagi ke zaman perempuan mengharapkan duit laki nak beli iti dan ini? Tapi aku diamkan aja.
Walaupun begitu, biarpun ibu mertua suruh kami beli barang secondhand dan berjimat,
Aku ingatkan ibu mertua sejenis yang cermatlah kerana setiap kali kami beli barang disuruh beli barang secondhand, tetapi tidak pun kami nak ikut. Sebab pakai duit sendiri kot, suka hatilah kan nak beli apa dan pergi kedai mana pun. Bukannya pakai duit mertua.
So, biar kami ada kebebasan membeli dengan cara masing-masing. Aku fikir mertua seorang yang cermat tetapi, apabila kami membeli barang jenama yanh baru ibu mertua pasti nak jugak barang itu dan kalau boleh kalau kami punya 4 star dia punya mesti double 8 star dari kami.
Entahlah, tapi aku kerap perasan sikap mertua yang suka bersaing dengan kami. Kalau boleh dia lagi the best.
Hari tu, suami bercerita kami beli periuk nasi tefal dan beritahu mertua produk itu sangat memudahkan pengguna dan berkualiti lagipun kami beli memang untuk keperluan harian sebab kami waktu itu memang mencari periuk nasi.
Tidak lama lepas itu, bila kami datang rumah mertua terlihat, periuk tefal baru di rumah mertua. Kelakarlah. Aku rasa periuk nasi mertua baru saja lagi. Tetapi, tiba-tiba beli yang baru juga.
Eh, tak de pula nak pergi kedai secondhand yang dia selalu ucap tepi telinga aku tu. Nak saja aku mencelah waktu tu “ni ibu beli kat kedai secondhand ke?”.
Tapi, malas lah nak cari pasal pulakkan namanya tu. Seharian lah dia bercerita periuk baru dia yang mahal tu.
Satu lagi, mertua aku ni memang setiap barang dia beli mesti nak sebut harga. Nak kata, barang dia mahal. “Oh, Mir, ibu haritu beli tefal juga mir harga RM400”. “Ibu, beli mop norwex RM xxx”. “Yalah, sama lah macam bag LV ibu yang ibu beli harga xxx tu”.
Kita, kalau beli barang mahal segan nak bagitahu orang. Tapi dia setiap barang mesti dia nak sebutkan harga dan jenama walaupun kami tidak tanya.
Tapi itulah, selalu saja aku perasan, kalau kami beli mop baru atau periuk baru ke atau apa-apa lah yang baru, mertua mesti nak dia punya lagi the best dari kami.
Kalau beli mop tu kami punya 4 star dia nak dia punya 10 star walaupun mop kat rumah dia tu boleh saja guna lagi. Entahlah kalau aku saja ke yang perasan atau ianya cuma kebetulan.
Haritu, suami menyampaikan hasrat suatu hari nanti nak beli kereta baru jenama sekian sekian. Tiba-tiba tidak sampai 3 minggu apabila kami datang ke rumah mertua, ibu mertua berkata “Mir, nanti ayah nak belikan ibu kereta tu”. Kami berdua semacam tercengang.
Entah lah pelik juga kadang-kadang dengan perangai mertua ni. Aku tak kesah kalau mertua rasa nak tukar barang-barang baru tetapi aku tak suka bila dia sangka aku ini menghabiskan duit anak dia.
Padahal sepanjang kami kawin ni, tak pernah sedikit pun aku berkira-kira dengan suami. Sehinggakan kereta aku pun, aku tidak kesah kalau suami guna. Tetapi, lama-lama aku mula rasa berkira-kira dengan suami asbab perangai mertua.
Entahlah aku cuba untuk sayangkan dia seperti ibu aku sendiri. Tetapi, dia anggap aku sebagai anak sendiri jugakkah?
Sepanjang aku berkahwin dengan suami setiap minggu kami akan datang tidur rumah mertua. Dalam seminggu tidak pernah sekali pun kami tidak menjenguk mereka.
Tetapi apabila masuk bahagia keluarga aku, mertua mula bertindak tidak adil terhadap aku. Sedangkan cuma berapa kali saja lah aku menjenguk keluarga aku di kampung kerana larangan rentas negeri yang berkuat kuasa sejak tahun lepas lagi.
Apabila kerajaan mula melonggarkan peraturan rentas negeri aku menyampai hasrat itu kepada suami.
Suami pula, menyatakan hasrat aku kepada keluarga mertua kerana hampir 4 bulan aku tidak menjenguk keluarga aku di kampung.
Terkilannya aku, bila mertua buat tak tahu saja dengan hasrat kami untuk pulang ke kampung. Siap menyelit lagi “Nak baliknya mana Mir? Kes covid ni bahaya”.
Oh, nak timbulkan isu covid tapi, berkunjung tidur rumah dia tak dijadikan isu pula.
Kalau boleh setiap minggu tu, biar suami balik rumah mertua saja. Spent time dengan diaorang saja. Macam aku ni tak ada keluarga. Bukan sekali, tetapi berkali-kali kalau kami nak pulang, mesti ibu mertua bad mood.
Aku tak faham lah, kami hampir setiap minggu 3, 4 kali berkunjung ke rumah mertua. Takkan lah aku nak balik rumah ibubapa aku sendiri yang hentah 4 bulan sekali pun tak boleh?
Yang paling aku terkilan waktu raya tahun ni, kerajaan membuat sekatan rentas negeri dan daerah buat semua rakyat malaysia demi membanteras wabak covid 19.
Melihat gelagat ibu dan ayah mertua punyalah menyokong hasrat kerajaan. Iyelah, boleh lah kan, keluarga dia semua cukup lengkap. Suami pun rumah setakat 5 minit saja dari rumah. Siap menyindir lagi aku, “hahaha beraya sini jelah erkk Mawar”. Sumpah lah aku terasa gila waktu tu.
Kami yang tak dapat rentas negeri ni dekat 5 bulan dah, sudah lah puasa pun aku tak berkesempatan berpuasa dengan keluarga aku, memang tiap minggu wajiblah datang rumah mertua.
Tiba waktu raya diaorang boleh bergelak dekat aku sebab pkp tak boleh rentas negeri. Sabar jelah. Makin lama, aku rasa makin tak ikhlas kalau balik rumah mertua. Alah, kalau aku balik pun, aku macam tunggul saja.
Entahlah aku cuba untuk menganggap ibu mertua dan adik beradik suami seperti keluarga aku sendiri. Tetapi, aku tidak boleh. Aku rasa ada gap.
Sepanjang setahun ini, aku sudah cuba untuk ambil hati mertua dan adik beradik suami tetapi tiada hasil. Jadi aku pun mula buat bodoh saja kalau datang rumah mertua.
Aku main fon. Orang tengok tv aku tengok tv. Orang makan aku makan. Orang tidur aku tidur. Penatlah asyik kita saja yang kena make effort. Mungkinlah kan, sebab aku ni tidak pernah dianggap as part of the family.
Aku pernah terfikir, kalau lah suatu hari nanti kalau suami aku outstation berbulan-bulan adalah keluarga mertua akan menjenguk aku di rumah sewa ini?
Sedangkan, pernah sekali suami aku outstation 3 hari, sepanjang 3 hari itu tidak ada seorang pun keluaga mertua yang bertanyakan khabar aku.
Aku okay ke tidur seorang? Atau bertanyakan keselamatan aku? Atau sekadar bertanya aku sudah makan ke belum? Tidak. Tidak seorang pun. Sepi telefon aku.
Cuma pada hari ke-3 tiba-tiba mertua telefon. Sekadar ingin tahu, suami balik bila kerana telefon tidak diangkat. Mahu ajak suami dan aku makan di rumah.
Dalam hati aku, oh untuk tu saja telefon aku. Aku rasa kadang-kadang itu seperti tersisih sangat. Aku rasa, kalau suami aku outstation berbulan bulan ni, berbulan bulan itu jugaklah aku macam sebatang kara saja kat sini.
Ada mertua rumah dekat pun rasa macam orang luar saja. Aku dah cakap pada suami, if dia kerja luar hampir berbulan bulan izinkan aku balik rumah ibu ayah aku dari tinggal sini. Suami ada tanya, family diakan ada.
Direct saja aku cakap, awak outstation 4 hari hari tu pun, tak de sape kesah pun jadi sama jelah kalau berbulan-bulan nanti. Aku tahu, aku salah berkata begitu depan suami tapi, tak salahkan kalau aku meluahkan apa yang terbuku dihati aku ini.
Aku sebenarnya, banyak lagi benda yang aku makan hati. Tapi, yang lain biarlah aku pendamkan saja buat diri sendiri.
Disini, aku cuma inginkan nasihat bagaimana untuk didik hati supaya aku ikhlas sayangkan keluarga mertua sepeti keluarga aku sendiri? Aku tidak suka wujudnya perasaan ini.
Terutama apabila suami mengajak kami untuk berkunjung ke rumah mertua. Aku akan rasa stress. Aku tidak suka. Macam… tak bestlah macam itu kan.. kalau boleh kita nak lah rasa happy-happy bila kunjung rumah mertua.
Tetapi, macamana untuk kita wujudkan rasa ikhlas itu? Mohon tips dari semua.
Terima kasih.
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit