Bahagia Cara Aku

Assalamualaikum. Aku Suria, 27 tahun. Biasanya aku pembaca iium confessions tapi terpanggil untuk berkongsi cara aku bahagiakan diri aku sendiri selepas tengok live dari page ni kemarin. Boleh pulak aku layan dari awal sampai habis admin jalan-jalan sambil membebel sorang-sorang. Haha. Kali ini aku cuba ye mengarang walaupun mungkin ayat agak tunggang terbalik.

Tipulah kalau aku cakap hidup aku tak pernah diuji. Kadang-kadang tu menangis jugak waktu malam tapi sekejap je sebab kalau aku nangis kuat-kuat, nanti esok mesti mata aku bengkak dan sepet. Takkan selalu nak bagi alasan semut gigit bila rakan sekerja aku tanya. Aku setuju sangat bila admin tekankan semalam bahawa HIDUP ADALAH PILIHAN DAN PILIHLAH UNTUK BAHAGIA.

Aku kongsikan ye beberapa cara aku bahagiakan diri aku. Ini cara aku, dan aku pasti ramai pembaca yang mempunyai banyak lagi cara untuk bahagiakan diri sendiri.

1) Hidup ini sementara saja.

Setiap kali aku nak bersedih sebabkan seseorang, aku pasti akan cakap dekat hati aku. Hidup ni Allah bagi pinjam sekejap sahaja. Takkan lah aku nak isi dengan kisah sedih je memanjang. Rugi. Padahal masa-masa yang ada tu boleh aku guna untuk kebaikan diri aku dan orang yang sayangkan aku. Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan, yang membahagiakan.

Aku ada terbaca satu status dekat Facebook. Ada yang berkongsi, setiap kali rasa sedih atau kecewa dekat seseorang, cubalah keesokan paginya, kau belanja nasi lemak yang paling kau suka dekat sesiapa sahaja yang kau jumpa. Kenapa nasi lemak? Entah, sebab nasi lemak memang sedap kot. Hehe. Pasti kau akan tersenyum semula apabila melihat reaksi muka orang tu dan lupakan kisah sedih semalam. Jom kita cuba. Tak jumpa nasi lemak, kita bagi coklat choki-choki satu sorang.

2) Tengok orang yang lebih susah dari kita.

Cara ini aku guna baru-baru ni. Hari tu aku sedih sebab terasa hati bila orang puji adik aku lebih berjaya dari aku. Orang tu bukan niat nak mengata aku pun sebenarnya tapi aku je yang sentap lebih. Nangis sendiri jugak la malam tu. Hahaha. Tapi nak dijadikan kebetulannya, aku bukak Facebook dan tiba-tiba terdetik nak baca kisah dari iium confession. Aku pun bacalah perkongsian sahabat-sahabat dekat page ni. Dalam hati aku, rupa-rupanya ujian aku ni tak lah sebesar mana nak dibandingkan dengan orang lain. Orang lain ada masalah roommate, ada masalah keluarga yang lebih besar dan berat lagi tapi aku, saja je ngada-ngada nak terasa hati dah kenapa.

Aku juga cuba pujuk hati apabila orang perkecilkan pekerjaan aku yang gajinya tidak seberapa nak dibandingkan dengan tekanan kerja tapi aku cuba tengok orang yang belum ada pekerjaan lagi. Sekurang-kurangnya aku dah ada kerja. Setiap kali syarikat aku mengadakan temuduga untuk satu jawatan kosong, pasti yang datangnya berpuluh-puluh orang yang ingin mencuba nasib. Syukurlah, sentiasa ingat yang pasti akan ada orang yang lebih susah dari kita.

Apapun, setiap kali aku baca perkongsian dekat sini, aku cukup kagum dengan kekuatan dan kesabaran yang sahabat-sahabat ada sebab tu Allah bagi ujian macam tu. Kalau aku dah lama meroyan agaknya. Hehe. Percayalah, Allah takkan bebankan hambaNya dengan apa yang dia tak mampu! Allah lagi tahu setakat mana kemampuan kita.

3) Hargai setiap detik.

Awal tahun ni, aku mengambil keputusan berhenti kerja atas sebab tertentu. Dengan simpanan tak seberapa semasa bekerja, aku teruskan hidup sebagai penganggur selama 4 bulan menggunakan saki baki duit yang ada. Tipulah kalau cakap tak sedih sebab takda duit, takda pekerjaan. Tapi aku cuba pujuk diri. Masa yang terluang sebagai penganggur tu aku isi dengan baca buku, jadi sukarelawan aktiviti perkhemahan sekolah lama aku,hantar resume, ambil tempahan buat album gambar dan macam-macam lagi aku buat untuk sibukkan diri. Bagi diri aku sibuk sampai tiada masa nak fikir mengenai kekurangan aku walaupun hampir setiap malam aku nangis tertekan sorang-sorang. Hahaha.

Tapi itulah. Allah takkan jadikan sesuatu yang terjadi pada diri adalah sia-sia. Masa aku jadi penganggur tu la, banyak masa aku terluang untuk dekat pada Allah, jumpa kawan-kawan yang sayang aku, baca buku banyak-banyak dan beri diri aku peluang untuk muhasabah diri aku semula. Aku setting semula perancangan hidup aku dan matlamat-matlamat aku. Betullah. Allah itu sebaik-baik perancang dan tinggal kita saja mahu percaya atau tidak.

4) Tawakal kepada Allah.

Semasa dalam ‘live’ semalam, ada seorang yang komen minta pendapat admin bagi permasalahan kahwin paksa. Ini pandangan aku dan berdasarkan pengalaman hidup aku sendiri. Bukan pengalaman dipaksa kahwin, tapi pengalaman diuji dengan keadaan yang memaksa aku untuk terima sesuatu itu atas sebab-sebab tertentu yang aku rasa aku tak mampu tolak.

Yang pertama aku buat ialah minta pertolongan Allah. Contohnya, kalau dipaksa kahwin, istikarah pada Allah. Minta pada Allah tunjukkan apa yang terbaik, jika benar itu jodoh yang terbaik, bantulah hati untuk redha dengan ketentuan Allah. Jika bukan jodoh, minta Allah lembutkan hati mak lelaki tu untuk terima penolakan. Allah Maha Mengetahui. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Jika kita tak mampu ubah keadaan sekeliling, ubahlah diri kita untuk terimanya dengan bahagia.

Sekian sahaja perkongsian dari aku yang tak seberapa ni. Aku suka sangat kalau dapat baca cara sahabat semua bahagiakan diri di ruangan komen. Mungkin ada yang sedang bersedih boleh terima cara sahabat lain, bukan cara aku. Siapa tahu.

Seperti juga harapan admin semalam, aku juga doakan pembaca semua gembira selalu. Jangan terlalu fikir apa kata orang selagi apa yang kita lakukan itu tak langgar hukum Allah. Hidup adalah pilihan dan pilihlah untuk bahagia.

Ok sekian. Senyum sokmo deh!

– Cik Suria

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *