Bahagia Cara Aku

Aku Bawang, seorang wanita dalam pertengahan usia 20-an.

Kalau nak ikutkan norma masyarakat, usia aku sekarang ni mungkin dianggap waktu emas untuk berkahwin, bina keluarga, dan kejar semua “kehidupan ideal” yang sering dipotretkan sebagai matlamat hidup.

Tapi aku masih sendiri. Belum berkahwin, belum ada pasangan, apatah lagi anak.

Bila aku tengok kawan-kawan sekolah dulu, ramai yang dah capai semua itu, ada yang dah ada anak pertama, malah ada yang sedang tunggu anak kedua.

Dan aku di sini, masih tertanya-tanya, “Adakah aku salah jalan? Lambat sangatkah aku ni?”

Aku cuba yakinkan diri, hidup ni bukan pertandingan. Perjalanan hidup setiap orang berbeza. Tapi jujurnya, perasaan itu tetap datang sesekali.

Ada masa aku rasa tertinggal jauh. Aku rasa macam tak bergerak bila tengok timeline hidup orang lain.

Dalam masa yang sama, aku juga rasa takut. Bukan takut dengan kehidupan sekarang, tapi takut dengan apa yang menanti di hadapan, terutama bila bercakap tentang perkahwinan.

Sebenarnya, aku tak tahu sama ada aku bersedia untuk ke arah itu.

Kadang-kadang, bila aku bayangkan perkahwinan, aku rasa macam ada satu beban berat yang aku belum cukup kuat untuk tanggung.

Aku takut aku tak mampu jadi pasangan yang baik, takut aku hilang kebebasan yang aku ada sekarang, takut aku tak boleh nak sesuaikan diri dengan dunia yang memerlukan begitu banyak pengorbanan.

Dan, paling aku takut, aku tak mahu gagal dalam perkahwinan, sesuatu yang aku tahu bukan mudah untuk dilalui.

Aku selalu rasa yang ada banyak perkara dalam hidup ni yang aku belum buat. Aku nak travel, nak tengok dunia, nak rasa pengalaman baru sebelum aku serahkan hidup aku kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Aku nak kenal diri aku dengan lebih mendalam. Siapa aku sebenarnya? Apa yang buat aku gembira? Apa yang aku boleh capai seorang diri tanpa perlu bergantung pada orang lain? Aku tak benci idea perkahwinan.

Aku tahu ia boleh jadi satu anugerah yang indah bila bersama orang yang tepat. Tapi aku rasa, untuk sekarang, aku belum bersedia. Aku masih ingin nikmati kebebasan aku.

Aku nak buat keputusan besar dalam hidup tanpa perlu fikir tentang orang lain dulu. Aku nak cipta memori yang hanya milik aku seorang, sesuatu yang aku boleh kenang dengan bangga suatu hari nanti.

Aku tahu akan ada yang kata aku terlalu memilih, atau terlalu memikirkan kebahagiaan sendiri. Tapi aku percaya, untuk memberi cinta kepada orang lain, aku perlu kenal dan cinta pada diri sendiri dulu.

Aku tak nak terburu-buru hanya kerana tekanan usia atau pandangan orang lain.

Perkahwinan bukan perkara kecil, dan aku rasa aku perlu lebih masa untuk bersedia, bukan sahaja secara mental dan emos, tapi juga untuk memastikan aku tahu siapa aku sebenarnya sebelum aku serahkan sebahagian diri aku kepada orang lain.

Jadi, buat masa ini, aku akan teruskan perjalanan aku. Aku akan travel, cari pengalaman, bina diri, dan siapkan hati aku untuk masa depan.

Kalau Allah dah tetapkan ada jodoh untuk aku, aku percaya, ia akan datang pada waktu yang tepat, bukan kerana desakan atau paksaan.

Dan bila waktu itu tiba, aku harap aku akan masuk ke dalamnya dengan hati yang tenang, penuh keyakinan, dan tanpa rasa takut yang menghantui.

Doakan aku. Aku hanya ingin bahagia, pada jalan yang aku pilih sendiri.

– Bawang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *