Bahagia Itu Ada

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin siarkan kisahku ini. Namaku Sya. Usiaku 40an. Aku sudah berkahwin dengan pilihan hatiku.

Kami ada seorang anak angkat kerana kami masih belum memperoleh zuriat kami sendiri.

Kisah yang ingin ku kongsikan di sini mengenai hakikat sebuah perkahwinan. Benar semua orang berhasrat mahu dijodohkan dengan orang yang terbaik. Bukan saja terbaik dari segi paras rupa sahaja, tetapi dari segala aspek.

Namun, siapalah kita mahu menidakkan ujian. Ini merupakan perkahwinan ku yang kedua. Perkahwinan pertama ku gagal lantaran sikapku yang panas baran tak boleh ditegur dan suka membentak-bentak.

Bekas suamiku tegar mencari kebahagiaan dengan orang lain kerana katanya aku langsung tidak menepati citarasanya sebagai isteri.

Pada masa tu aku sangat marah hingga aku jadi kemurungan. Aku tak fikir aku salah. Kami selalu bergaduh dan selalunya pergaduhan itu berakhir dengan teriakan dan amukan dari kami berdua.

Sampai satu saat aku tersedar, segalanya telah terlambat. Bekas suami ku telah pun terlanjur dengan teman wanitanya.

Nak tak nak aku kena terima hakikat bahawa semua yang berlaku bukan salahnya seorang. Aku juga bersalah. Kami saling memujuk hati dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan masing-masing.

Dia meninggalkan teman wanitanya untuk aku, aku juga meninggalkan segala sikap burukku. Demi sebuah perkahwinan kami sama-sama berjanji untuk perbaiki diri.

Namun, segalanya tidak kekal lama bila segalanya disandarkan kepada manusia. Allah jentik hatiku lagi dengan ujian yang suamiku kembali mencurangiku. Sepatutnya dalam apa-apa juga yang kita lakukan kita mesti sandarkan kepada Allah.

Aku silap yang itu! Aku tidak mahu menambah kekeruhan sedia ada dan aku memberi suamiku kata dua. Sedikit pun aku tidak marah padanya ketika itu.

Aku minta dia memilih aku atau teman wanitanya. Katanya dia memilih aku kerana dia melihat kesungguhan aku untuk menerimanya kembali.

Ketika aku menerimanya kembali, ku niatkan dalam hati jika dia betul untukku, Allah akan jagakan dia untukku. Kalau sebaliknya, aku redha dan aku berserah segalanya kepada Allah untuk menentukan arah perkahwinan ini.

Perjuangan ku untuk perkahwinan itu terhenti apabila suamiku sekali lagi mencurangiku tidak sampai sebulan selepas dia berjanji padaku. Kali ini dia telah menikahi teman wanitanya. Aku tergamam namun tiada setitis pun air mataku jatuh.

Entah dari mana kekuatan tu datang, aku minta izin daripadanya untuk lepaskan aku supaya aku dapat mencari kebahagiaan untukku juga.

Aku berhak bahagia. Mungkin akan susah sedikit hidupku tanpa dia, tapi aku sangat percaya kepada qada dan qadar yang Allah dah tetapkan untukku.

Dia meminta maaf dariku dengan bersungguh-sungguh. Aku minta dilepaskan bukan sebab aku ego, tetapi aku kasihan padanya dan wanita itu.

Kenapa perlu hidup denganku kalau tak bahagia. Isteri baru suamiku juga berhak bahagia. Aku tak nak dia melalui hidup penuh derita seperti yang aku lalui.

Selepas kami berpisah, aku bangkit semula. Aku kerja dengan bersungguh-sungguh. Aku perbaiki sikapku, amal ibadahku dan baiki semula hubunganku dengan Allah.

Sungguh aku tenang dan terasa macam datang satu keyakinan yang tak pernah aku rasai sebelum ini.

Allahuakbar.

Beberapa lama bersendiri, Allah temukan aku dengan seorang lelaki budiman (suamiku sekarang) yang begitu charming bagi ku.

Syukurlah, Allah mendengar doaku selama ini. Suamiku bukan sahaja lelaki yang baik, malahan memenuhi 90% kriteria lelaki yang ku idamkan.

Kehidupan kami bahagia walaupun masih belum dikurniakan zuriat. Benarlah jika kita sentiasa berharap dan bersandar kepada Allah, maka kehidupan kita tu penuh berkat.

Aku tidaklah baik sangat, tapi ingin ku nasihat kepada mana-mana yang sedang dalam perkahwinan yang tak bahagia, cuba check diri sendiri dulu.

Perit memang perit tapi percayalah kalau kita betul-betul bertaubat dan bersungguh-sungguh mahu menjadi lebih baik, Allah akan beri ruang dan peluang.

Apa saja situasi hidup kita, kita sedang diuji. Bahagia ujian, derita juga ujian. Ramadan akan tiba tak lama lagi, sama-samalah kita berikrar kepada diri sendiri untuk jadi yang terbaik.

Biarlah apa orang nak kata, yang penting kita lah yang akan tentukan siapa diri kita sebelum menutup mata.

Salam Ramadan semua. Maaf atas salah bicara dalam luahan ku ini.

– Sya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *