Bahasa Melayu

Assalamualaikum w.b.t
Saya nak bercakap tentang bahasa Melayu kita. Bahasa Melayu bahasa kita, jadi wajarlah kita jaga elok-elok bahasa kita. Takdenye orang lain nak memartabatkan bahasa ni selain kita sendiri. Kalau bahasa Inggeris bukan main lagi kita jaga, seharusnya bahasa Melayu pun sama lah. Di sini saya ingin perbetulkan kesalahan tatabahasa, ejaan, peribahasa yang selalu kita buat. Yang salah kita perbetulkan, yang betul kita jadikan kebiasaan. Tak patut kalau kita guna tatabahasa yang salah bila tulis surat rasmi ke, resume ke, apa-apa kerja sekali pun.

1. Justeru
Perkataan justeru ni bukan sinonim ‘oleh itu’. Saya ulang, bukan sinonim. Perkataan ini seerti dengan ‘malah’. Oleh itu, ‘justeru’ tidak boleh digunakan di depan ayat. Contoh ayat yang betul : Ibu bukan sahaja memeluk kakak, justeru ibu mencium kakak.

2. Sedikit sebanyak
Penggunaan kata ‘sedikit sebanyak’ adalah salah. Yang betul, ‘sedikit banyak’. Ni rangkai kata berlawanan. Lebih lawannya kurang, jadi ‘lebih kurang’. Sedikit lawannya banyak, jadi ‘sedikit banyak’.

3. Harapkan pagar, pagar makan padi
Ingin saya tegaskan, bukan pagar yang makan padi tetapi pegar. Pegar ialah sejenis burung. Sebenarnya ramai dah tahu yang ni, tapi masih ada lagi yang tak tahu. Hah, nah. Peribahasa yang betul : Harapkan pegar, pegar makan padi

4. Lagenda
Ejaan tu salah. Ejaan yang betul : Legenda.

5. Sudah terhantuk baru terngadah
Terngadah tiada dalam kamus. Perkataan yang betul ialah tengadah. Takde ‘r’. Tengadah bermaksud berfikir panjang, merenung. Peribahasa yang betul : Sudah terhantuk baru tengadah.

6. Melepaskan batuk di tangga
Sebenarnya batok, bukan batuk. Batok ni alat yang orang dulu-dulu guna untuk basuh kaki sebelum masuk rumah. Maknanya macam dah basuh kaki, campak je batok tu dekat tangga. Peribahasa yang betul : Melepaskan batok di tangga

7. Mee goreng
Ejaan sebenar : Mi goreng

8. Definasi
Definasi tidak pernah wujud. Ejaan yang betul : definisi

9. Terguris
Perkataan guris tiada dalam bahasa Melayu. Ejaan yang sebenar : Tergores

10. Membincangkan tentang
Ini kesalahan tatabahasa. Kalau ada imbuhan ‘kan’ , jangan tambah tentang. Yang betul : Membincangkan atau membincang tentang

11. Murtabak
Ejaan yang sebenar : martabak. Tolong jangan salah eja kalau nak berniaga sebab biasanya orang awam ni dia tengok orang lain eja macam tu, dia pun ikut sama eja macam tu jugak.

12. Ibubapa
Ejaan sebenar : Ibu bapa.

13. Pamplet
Ejaan sebenar : Pamflet

14. Jawapan
Ejaan yang betul : jawaban. Namun, ‘jawapan’ juga boleh diguna sebagai variasi kepada jawaban.

15. Mengemel
Kata dasar e-mel. Apabila ditambah imbuhan me-, jadi meng-e-mel. Ejaan yang betul : Meng-e-mel

Setakat itu sahaja lah saya kongsi. Banyak sangat kalau nak kongsi semua. Jadi sekarang kita dah tahu kesalahan kita dalam bahasa, jangan lah buat lagi. Guna bahasa Melayu yang betul setiap hari, barulah kita takkan keliru nanti. Saya harap semua orang bercita-cita ingin memartabatkan bahasa Melayu, bukan saya sorang je. Kalau sorang je, memang takkan menjadi. Kalau ada apa-apa yang nak dicari, boleh ke halaman https://prpm.dbp.gov.my/ sangat membantu. Terima kasih semua

– Anak Terengganu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit