Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku Ain. Januari depan, aku dah 39 tahun. Aku menulis di sini, adalah dengan harapan agar rasa yang bergejolak dalam hati aku bakal berkurang.
Aku bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam di utara tanah air setelah pulang dari luar negara. Syukur sangat sebab dapat kembali bertugas di kampung halaman dan menjaga mak aku.
Tapi… semua ini bermula setelah aku kembali ke tanah air.
Usia aku time balik Malaysia, dah 34 tahun. Belum setengah tahun aku di sini, mak aku dah kaw-kaw bising suruh aku nikah. Maklumlah, adik-adikku pun dah berkahwin.
Jujurnya, aku takut nak bernikah. Iya, kesilapan lama aku di luar negara buat aku bimbang penerimaan bakal suami.
Selain itu, ovari sebelah kanan aku juga telah dibuang sewaktu di luar negara kerana Ovarian Cyst (Mak aku tak pernah tahu semua ni.)
Meskipun aku sudah bertaubat, namun rasa takut itu acapkali hadir. Jadinya aku beri alasan demi alasan pada mak aku. Namun, siapalah aku untuk melawan takdir.
Menjelang Ramadhan, mak aku jatuh sakit. Masa ni aku takut sangat. Maklumlah, zaman-zaman covid ni.
Siang malam aku berdoa agar mak aku diberi kesembuhan. Jasa mak aku membesarkan aku 3 beradik setelah bercerai dengan ayah, mana mungkin aku balas.
Aku juga bernazar, andai mak aku sembuh dan ada yang masuk bertanyakan aku pada mak, maka aku akan terima tanpa alasan lagi.
Aku akui, waktu ni memang aku tak fikir panjang dah. Aku cuma nak mak aku kembali sihat.
Dan Alhamdulillah, mak aku sembuh setelah hampir sebulan sakit. Aku betul-betul bersyukur.
Namun kesyukuran itu berubah pada hari raya Aidilfitri yang kedua tatkala BFF adik bongsu aku yang aku panggil S memaklumkan pada aku melalui WhatsApp yang dia dah lama sukakan aku.
Time ni memang aku gelak besar. Gila. Usia dia lebih muda dari adik bongsu aku kot.
Dia baru 25 tahun, sedangkan aku 38 tahun. Lagipun aku kenal dia dari kecil. Dari pakai pampers lagi sebab rumah kami tak jauh.
Aku sangka, S beralah bila aku menolak. Namun rupanya tidak.
Seminggu selepas aku tolak, mak dia datang rumah dah jumpa mak aku. Aku tak tahu apa yang dibincangkan sampai mak aku setuju agar S dan aku disatukan. Waktu ni, aku dah gelabah Biawak.
Kerana nazar aku, aku serba salah. Nak tolak, mana mungkin. Nak terima, aku takut. Dalam keterpaksaan, aku hulur jari untuk disarung cincin oleh mak si S pada dua bulan lepas.
Tanggal ditetapkan untuk aku bernikah, 16 September ni. Sebabnya, aku masih dalam cuti semester dan tak perlu buat persediaan mengajar.
Sesungguhnya, saban ketika, aku tak senang duduk. Nak lena pun payah. Aku tahu, S sempurna orangnya, kerja sebagai Jururawat di hospital dalam daerah aku ni.
Satu tempat kerja dengan adik aku. Yang nyata, S memang caring dengan mak aku sedari dia kecil. Maklumlah, adik aku (lelaki keduanya) dah berkahwin dan duduk asing.
Waktu aku di luar negara, S ni kerap bercerita kegiatan mak aku berbanding adik-adik aku sendiri. Tapi malangnya, aku tak pernah pandang dia sebaga ‘lelaki’ melainkan ‘adik’ cuma.
Sepanjang kami bertunang, dia tetap WhatsApp aku macam dulu-dulu. Yang berubah, panggilan dia pada aku, daripada Kak Ain, menjadi Ain.
Aku kerap ajak dia jumpa, untuk aku luahkan apa yang aku simpan, tapi dia menolak. Katanya, walau apa alasan aku bagi, putus tunang tak akan berlaku.
Selain kesilapan lalu, yang membuatkan aku bimbang adalah jarak usia antara kami. 13 tahun tu. Nanti kalau aku 50 tahun, S baru 37.
Sudahlah sebelah Ovari aku dah dibuang. Allahu…
Aku takut… Takut memikirkan kemungkinan mendatang.
Aku masih tak jemu Istikharah. Aku tetap berdoa agar pertunangan aku dan S terputus. Namun…
Detik waktu tetap berjalan sehingga kini sudah pertengahan Ogos.
Semalam, aku kirim WhatsApp pada S, terangkan yang aku pernah menghidap Ovarian Cyst, tapi dibalasnya,
“Anak itu amanah Allah. Diberi, bersyukur. Tak diberi, bermakna Dia tahu kita belum layak menjaga amanah.”
Terkedu aku. Sampai kini, aku tak reply lagi WhatsApp dia. Nak menangis pun, rasa ibarat dah kering air mata.
Aku letih untuk berpura-pura seperti tak punya masalah depan mak aku sehingga aku memeruk di bilik. Aku benar-benar tertekan, namun tak ada tempat meluahkan. Kerana itu aku menulis di sini.
Hurmmm… Doakan aku kuat ya. Terima kasih sudi membaca..
– Ain (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit