Terima kasih admin andai kisah ini tersiar. Namaku Maya, pertengahan 30 an dan masih bujang setelah beberapa kali gagal dalam alam percintaan.
Aku perdosa, namun kuserahkan segala jiwa ragaku kepada Allah Yang Maha Mengasihi. Hanya Dia yang menjadikan sesuatu perkara dengan izinnya.
Cerita aku berkisarkan tentang jodoh. Mungkin ada yang bosan dengan cerita ini tapi aku tidak punyai tempat lagi untuk meluah rasa. Nak diceritakan pada teman2, bimbang terbuka aib sendiri.
Kisahnya bermula tahun lepas. Perkenalan aku dengan Harith dalam ekspidisi menawan gunung di sebuah negeri dalam Kepulauan Borneo.
Harith salah seorang guide untuk kumpulan aku, juga merangkap sweeper. Kali pertama aku mendengar Harith memberi taklimat sebelum kami memulakan pendakian, aku meluat.
Teramat meluat kerana aku rasakan dia seorang yang poyo. Terlalu banyak berpesan itu ini (hakikatnya aku yang poyo kerana berlagak hebat tidak mahu mendengar nasihat).
Dipendekkan cerita, saat menghampiri puncak, Harith berada denganku dan berbual kosong. Dari perbualan kosong, sampai ke camp semula, sampai balik ke starting point, Harith sentiasa denganku.
Dan dengan sukarela dia memikul beg aku seberat 5kg, ditambah dengan beg galasnya sendiri.
Cinta berputik tanpa sedar. Harith berpindah ke semenanjung, mencari kerja di selatan tanah air.
Walaupun masih jauh kerana aku berada di kota metropolitan, tetapi katanya mahu menjaga aku dengan lebih dekat. Kerjanya biasa2 sahaja kalau nak dibandingkan dengan ku.
Sekolahnya tidak habis, aku lulusan ijazah. Namun, kebaikan hatinya, kejujuran dari dia berjaya menawan hatiku.
Harith berjumpa ibu dan kakakku, meluahkan hasratnya. Kakakku sedikit berat apabila tahu Harith mualaf yang berlainan bangsa. Ibuku tiada halangan, lagi cepat aku kawin, lagi ibu suka.
Syaratku pada Harith sebelum memperkenalkan dia kepada ayahku ialah untuk dia mendalami ilmu agama dan lancar mengaji al-quran. Aku tidak tahu sedalam mana ilmu yang dia ada sehinggalah satu per satu pecah.
Rupanya Harith tidak lancar membaca al-fatihah. Bukan tidak lancar, tapi hanya tahu ‘sikit-sikit’. Ya Allah… Aku mengalir air mata bila soal siasatku padanya tidak menyebelahi aku.
Apabila ditanya apa yang membuatkan dia terpaut denganku, jawapannya kerana agamaku dan budi pekertiku sepanjang perbualan kami semasa mendaki dan turun dari puncak.
Katanya ingin mendalami ilmu agama di sini lebih mudah. Tapi, aku tidak sangka sehinggakan al-fatihah pun tidak hafal. Ya Allah…
Aku terpaut kasih dengan Harith kerana kesabarannya, kelembutan bicaranya, tanggungjawab yang ditunjukkan kepada keluarganya.
Aku sayang Harith, dia tidak pernah melukakan hatiku seperti bekas2 kekasih sebelum ini. Perlukah aku tinggalkan Harith hanya sebab ini?
Keluarga masing2 sudah sedia maklum tentang perancangan kami untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat. Sekarang, aku buntu.
Owh ya. Satu lagi kejutan yang aku terima. Ibu ayah Harith masih lagi dalam agama asal mereka. Ini berita yang aku baru tahu beberapa hari lepas.
Sumpah aku terkejut dan amarahku meletup tika itu juga. Harith di talian hanya diam apabila aku meninggikan suara memarahinya kerana tidak memaklumkan perkara ini dari awal. Salahkah aku?
Aku buntu. Nak ditinggalkan, mungkin tiada lagi lelaki sebaik Harith yang sabar dengan kepala gilaku ini.
Namun, aku bukan seorang yang alim untuk sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada Harith. Aku juga jahil, banyak dosa silamku yang entah terampun atau tidak.
Aku cuma berdoa agar ditemukan jodoh dengan lelaki yang boleh membimbingku ke jalan syurga.
Namun, andai dia adalah jodohku, kuatkah aku menjadi jam randik yang sentiasa menjadi tugu peringatan kepada Harith soal hukum agama kelak?
– Maya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit