Balas Coretan, (https://iiumc.com/reply-cerita-rindu-ini-untuk-kamu/).
Assalamualaikum & hi. Ayat Bunga, ‘hati ini Allah yang pegang’ mengingatkan aku kisah bertahun lama terkubur. Kisah aku menunggu seseorang yang dari umur aku 14 tahun.
Alhamdulillah sekarang masing-masing dah bertemu jodoh masing-masing yang memang telah ditetapkan dari azali. Cumanya aku nak kongsikan bahwa ayat ‘hati ini Allah yang pegang’ itu betul-betul terkesan pada aku.
Kami kenal sejak dari zaman sekolah. Bersekolah yang sama sehingga tamat SPM.
Perhubungan yang diketahui kedua belah keluarga, dan direstui. Hubungan yang banyak caca marba. Ada saja silap itu ini, mungkin kerana kami masih muda. Aku nak kan perhatian, sedangkan dia lebih pentingkan tanggungjawab kepada keluarga.
Anak sulung yang sangat diharapkan oleh ibunya. Kami putus sebelum SPM, aku betul-betul patah hati. Waktu tu cuma dia aku pandang.
Bawa haluan masing-masing dan teruskan pelajaran ditempat berbeza. Langsung tiada khabar, langsung tidak tahu menahu. Aku mencuba dengan orang lain, tapi tetap berharap pada dia.
Bertahun-tahun aku titipkan doa, andai dia jodoh aku, temukan kami kembali, andai dia bukan jodohku, matikan rasa yang ada dalam hati.
Doa tu tak pernah lekang dari bibir.
Tamat pengajian, tak sangka dia datang kembali. Dengan hajat mengikat aku. Waktu tu, tak tahu rasa yang ada. Padahal dia yang aku tunggu tapi bila waktu tu tiba, perasaan tu jadi tak tentu hala. Tak bahagia dan juga tak sedih. Cuma tiada rasa.
Jawapan aku padanya, pergi minta izin ayahku, andai katanya ya, itulah jawapanku juga. Padahal waktu tu, aku berharap ayah tidak akan kata ya.
Dan rupanya ayah terima hajatnya. Makan bertunang lah kami. Setelah bertahun tidak berhubung, kami jadi agak kekok. Sedangkan dulu, dia lah kawan baik aku.
Semua kisah kami kongsi. Tiba-tiba semua berubah. Kami mencuba, tapi semua jadi janggal. Dengan tetapan oleh dia yang aku tak dibenarkan cari dia, dia akan cari aku setiap hujung minggu.
Mulanya aku okay, hinggalah satu tahap aku tak rasa macam aku ni diperlukan dalam hidup dia.
Dia akan hubungi aku seminggu sekali, kemudian menghilang tiba-tiba semula.
Aku terdetik, ini yang aku nak ke selama ni. Macam mana kalau dah kahwin, hubungan masih hambar. Kenapa aku tak rasa gembira bila dia datang. Aku ingatkan aku sayangkan dia, tapi bila dia datang tiba tiba rasa tu hilang.
Berbulan berlalu, kami masih berhubungan macam yang dia tetapkan. Sampai lah satu masa, aku rasa cukuplah.
Aku doa Allah tunjukkan apa sebenarnya rasa yang ada. Rupanya dia datang kembali bukan dengan niat nak mencari aku kembali. Cumanya ada kenalan kami yang bagitahu dia yang aku masih menunggu dia.
Allah tarik rasa yang selama ni wujud untuk dia. Aku rasa kosong bila pandang dia. Tiada lagi rasa kasih seperti sebelum ni.
Waktu tu terdetik, inilah jawapan yang aku cari. Sebelum kami pergi lebih jauh, aku undurkan diri. Dia kata aku tak sabar. Dia kata tunggu sikit lagi.
Tapi bukan kerana aku tak sabar, tapi kerana rasa itu tiada. Aku sedih waktu bagi kata putus sebab rupanya bertahun lalu tu cuma sia-sia.
Allah pegang hati kita, bila Dia mahu hilangkan, rasa tu akan hilang tanpa kita tahu bila. Kami buat haluan masing-masing selepas itu.
Kadang aku terfikir juga, andai aku masih teruskan hubungan tu, apa akan jadi sekarang. Adakah kami akan bahagia.
Bukan aku menyesal, cuma biasalah manusia. Hatinya sentiasa berbolak balik. Masing-masing dah ada kehidupan sendiri sekarang. Jalan terbaik yang Allah dah atur rupanya.
Kepada TT ‘rindu ini untuk kamu’ balik lah pada pemegang sebenar hati kamu. Sandarkan sepenuhnya pada Dia. Benar rindu itu sakit, kerana kita sudah terbiasa dengan kehadirannya.
Kita tak sangka tiba-tiba akan kehilangannya tanpa kita sedia, dan dia berlalu pergi. Semoga dipermudahkan setiap urusan TT. Jaga hatimu dan dirimu sebaiknya. Moga sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah.
– Lotus (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit