Pagi tadi saya melihat satu komen tentang seorang lelaki yang mendoakan isterinya yang bakal berangkat ke tanah haram, namun isterinya itu membelakangi sang suami.
Air mata saya terus menitis, mengalir deras kerana teringatkan bonda yang saya cintai.
Untuk pengetahuan kalian, saya seorang anak yang telah mengalami trauma dari kecil ini kerana kesan penceraian ibu dan ayah saya. Itu bukanlah yang hendak saya ceritakan lebih lanjut, ini perihal ibu saya.
Ibu saya sebenarnya seorang yang baik, tetapi seingat saya ibu saya seorang yang derhaka pada suaminya.
Saya merupakan anak bongsu, kemana sahaja ibu akan bawa saya.
Sebenarnya ibu saya menjadi begitu kerana tertekan dengan sikap ayah yang pemalas, suka menghina ibu dan baran. Ibu saya pula tidak tahan, setiap kata kata ayah dia akan balas.
Ibu akan menyumpah ayah bila dia tidak berpuas hati. Setiap hari ibu akan menyumpah ayah di belakang dan mendoakan semoga ayah mati dalam keadaan yang hina.
Ketika itu saya masih kecil, namun saya faham ibu bersikap begitu kerana tidak tahan dengan sikap ayah.
Hinggalah satu hari ibu dapat tangkap ayah ada hubungan sulit dengan perempuan lain, sudahlah pemalas, tidak memberi nafkah, menghabiskan duit pada perempuan lain, hati ibu sangat remuk,
Ibu masih bertahan di rumah itu kerana fikirkan anak yang masih kecil, ibu tiada tempat dan arah yang hendak di tuju.
Satu hari ibu membawa saya ke rumah seorang bomoh, ketika itu saya masih tak faham. Apa yang saya ingat ibu minta agar bomoh itu buat ayah tunduk padanya dan tidak berpeleseran dengan perempuan lain.
Ketika itu jugalah banyak hal misteri berlaku dalam keluarga kami, kakak saya tiba tiba sakit mungkin juga kerana sihir terkena pada kakak,
Bila saya dewasa saya fikir balik mungkin sihir itu terkena pada kakak? Kerana tiada apa apa kesan pada ayah.
Akhirnya ayah menghalau ibu dan menceraikan ibu dengan talak 3.
Sebenarnya, sebelum berkahwin dengan ayah, ibu saya pernah berkahwin dengan 2 lelaki lain, apa yang saya tahu, ibu sememangnya menderhaka pada kedua suami suami sebelum ayah.
Suami kedua ibu itu orangnya yang baik, apa yang saya tahu ibu pernah belasah ayah tiri saya, maki itu biasa.
Sikap ibu saya memang pelik, sukar saya nak ceritakan, kalau dicerita habis tak cukup tangan saya menulis. Biarlah saya ceritakan hal yang ringkas sahaja.
Walaupun kami nampak pengorbanan ibu, namun adik beradik saya sepertinya tiada rasa hormat pada ibu saya. Makin parah bila ibu sudah mula nyanyuk, anak anak seperti tidak mahu mendekati ibu.
Saya amat kasihan melihat ibu, hidupnya meracau, tak lekang dari mulutnya menyumpah, bila diamati keadaannya itu sama sangat seperti persekitaran lalu, yang dulu sewaktu saya kecil, ibu melepaskan amarah dengan menyumpah ayah di belakangnya.
Nyanyuk ibu bukan biasa, wajahnya nampak malap dan tidak bercahaya. Ibu nampak tertekan, seperti hendak meluahkan sesuatu tapi tak mampu.
Wajah ibu nampak serabut, kusut, siapa sahaja yang melihat pin akan rasa benda yang sama, ibu tiada aura yang positif.
Penjaga ibu semestinya perlu kuat untuk menghadapi situasi itu.
Namun ibu masih beruntung kerana kami masih menjaganya, walaupun tak sanggup tapi 3 adik beradik ini masih ambil tahu dan merawat ibu. Badan ibu masih kuat dan bertenaga. Tapi sikapnya tak ubah seperti anak anak kecil.
Satu hari ada seorang hamba Allah yang saya kira alim ulama’ bertanya. Dia melihat gambar ibu, lalu dia bertanya “Adakah sewaktu muda dulu ibu kamu ini hidupnya dalam durhaka pada suami dan tidak mendapat keredhaan suami??”
Saya diam. Dalam hati saya menjawab, benar, ibu saya seorang penderhaka.
Ustaz itu berkata, walaupun hidup kita ni diuji, dapat suami yang sebegitu namun kita tiada hak untuk menderhaka dan menyumpah suami, kita wajib taat selagi tidak melanggar hukum.
Saya tak mampu berkata apa, kesemua bekas suami ibu sudah meninggal dunia. Usia ibu pun sudah lanjut, fizikalnya masih kuat cuma mentalnya sahaja bercelaru.
Di sini dapat kita simpulkan bahawa seorang wanita itu wajib taat pada suaminya walau apa keadaan suaminya selagi mana dia bergelar isteri,
Selagi dia bersabar InsyaAllah ada ganjaran pahala baginya namun jika dia tewas bersedialah dengan azab Allah di dunia dan akhirat. Sebenarnya ustaz itu ada ceritakan, banyak kisah seperti ibu yang dia jumpa.
Sempena bulan Ramadan yang mulia dan berkah ini, saya mohon doa dari pembaca agar mendoakan kesihatan ibu saya, mohon diberi ketenangan hati buatnya, saya tak sanggup melihat ibu meracau sebegitu.
Saya sayangkan ibu, walaupun begitu sikapnya ibu banyak berkorban untuk saya dan adik beradik.
– Mewangi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Bomoh2 tu sihir, syirik dosa besar. Jangan sekali2 buat sihir.