Balaslah Dengan Fakta

Assalamualaikum w.b.t. Terima kasih sekiranya pentadbir (admin) menyiarkan penulisan saya.

Saya kali ini bukan lebih berat kepada membalas tulisan “Pesanan kepada Feminist 11” (https://iiumc.com/pesanan-kepada-feminist-ii/), namun lebih kepada perkongsian fakta mengenai negara-negara yang tuan tuliskan.

Hal ini kerana, diruangan komen sudah saya baca banyak menjawab dakwaan tuan di bawah tulisan “Pesanan kepada Feminist 11” dengan baik. Saya harap, semua dapat manfaat daripada fakta dan penulisan ini.

1- Jepun

Jepun memang sebuah negara yang sangat maju dan berbudaya bagus, berdisiplin dan tertib. Namun, walaupun Jepun mencapai status negara maju, Jepun adalah antara negara yang masih sangat conservative.

Persekitaran kerja untuk wanita berkerja selepas mendapat anak sangatlah tidak mesra dan berkesan kerana kekurangan sokongan dari tempat berkerja, masyarakat dan sangat kekurangan tempat pengasuh. Oleh itu, ramai memilih menjadi suri rumah selepas berkahwin,

Hal ini juga disebabkan oleh budaya Jepun “overworking” di mana rata-rata lelaki berkerja dari 8 pagi –1/2 pagi.

Walaupun waktu bekerja dalam undang-undang adalah sehingga 5 atau 6 petang sahaja namun hampir semua pekerja akan bekerja sehingga 1, 2 pagi kerana budaya malu mereka atau “shame culture”.

Mereka akan sangat-sangat malu jika meeka pulang awal dan akhirnya bekerja sehingga pagi. Oleh itu, jika pasangan mempunyai anak makanya untuk menjadi seimbang wanita terpaksa berhenti bekerja malah ada yang dipaksa berenti.

Hal ini kerana , kekurangan pengasuh di sana dan juga kekurangan masa membuatkan sangat susah membina keluarga jika keduanya bekerja. Jika mengikut laporan The New York Times, 2015, peratusan wanita bekerja di Jepun adalah lebih tinggi daripada di Amerika.

Namun, diskriminasi yang tinggi berlaku terhadap wanita di Jepun termasuklah pembayaran gaji yang 40% lebih rendah daripada lelaki.

Budaya beradap di Jepun bukan hasilnya daripada didikan ibu bapa semata-mata sepertimana di Malaysia tetapi juga adalah hasil budaya yang sangat kuat oleh kerajaan mereka.

Orang Jepun diajar di sekolah dan diman-mana sahaja supaya meletakkan budaya adab sebagai no 1. Ibu-ibu di Jepun tidak mendapat nama seperti dakwaan tuan apabila rakyat Jepun beradap sebaliknya, budaya beradab ini adalah hasil mereka bekerjasama sebagai satu masyarakat besar.

Jepun mengambil masa beratus tahun untuk menerapkan perkara ini sebagai satu gaya hidup sebelum berjaya dan bukannya hanya dididik di rumah ibarat sangkaan tuan. Disebabkan ia menjadi gaya hidup juga, geng Yakuza di Jepun juga mengamalkan adab-adab tersebut.

Dipetik daripada pengakuan bekas seorang ketua Y4kuza dari saluran “Nobita” di youtube, geng gangster juga mempunyai tatatertib yang sangat terperinci seperti cara meletakkan tuala, teh dan kebersihan tandas.

Tentu sahaja bukan mak-mak mereka yang mendidik namun ia berlaku kerana adab sudah menjadi budaya di Jepun berbanding akhlak peribadi.

Di Jepun juga secara purata pasangan berkahwin hanya bercakap selama 30 minit sehari dan kes curang di Jepun adalah tinggi .Kajian ini dibuktikan melalui statistik yang dikeluarkan oleh laman web seperti Japan today dan Statista.

Ramai lelaki dan perempuan yang dah berkahwin curang dengan pasangan mereka.

Di Jepun juga menjadi satu budaya apabila banyak pasangan berkahwin mengalami “sexless marriage” kerana suami bekerja terlalu lama dan isteri hanya mahu fokus pada anak dan mengabaikan suami mereka selepas berkahwin.

Makanya mereka kekal berkahwin tanpa hubungan intim. Jepun adalah negara yang mempunyai lebih 90% “homogenous race” ataupun satu bangsa sahaja, menyebabkan kebanyakan orang Jepun hanya bercakap satu bahasa sahaja.

Budaya “shame culture” di Jepun juga membuatkan kebanyakn orang Jepun adalah “passive aggressive” ataupun tidak kasar secara luarannya kerana mereka mahu mengelakkan konflik.

Mereka akan buat apa shaja supaya keharmonian sejagat dikekalkan sekalipun berdiam diri apabila berlaku jenayah. Ini menyebabkan kebanyakan rakyat Jepun terutama oraag muda mengalami masalah keyakinan diri bedasarkan satu kajian yang dibuat.

Jepun juga mempunyai kes yang sangat tinggi berkaitan jenayah seksual yang tak dilaporkan.

Ini berbalik kepada “shame culture” dan juga budaya konservatif mereka (status perempuan lebih rendah berbanding lelaki) dimana perempuan kerena buat permohonan maaf terbuka jika bersuara, mengenai jenayah seksual berlaku kepada mereka.

Mereka juga mempunyai satu nama khas iaitu ‘chikan’ iaitu pencabulan perempuan di dalam komuter/kereta api. Perempuan tidak boleh melakukan apa-apa mahupun melaporkan perkara ini.

Walaupun begitu, sifat-sifat baik Jepun seperti menepati masa dan kebersihan wajar kita contohi dan tidak memandang serong kepada Jepun kerana tiada negara yang sempurna.

Apa yang boleh kita lakukan adalah hanya mengambil iktibar dan sedaya upaya cuba membangunkan negara Malaysia tercinta.

2- Pakistan

Ia adalah negara yang konservatif seperti Afghanistan. Konservatif bukan dari segi baik namun dari segi tidak baik iaitu status wanita sangat rendah berbanding lelaki di sana.

Ia berbeza dengan Jepun kerana walaupun Jepun ada mengamalkan budaya ini, wanita mereka masih bebas bekerja dan mendapat jawatan.

Secara satu bahagiannya, adalah bagus wanita tidak bercampur dengan lelaki dan jarang keluar rumah kerana banyak jenayah dilakukan ke atas wanita tanpa pengadilan. Namun secara bahagian lain pula, iai tidak bagus kerana ia merupakan bentuk penindasan tinggi terhadap wanita.

Wanita tidak mempunyai banyak hak seperti lelaki dan perkara seperti pembunuhan bermaruah, kahwin paksa dan jenayah rogol adalah sangat-sangat tinggi. Dan rogol disana bukan melibatkan wanita sahaja malah kanak-kanak dan orang lelaki yang dirogol.

Tidak dinafikan ada keluarga dan lelaki yang baik seperti tuan ceritakan kerana dalam setandan pisang tak akan semuanya busuk.

Namun menjadikan Pakistan negara contoh agak tidak bersesuaian. Bedasarkan tinjauan oleh Thomson Reuters Foundation, Pakistan adalah negara ke 3 paling berbahaya di dunia untuk perempuan.

Dan tinjauan ini bukan sekadar kerana bias daripada statistik biasa-biasa namun diambil melalui kajian dan bukti-bukti jelas daripada wanita yang menjadi mangsa kepada pelbagai jenayah. Banyak wanita mempunyai kecacatan kekal kesan daripada didera keluarga mahupun pasangan.

3- Turki

Ciri-ciri yang disebut oleh tuan tidak terhad dan istimewa kepada wanita Turki sahaja malah terdapat dalam semua wanita diseluruh dunia.

Turki maju kerana ia diperintah oleh empayar turki Uthmaniyah selama 640 tahun sebelum dijatuhkan oleh Kamal Ataturk. Ataturk adalah seorang yang liberal dan menganggap pemerintahan Islam oleh Uthmaniyah menyebabkan Turki kebelakang.

Sejak penubuhan republik Turki pada tahun 1923, Ataturk telah meperkenalkan pelbagai sistem Barat di Turki seperti undang-undang penyatuan pendidikan sekular (3 Mac 1924),

Undang-undang pemakaian topi (25 November 1925), undang-undang pengharaman tarikat, penutupan pusat kegiatan tarikat, penutupan makam wali dan penghapusan jawatan penjaga makam wali (30 November 1925),

Undang-undang perkahwinan sivil (17 Februari 1926), undang-undang penggunaan angka antarabangsa (20 Mei 1828), undang-undang penggunaan huruf Latin bagi tulisan Turki (1 November 1928),

Undang-undang pengharaman gelaran dan pangkat yang digunakan oleh rakyat Turki seperti Efendi, Bey dan Pasha (26 November 1934) dan undang-undang larangan pemakaian mengikut cara Islam

(3Disember 1934) (KEMAL ATATURK DAN PEMBAHARUAN DI TURKI: POLEMIK DALAM AKHBAR DAN MAJALAH MELAYU PADA TAHUN 1920-AN DAN 1930-AN).

4- Minangkabau – Indonesia

Dalam budaya Minangkabau, perempuan diletak sangat tinggi dan dihormati bukan sekadar objek. Orang Minangkabau juga menerapkan Islam sangat kuat dalam budaya mereka seperti kata-kata ‘Adat bersandi Syarak, syarak bersandi Kitabullah”.

Ini menjadi faktor kenapa anak-anak mereka menjadi orang berguna kerana dididik mengikut agama oleh ibu dan bapanya.

Menurut Idroes Hakimi, wanita Minangkabau mempunyai keitimewaan seperti berikut seperti dipetik dalam jurnal Wendi Ahmad Wahyudi :

Wanita mengambil keturunan daripada ibunya, rumah tempat kediaman, sumber ekonomi diutamakan untuk wanita, wanita menyimpan hasil ekonomi dan wanita mempunyai hak bersuara dalam musyawarah (Erianjoni, 2011). Menurut adat Minangkabau, wanita diibaratkan sebagai:

”limpapeh rumah nan gadang, umbun puruak pegangan kunci, umbuan puruak aluang bunian, hiasan dalam nagari, nan gadang basa batuah, kok hiduik tampek banasa, kok mati tampek baniek, ka unduang-unduang ka Madinah, ka payuang panji ka sarugo”

Gurindam Bundo Kanduang ini menunjukkan, wanita dimuliakan dan dihormati serta dijaga dari apa-apa perkara yang akan menjatuhkan martabatnya dan bukan hanya dianggap sebagai objek tidak boleh bersuara.

Anak-anak yang membesar menjadi biawak hidup boleh jadi salah satu faktornya adalah didikan IBU dan BAPA yang merajakan anak lelaki. Namun itu hanya sedikit faktornya kerana apabila sudah dewasa semua orang boleh berfikir.

Tugas mendidik anak-anak bukan terhad pada ibu sahaja, dan jika anak-anak menjadi buruk akhlak, maka kesalahan patut diletakkan kepada ibu dan bapa atau mana-mana yang berkaitan.

Hal ini kerana ada banyak kes yang melibatkan salah satu pihak mendidik anak dengan baik namun pihak satu lagi merajakan anak, makanya jadilah anak yang tidak bertanggungjawab.

Kes lelaki tidak bertanggungjawab ini adalah fenomena seluruh dunia hatta di Eropah seklipun. Berbalik kepada Islam, lelaki ditugaskan untuk memimpin isteri dan anak-anak serta semua ahli keluarga berkaitan.

Al-Imam Ibn Al-Qayyim menjelaskan bahawa betapa pentingnya peranan didikan dari seorang ayah terhadap pendidikan anak-anak.

Kata-kata Imam iaitu: “Maka telah rosak anak-anak atas kesan mengikut kelekaan serta kelalaian ayah-ayah mereka”.

(Tuhfatul maudud) menunjukkan betapa besarnya peranan seorang lelaki dan ayah. Tangan yang mnenghayun buaian boleh menggoncang dunia itu adalah benar, kerana ibu mempunyai hubungan dan kesan yang sangat besar terhadap anak.

Namun generasi kedepan yang berjaya tidak mampu dicapai jika lelaki dan ayah-ayah tidak memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak dan hanya bergantung pada wanita.

Tuntasnya, lelaki dan perempuan adalah sama-sama penting dan sam-sama perlu berganding bahu memicu negara dan peradaban. Memberatkan sebelah pihak menyebabkan kepincangan sama ada memberatkan lelaki shaja, atau perempuan sahaja.

Penindasan wanita berlaku sejak azali lagi, oleh itu agama diturunkan oleh Allah kepada Rasulnya untuk memandu lelaki dan perempuan ke arah kehidupan yang benar.

Kehidupan benar itu termasuklah memartabatkan wanita dan menghormati mereka seperti mana martabat lelaki diangkat tinggi dan dihormati.

Rendang ayam saya waktu menulis ni, dah habis di masak bagi yang bertanya dalam ruangan komen. Haha. Saya harap perkongsian saya memanfaatkan semua. Salam Aidilfitri.

– Rendang ayam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *