Untuk part I, (https://iiumc.com/balik-kampung-2/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/balik-kampung-3/).
Salam semua. Lailer Jeliter kembali. Hari tu aku cerita fasal aku terpaksa balik kampung, lepas tu aku cerita fasal bisnes aku dan ni aku confess lagi.
Cuma itulah… Tunggang langgang tajuk aku. Harap kali ni aku taip betullah tajuk Balik Kampung III. Newbie bab confess ni… gitulah… Bab nombor pun huru-hara.
Aku ada bagitau dalam confession yang lepas yang confession pertama aku tu sebenarnya aku tulis sebagai kenangan. Aku suka duduk kat Felda ni.
Ramai yang teka aku duduk Felda mana kat confession pertama. Tapi dukacita dimaklumkan, tak ada jawapan yang betul… Hehehe.
Entahlah. Aku rasa aku patut tinggalkan persekitaran toksik ni sebab matlamat hidup aku ni, aku nak bahagia.
Dalam confession pertama aku, ada komen kata ada duit bolehlah. Ada duit mestilah happy.
Pada sesetengah orang, bila dah berjaya bila dah kaya itulah bahagia. Tapi definisi bahagia untuk setiap individu tu lain.
Pada aku… Bahagia tu aku boleh kutip dari momen-momen yang kecil tiap hari. Husband aku bawak aku pusing Felda naik motor pun aku bahagia dah.
Aku tak reti bawak motor. Husband aku tanpa berselindung mengata aku tau. “Apa benda budak Felda tak reti bawa motor.”
Haiyaa.. aku pernah belajar bawa motor. Lepas tu aku langgar pokok nanas Puan Mak. Punyalah sakit kena duri nanas. Aku suka naik motor. Tapi motor tak suka aku… Lepas tu aku malas dah. Baik aku bawa kereta je.
Mujur husband aku reti bawa motor. Kalau tak, terpinggir ajelah motor arwah abah aku tu. Sebiji dah jual sebab sayang tengok tak terpakai.
Sebiji lagi ni memang tinggal untuk kenangan. Husband aku dan adik beradik aku balik pun diorang guna motor tu pergi masjid dan kedai.
Anak aku hari-hari puji aku cantik pun, aku bahagia. Aku berpegang pada kata-kata budak kecik tak menipu. Tu aku tak sentap beria dia kata gorilla kat flash card tu ibu.
Puan Mak selera makan apa yang aku masak pun, aku bahagia. Puan Mak ajak aku jalan jadi supir pun, aku bahagia. Terasa menjadi manusia yang berguna dan diperlukan. Agiteww..
Entah… Aku mudah terhibur pun mungkin kut. Tapi itulah. Aku bahagia untuk momen kecil-kecil je.
Sebelum mula cerita sedih kenapa aku pindah, aku share sikit fasal husband aku sebab ada kisah juga fasal dia ‘terpaksa’ balik kampung ni.
Husband aku orang key-ell yang ditakdirkan berjodoh dengan orang Felda yang jeliter, iaitu aku.
Awal-awal kahwin, mak aku tegur jugak aku. Halaman rumah mak aku luas. Mak aku rasa aku ni dah macam kerah laki aku jadi tukang kebun tanpa gaji dah.
Mak aku kata tengok dia pegang cangkul pun seram. Macam ada harapan nak melayang je cangkul tu. Kut melayang hinggap ke bumbung rumah orang kan haru…
Orang bandar tak pernah kerja keras. Gitulah.
Jari jemari husband aku pun lagi runcing dari aku wei. Pernah la aku ambil gambar flatlay ada tangan aku tengah makan. Upload dekat FB.
Kawan husband aku seorang ni pun perangai tak boleh blah. Dia komen kutuk kata tengok tangan pun tau kuat makan. Dia ingat tu tangan husband aku.
Lepas tu cepat-cepat husband aku cover bagitau tu tangan bini dia. Baik tarik balik komen tu sebelum aku santau dia. Hahaha.
Aku baca komen tu. Aku reply situ aku gelak je. Punya gelabah kawan husband aku ni cover cakap ingat tangan husband aku sebab cincin kahwin sama.
Nak cerita punya ganasnya tangan aku ni sampai kelihatan macam tangan laki. Orang kampung, kerja kuat. Gitulah… adalah urat jantan kat tangan. Tapi jiwa penuh kewanitaan tau.
Tapi sekarang husband aku dah power wei. Bukan setakat mencangkul, kait kelapa tu pun dah jadi kerja mudah dah bagi dia. Dia suka minum air kelapa. Rajinlah dia kait kelapa tu bila cuti.
Dia kaitkan sekali kelapa tua untuk mak aku masak-masak. Siap kopekkan kulit supaya mudah mak aku tinggal belah dan mesin je bila nak guna nanti.
Part mesin rumput pun dia dah expert. Lawa dah dia mesin. Macam pemesin rumput bertauliah. Mesin rumput pun perlukan kepakaran ye.
Awal dulu beralun-alun tak sekata. Pening mak aku tengok tapi dah menantu dia rajin nak buat, dia redhakan je la. Anggap je la tu alunan ombak atas darat.
Mesin rumput tu lama tersadai lepas arwah abah aku tak de. Aku tak reti nak guna. Aku start pun benda tu tak nak hidup. Insan lemah. Gitulah.
Sampai masa benda tu rosak. Tangki bocor, enjin problem, tali sangkut kat bahu reput.
Tapi aku rasa ni memang ‘nature’ seorang engineer kut. Selagi benda tu tak rosak, diorang akan usaha repair. Bukan buang atau beli baru.
Selepas seminggu lebih husband aku buka itu ini, ganti itu ni, mesin tu elok dah sampai sekarang.
Lama ambil masa sebab ada sparepart tak de jual kat hardware. Husband aku order dari Shopee. Siap ganti tali baru untuk pikul mesin tu.
Lawa dah mesin rumput arwah abah aku.
Aku rasa aku seorang cikgu yang dah berjaya mendidik seorang anak murid budak key-ell menjadi kampung people. Kalau ada anugerah hari guru untuk ni, aku ada harapan nak menang.
Masuk part sedih. Ambil tisu please…
Aku bakal pindah ke rumah aku. Lama dah kami beli rumah tu. Cuma husband aku kesiankan mak aku. Jadi kami ambil keputusan duduk kampung.
Hujung tahun pindah, insya-Allah. Aku tunggu husband aku balik. Aku tengah mengandung ni. Semua orang tak bagi aku berkemas.
Kalau baru pindah mesti barang sepah. Semua orang risau. Diorang tak percaya aku ni. Karang aku angkat benda berat-berat.
Jadi aku akurlah pada nasihat suami aku, Puan Mak dan ibu ayah mentua aku. Tak mau aku degil.
Aku tak pasti isteri lain macam mana. Tapi aku ni macam malang sikit kalau buat benda yang husband aku tak berkenan.
Mula lah karang ada je benda tak elok jadi. Punyalah ‘daulat’ suami aku tu. Hehehe.
Puan Mak dan kucing gendut pun aku bawa pindah sekali nanti. Puan Mak dah redha untuk tinggalkan rumah pusaka tu.
Ikutkan dia sayang sangat rumah tu. Aku pun sayang rumah tu. Tu hasil titik peluh abah aku. Sobs…
Rumah aku tu bukan dekat KL tapi satu bandar yang tak jauh dengan KL. Jiran-jiran aku pun ramai je kerja kat Lembah Klang tapi ulang alik dari situ.
Situ ada mall, wayang, gym, Food Panda, Grab. Benda-benda yang aku komplen tak de kat Felda ni. Kah…
Puan Mak ok sebab rumah aku ada halaman. Dia boleh teruskan hobi berkebun dia kat situ.
Happy duduk kampung, kenapa nak pindah?
Susah nak explain. Aku pun macam tak percaya apa yang aku terpaksa lalui ni.
Rumah Puan Mak dihantar sihir dan malangnya sihir tu adalah sihir tuju kepada aku. Dah tiga tahun aku berusaha rawat tapi entah. Benda tuju ni susah. Aku pun dah malas nak hadap.
Berubat. Baik. Lepas tu jadi balik. Duk ulang gitu je cycle dia.
Dia konsep macam air yang mengalir. Tak akan berhenti selagi pelaku hidup dan tak tercapai matlamat dia. Nak mendoakan si pelaku tu mati macam kejam sangat. Aku harap dia sempat bertaubat ajelah.
Tau ke siapa yang buat? Entah… Malas aku ambil tau. Cuma aku harap satu hari nanti orang tu berhenti buat semua ni.
Teruk ke aku kena? Aku pernah terlantar tak larat bangun. Nak gerak pun sakit. Bangun tidur tiba-tiba rasa macam baru lepas kena belasah.
Tak de pulak mimpi bertinju ke, masuk WWE ke tapi satu badan sakit. Kalau bertinju betul tahap sakit gitu at least, aku ada dapat piala dia yang macam tali pinggang besar tu eh. Ni tak de.
Aku pernah tengah malam pergi hospital sebab sakit sangat. Kan aku cerita rumah aku jauh dari bandar. Hospital tu sejam jugak dari rumah.
Sampai hospital doktor kata aku tak de pape. Dia bagi aku Panadol je. Nak nangis aku rasa sebab sakit sangat di samping mengenangkan sejam lagi perjalanan nak balik rumah.
Takat Panadol kat rumah pun ada. Rasa nak maki doktor sebab aku tengah sakit sangat. Tapi sabar… Aku faham doktor tu dah buat sehabis baik ikut kepakaran dia.
Nak minta duduk wad, tak layak sebab doktor check aku tak de pape. Udah lah sakit gini bukan boleh claim insurans. Tak de medical proven.
Mimpi? Macam-macam saiz ular hitam aku dah mimpi. Dari sekecil ular lidi sampai sebesar keretapi.
Kelibat? Ada macam-macam kelibat aku pernah nampak. Antaranya aku pernah nampak orang tua berselubung kain buruk warna ungu.
Bukan ungu lawa macam lavender tu, tapi dusty purple yang sangat kusam.
Aku ingat tu nenek kebayan la. Macam orang tua berjalan je. Terkengkang-kengkang dia berjalan. Aku pernah cerita pada salah seorang ustaz yang rawat aku. Dia kata tu hantu raya.
Hantu raya ni sebiji tuan dia. Tapi aku tak nampak la muka benda tu. Aku nampak kelibat dia merayau kat halaman rumah mak aku waktu senja.
Bunyi? Macam-macam bunyi aku dah dengar. Benda berjalan atas bumbung. Bunyi pasir berdesir atas bumbung. Pintu rumah kena gegar.
Mainan anak aku berbunyi sendiri pukul 3 pagi. Aku cabut bateri ya. Benda tu bunyi. Boleh tahan juga makhluk halus ni. Dari duk kacau aku apa kata bantu TNB supply letrik. Kan ada faedah.
Bau busuk entah dari mana datang pun ada. Bau tu macam mengekor aku tau. Pergi sini ada bau, pergi sana ada bau.
Dia pakej macam bau bangkai campur sampah basi. Haih. Susah betul nak explain sebab aku sorang-sorang yang hidu bau tu. Orang lain tak bau pape pun.
Latest aku berubat, jumpa bunjut. Bukan bunjut buat sup tu. Tapi bunjut ni isi tanah merah. Faham-faham je la. Takkan tanah kompos untuk berkebun pulak. Mestilah tanah kubur.
Sebelum ni pun aku ada jumpa benda-benda. Kain putih besar saiz dua jari berlilit benang putih. Seluar tak tau siapa tuan penuh berselut tanah merah. Yang bukan-bukan aje. Suka benar membazir fabrik.
Yang paling aku tak tahan benda ni effect anak aku. Anak aku mengamuk terkam mak aku sebab mak aku baca al-Fatihah dan ayat qursi je.
Anak aku umur 3 tahun boleh melompat basuh badan dekat sinki dapur sebab kena sapu minyak ruqyah. Anak aku menangis tidur berselubung dia kata dia takut.
Anak aku demam tak makan, tak minum, tak bercakap. Mata je terkebil-kebil. Aku bawak pergi klinik doktor kata anak aku sihat.
Aku bawa anak aku tidur hotel. Sampai hotel terus anak aku bercakap kata lapar nak makan. Kesian anak aku.
Aku paling tak sampai hati bila part anak ni. Tak pe lah. Aku mengalah. Aku pindah. Sihir tu memang sihir pemisah dan nak aku pindah pun.
Aku percaya dunia ni memang tempat ujian. Semua orang akan diuji. Mungkin urusan hidup aku happy dan mudah untuk banyak hal. Jadi hadap sakit yang tak nampak ni adalah ujian untuk aku.
Kalau difikirkan stress jugak. Tapi tak pe. Allah uji sebab Allah nak limpahkan pahala. Aku sabar je dan aku harap asbab aku sabar ni Allah nak hapuskan dosa aku dan hadiahkan aku syurga.
Ikutkan aku terlalu jauh dari layak untuk syurga. Tapi mestilah takut masuk neraka. Panas dunia musim kemarau sekarang ni bolehlah pasang air-cond. Kat neraka mana ada kompromi.
Bila aku rasa sedih, aku buka video-video sirah sahabat Nabi kita Muhammad s.a.w. Bila tengok sirah ni, aku rasa aku tak layak pun nak sedih beria.
Ujian yang Nabi dan para sahabat lalui lagi dasyat berganda berbanding ujian ciput je untuk aku.
Masih ingat pada Makcik Bawang Besar? Ni aku tak kata dia sihir aku ya. Yang dia buat ni kes lain pulak.
Dia laki bini reka cerita fasal aku. Sebar merata. Ramai orang jumpa aku tanya macam-macam. Aku tanya siapa kata, semua menghala ke bawang besar laki bini.
Aku sedih tapi malas aku nak ambik pusiing sangat.
Dia fitnah aku, lantaklah.
Dia burukkan aku, aku buat bodoh je.
Dia mengumpat aku, tak pe Allah tu ada.
Aku biarkan je lah dia hidup bahagia ke hulu ke hilir kelek beg tangan ‘Coach’ yang dia kata harga RM20k tu. Lantak dia situ.
Allah tu Maha Mengetahui dan dalam hidup ni aku tak perlukan penghakiman dari manusia pun sebab hakim terbaik tu adalah Allah.
Dari cerita yang dicanang merata, ada yang buat tak tau tapi ada yang percaya. Sedih jugak. Ada makcik-makcik yang dulu friendly dengan aku sekarang dah boikot aku. Sebab dia percaya cerita fitnah tu kut eh.
Biarkan je lah. Aku percaya fitnah ni, lambat laun kebenaran tu akan terungkai. Allah akan tunjukkan yang mana betul, yang mana tak.
Bila fitnah tu dah terbongkar, aku percaya bawang besar laki bini ni nanti ibarat orang yang naik kereta bunyi eksos kuat meletup-letup macam meriam buluh tu.
Dia rasa orang padang dia sebab kagum dengan dia. Padahal dia tak tau, orang tengah gelakkan dia.
Kalau orang dah tak suka kita, apa kita buat pun orang tu tak suka jugak. Sebab aku berubat kan, kadang-kadang aku pasang juga ruqyah.
Rasanya tak de lah aku pasang kuat macam speaker kenduri. Tu pun bawang besar laki bini mengata aku hari-hari pasang ruqyah. Tak faham jugak aku.
Letih la… Tak jadi artis pun ada haters.
Prinsip aku sekarang ni, aku kekal je la buat benda-benda baik biarpun aku ni dikatakan jahat pada mata sesetengah orang.
Tak pe lah. Buat baik kan dapat pahala?
Aku harap lepas pindah nanti aku dah tak sakit gini lagi. Puan Mak pun boleh hidup tenang sebab tak perlu dengar orang cakap bukan-bukan fasal anak dia yang jeliter ni. Kesian Puan Mak.
Aku kenal jiran-jiran dekat rumah aku tu. Belah kanan akak tu laki bini engineer. Ada parents akak tu duduk situ. Dua-dua polis pencen.
Adalah kawan Puan Mak nanti.
Yang belah kiri suami dia doktor pakar neurologi. Isteri dia pakar sakit puan. Depan rumah aku tak de rumah sebab taman permainan.
Sebelah taman permainan tu suami dia lecturer. Isteri dia cikgu. Dia macam leader kat perumahan tu. Apa-apa urusan atau masalah boleh beritahu dia.
Satu surrounding yang baru untuk Puan Mak nanti. Biasa duduk kampung keliling semua peneroka Felda baya-baya dia je. Ni ramai baya abang-abang aku.
Tapi alhamdulillah, jiran-jiran aku baik je. Tak de pun diorang underestimate aku.
Bila aku cakap aku surirumah, diorang mesti cakap seronoknya tengok anak membesar depan mata. Nak jadi surirumah juga tapi sebab faktor komitmen mereka kena kerja.
Taman aku tu tak besar. Total rumah tak sampai 30 biji pun. Aku jarang balik tapi ada la beberapa jiran aku kenal.
Ada jugak surirumah macam aku. Ada sorang akak ni dia homebaker. Sedap semua roti dan kek dia. Aku nampak dah masa depan aku duduk situ nanti tak kurus. Hahaha.
Semoga ada kebahagiaan yang lain untuk aku lepas aku pindah nanti. Allah tak pernah ambil apa-apa pun dari aku. Allah nak ganti dengan yang lebih baik je.
Apa pun perjalanan liku hidup ni, aku bersyukur je.
Terima kasih kepada yang baca sampai habis. Semoga Allah permudahkan urusan kalian.
– Lailer Jeliter (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit