Balu Dan Harta

Assalamualaikum kepada semua warga IIUM Confession. Saya seorang balu yang kehilangan suami hampir 5 tahun. Maka selama inilah juga saya memegang status balu dengan anak seramai 3 orang.

Tujuan saya menulis di sini adalah kerana saya terkesan dengan isu adik arwah Abam Dan Hidayah (Balu arwah Abam). Di sini saya hendak menceritakan bagaimana pengalaman saya berurusan hal berkaitan harta bersama status balu. Sememangnya satu pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan.

Jika perkara yang melibatkan harta, keluarga yang baik dengan Kita juga akan cepat gelap Mata. Saya tidak boleh lupa baru 3 Hari suami pergi, ayah mentua sudah bercerita untuk membahagikan harta separuh-separuh.

Sedangkan ketika itu saya masih bersedih suami pergi secara tiba-tiba. Suami kemalangan jalan Raya dan meninggal di tempat kejadian. Saya hanya mendiamkan diri ketika itu kerana tiada apa yang mampu saya katakan. Cuma agak terkejut kerana begitu cepat bercerita berkaitan harta.

Untuk pengetahuan semua, ketika itu saya sedang hamil. Jadi saya menangguhkan dahulu urusan perbicaraan dan faraid kerana mahu menunggu anak saya lahir. Lebih mudah urusan untuk pembahagian faraid.

Sepanjang tempoh tidak Ada bantuan daripada keluarga sebelah suami, sedangkan nafkah anak-anak wajib atas mereka. Saya jalankan hidup seperti biasa. Walaupun Ada kalanya tidak cukup perbelanjaan ketika itu.

Apabila anak saya lahir,saya uruskan sendiri segala hal berkaitan faraid. Konflik mula timbul kerana keluarga sebelah sana tidak berpuas hati. Kononnya saya hanya memberikan sedikit sahaja. Bagaimana saya mampu memberikan sebanyak yang mereka mahukan sedangkan arwah suami tiada harta. Hanya wang daripada KWSP sahaja.

Wang insurans yang saya terima saya bayar hutang-hutang yang Ada bersama arwah untuk memudahkan urusan seharian pada masa hadapan. Oleh sebab anak-anak berumur bawah 18 tahun, wang mereka dibekukan.

Saya hanya membesarkan anak-anak dengan wang yang ada beserta gaji saya. Wang insurans tidak perlu faraid kerana bukan harta semasa arwah hidup. Tetapi saya tetap memberikan juga kepada keluarga sebelah suami. Mereka harapkan lebih tetapi mereka lupa tentang hutang-hutang yang perlu diselesaikan dahulu.

Rasa tidak puas hati di pihak sana, saya sentiasa diburuk-burukkan. Kisah saya tamak harta sentiasa dicanang. Saya hanya diamkan diri walaupun saya tahu segalanya. Saya terkilan kerana wang yang saya berikan, keluarga gunakan untuk keperluan abang ipar saya.

Nafkah anak-anak memang saya tidak pernah terima. Kadangkala saya terpikir, harta yang sedikit mahu direbutkan sedangkan cucu-cucu mereka merupakan harta yang tiada nilainya. Waris dan keturunan mereka. Cucu-cucu yang akan mendoakan mereka kelak.

Kini, saya tetap menziarahi mereka. Jika suami ada,tentu dia akan terus menzirahi keluarganya. Saya pergi tanpa pernah mengungkit tentang cacian mereka kepada saya. Saya layankan mereka seperti Ibu dan bapa saya sendiri.

Awalnya mereka seperti keras hati. Tidak mahu melayan saya seperti sebelumnya. Saya tetap menziarahi mereka demi anak-anak. Hati yang keras juga boleh lembut jika Kita berdiam diri dam melayan mereka dengan baik.

Saya juga belajar untuk memaafkan mereka walaupun bukan mudah. Saya malu apabila saya dihina dan dicaci hanya kerana harta yang tidak seberapa. Biarlah semua itu berlalu.

Buat semua, jika keluarga mengalami situasi seperti ini, berikan sokongan moral. Bukan bercerita berkaitan harta ketika kubur masih merah. Kami balu lebih bersedih. Kami tiada lagi tempat bergantung, tempat mengadu dan bermanja. Dengarkan rintihan kami. Jangan bebankan lagi emosi kami.

Pada pendapat saya, lebih mudah balu sendiri yang uruskan harta berkaitan faraid kerana hanya isteri yang tahu tentang hutang-hutang suami. Bayar segalanya dan selepas itu faraid.

Ipar tidak perlu campur tangan kerana tiada hak dalam hal ini. Tunaikan sahaja tangungjawab berkaitan nafkah anak-anak arwah. Itu lebih baik daripada berebut harta.

Semoga ilmu berkaitan faraid tidak dilupakan. Tuntutlah ilmu jika tidak tahu supaya tiada pihak yang teraniaya. Sekian…

– Puan H (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *