Assalamualaikum semua pembaca. Hari ini saya terlintas untuk meluahkan perasaan kagum saya mengenai seorang kenalan saya. Saya namakan Kak Sya. Kak Sya sekarang berusia awal 40 tahun. Seorang balu. Mempunyai 3 orang anak yang mana salah seorang merupakan OKU.
Kak Sya kehilangan suami tanpa sebarang petanda awal. Bukan sakit yang berminggu. Tapi dalam keadaan mengejut. Kehilangan suami dalam kemalangan semasa ke tempat kerja. Kak Sya ketika itu baru berusia 36 tahun. Baru melayari perkahwinan lebih kurang sepuluh tahun.
Kak Sya seorang yang sangat tabah. Sepanjang 4 tahun pemergian suaminya, sangat jarang saya lihat posting beliau bersedih. Sekadar repost semula memori di facebook dengan caption,
“Selamanya dihati”, “Pergimu tiada pengganti”. Itu pun setahun hanya 3,4 kali sahaja post begitu. Menandakan dia tidak melupakan arwah suaminya.
Kak Sya seorang yang cantik dan bergaya namun tiada lelaki berani mengacau atau menghantar mesej berbaur kurang menyenangkan.
Pada pengamatan saya, tiada lelaki yang berani mengacau kerana menghormati Kak Sya dan cara hidupnya yang tidak meluah perasaan sedih sepanjang masa.
Kadang-kadang bila kita sering meluahkan masalah kita, kesedihan dan kesepian kita di media sosial, sesetengah orang akan simpati namun ada yang lain akan mengambil kesempatan.
Namun Kak Sya bukan golongan begitu. Tidak pernah sekali saya baca post dia yang merintih-rintih kesedihan.
Kak Sya seorang yang berpenampilan muslimah yang bergaya. Post di mukabuku hanyalah gambar-gambar semasa hari raya bersama anak-anak, gambar program atau majlis di pejabat dengan penampilan yang sopan. Seluar palazo, berbaju labuh yang longgar dan bershawl besar.
Tiada satu gambar yang kurang menepati piawaian yang boleh mengundang mata-mata lelaki gatal.
Kehidupan Kak Sya sebagai balu bukanlah begitu smooth. Tapi cara dia mengendalikan setiap masalah, membuatkan individu di sekelilingnya sangat mengkagumi Kak Sya.
Pernah satu ketika ketika kami berjanji untuk keluar makan² dia whatsapp saya, dia sampai lambat sikit. Bila sampai barulah saya tahu, bahawa sebelum datang tayar keretanya pancit dan dia tukar sendiri.
Lampu rosak di rumah tak payah cakaplah. Setakat panjat tangga tukar lampu LED tu biasa sahaja bagi Kak Sya. Bukannya mentol yang macam kalimantan pusing² sahaja tu. Lampu jenis yang kena sambung wayar sekali.
Macam mana saya tahu? Satu hari saya ke rumahnya, dia tengah menukar lampu yang rosak.
Anak Kak Sya yang disahkan OKU, disahkan selepas ketiadaan suami. Jadi Kak Sya seolah buntu juga pada mulanya kerana tiada tempat berkongsi.
Tapi Alhamdulillah kami kawan-kawannya setia mendengar setiap cerita Kak Sya. Mungkin itu salah satu sebab Kak Sya langsung tidak meluahkan perasaan sedih beliau di media sosial, kerana ada orang sekeliling.
Namun luahan Kak Sya kepada kami biasa saja, sekadar bercerita mengenai masalah kerja, anak², bukanlah luahan kesedihan dan sebagainya.
Anak Kak Sya dalam tempoh dua tahun ini sudah 5 kali masuk hospital. Semua pun Kak Sya tak pernah membuat post sedih-sedih di media sosial.
Kami rakan-rakannya hanya tahu selepas discharged apabila dia post di whatsapp status dengan caption, “berakhir sudah percutian 3hari 2malam”. Tak pernah langsung minta tolong kami walaupun kami kerap berpesan kalau ada apa-apa, beritahu kami.
Adalah sekali Kak Sya minta tolong kami kawan-kawan menjemput dia dan anaknya di hospital. Itupun kerana hospital tersebut jauh, lebih kurang sejam setengah dari rumah dan semasa ke hospital, Kak Sya menaiki ambulans. Jadi dia tiada kenderaan untuk balik ke rumah.
Kak Sya ni bab bawa kereta memang kental. Setakat hadap jem balik kampung 15 jam dengan anak-anak, itu biasa saja baginya.
Begitulah cerita saya mengenai Kak Sya yang sangat tabah. Ketabahan dan ketegasan Kak Sya langsung tidak membuka ruang untuk lelaki mengganggu hidupnya. Malah mereka berasa hormat kepada Kak Sya.
Andainya satu hari nanti saya diuji, saya berharap ketabahan saya setinggi Kak Sya. Kepada Kak Sya, saya doakan yang terbaik mengiringi hidup akak dan anak-anak.
– Nuna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit