Bangkit

Assalamualaikum kepada semua pembaca setia iium confession dan terima kasih kepada admin kerana sudi post kisah aku. Nama diberi Anna ( bukan nama sebenar ) dan berusia 20 tahun. Kebelakangan ni iium confession banyak post pasal depression semenjak kes jonghyun dan aku pun tak terkecuali pernah mengalami situasi depression itu tapi tak sampai tahap bunuh diri , cuma aku pernah plan untuk lari rumah, bukan dengan boyfriend ya , aku takde pakwe masa tu. Kisah ni mungkin agak panjang dan bercampur sikit Bahasa BM dengan BI.

Peristiwa ni berlaku masa result PMR keluar dan aku dapat “3A 4B 2C” . Pehh sedih gila woi aku tengok result aku yang teruk, hancur, berkecai tapi aku sebenarnya lagi sedih bila lihat wajah ayah aku yang jelas kecewa dengan keputusan itu. Tatkala sebahagian rakan-rakan aku yang mendapat straight A sedang bergembira di atas pentas, bergambar dengan guru-guru, aku yang di bawah pentas ini pula sedang berduka lara. Habis lah aku kene berleter dengan ayah aku balik ni. Namun, ramai juga sahabat aku yang mendapat keputusan seperti aku malah ada yang lebih teruk lagi. Takda A langsung ! Malu dan kecewa sangat. Yalah kau belajar dekat sekolah kluster, pastu dapat result hancus dan yang paling ‘bestnya’ siapa yang dapat result PMR 5A ke bawah, kena tendang dari sekolah tu ! Kejam kan ? Sepanjang dalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah, aku dan ayah tak berkomunikasi langsung. Senyap sunyi. Hanya lagu di radio sahaja yang kedengaran. Nak cakap apa lagi dengan result yang teruk gitu kan ?

Ayah hantar aku ke rumah dan pergi ke tempat kerjanya semula. Masuk je rumah aku terus nangis. Nangis gila-gila punya sampai teresak-esak. Masa tu aku fikir apa aku nak buat lepas ni? aku nak sekolah mana ? ada ke sekolah yang nak terima aku dengan result teruk ni ? Macam mana aku nak hadap pak dan mak sedara aku yang bermulut makcik bawang tu? Ayah aku pula ada kedai sendiri dan boleh kata majoriti orang kawasan kenal keluarga aku, mesti lah dia orang akan tanya aku dapat result berapa. At that time, kepala aku dah serabut gila dan sakit bila fikir pasal tu. Aku terus nangis lagi sehingga lah ada satu suara yang muncul entah dari mana membisikkan sesuatu padaku

“Lari rumah lah, kau duduk sini pun apa gunanya lagi ? kemas baju-baju kau semua dan keluar dari rumah ni!”

Tanpa berfikir panjang dan hanya mengikut kata hati, aku terus berlari ke bilik dan masuk segala baju-baju yang diperlukan ke dalam beg sekolahku sambil mengelap air mata yang masih tak berhenti menitik. Bila dah siap mengemas , aku check apa lagi yang tertinggal.

“Duit. Nak pergi mana-mana kenalah ada duit. Aduh,,macam mana ni? dah lah tengah kering”
Tiba-tiba aku teringat akan kad Bank Rakyat yang disimpan di dalam bilik ibu dan ayah. Tanpa membuang masa aku terus berlari ke bilik mereka dan membuka laci pertama. Kad Bank Rakyat berada di situ. Rasa-rasanya ayah ada bagitahu , ada sejumlah wang yang agak banyak jugalah di dalam simpanan tersebut. Ya, aku perlukan kad ni untuk keluarkan duit memandangkan no pinnya hanya aku seorang saja yang tahu. Aku meletakkan beg pakaian aku di ruang tamu dan duduk di sofa sambil berfikir semula tentang keputusan yang aku buat ni betul atau tidak.

Kalau aku lari rumah ni, macam mana dengan ibu ayah aku ? siapa nak jaga mereka nanti ? aku ni dah lah satu-satunya anak tunggal mereka.

Kalau aku keluar , bagaimana dengan perasaan ibu ayah ? mesti mereka sedih dan kecewa dengan anak daranya yang degil ini. Malu dengan jiran tetangga dah satu hal. Biasa lah bila cerita-cerita panas gini orang sekeliling akan ingat sampai mati.

Apa kau dah buat ni ? Kau tak sepatutnya buat keputusan bodoh macam ni. Fikirlah tentang ibu dan ayah kau yang akan risau tentang keselamatan kau bila berada di tempat yang asing. Jika berlaku apa-apa yang buruk, bukankah itu akan merumitkan keadaan?

Astaghfirrulahalazim.

Mana akal yang Allah berikan untuk kau berfikir perkara yang baik dan buruk ?

Kenapa kau sia-siakan nikmat yang Allah berikan kepada kau ?

Sepatutnya dalam keadaan begini kau kena husnudzon dan bersangka baik kepada Allah. Mungkin ada hikmah disebalik kegagalan yang kau terima ini. Bukankah setiap kejayaan bermula dengan kegagalan?

Ya Allah ampuni lah dosa hambaMu yang lemah ini. Aku hampir melakukan kesilapan besar yang mungkin mengubah hidupku. Berikanlah aku pedoman dan petunjuk Ya Allah.

Ketika itu aku mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan rumah. Bukan. Aku takkan sesekali dan takkan terfikir lagi untuk lari dari rumah. Selepas kejadian itu, kehidupan aku berjalan seperti sediakala namun aku masih risau, kat mana aku nak sekolah tingkatan 4 nanti? Dekat tempat aku ada 2 sekolah harian. Sekolah A ni sekolah ‘wanted’ kerana banyak kes-kes ‘panas’, aku fikir masa tu kalau takde pilihan lain memang sekolah kat situ ajelah. Satu hari ada seorang cikgu dari sekolah B yang juga merupakan kenalan ayah aku datang ke kedai dan tanya tentang result PMR aku. Dia berniat untuk tolong aku masuk ke sekolah B dan Alhamdulillah aku dapat masuk ke sekolah itu atas bantuan beliau. Start masuk tingkatan 4, aku berazam untuk buka buku baru, lupakan kisah result PMR kerana apa yang lagi penting ialah peperiksaan terbesar yang bakal dihadapi iaitu SPM.

Semenjak aku di sekolah B, everything is going smoothly. Daripada benci subjek Matematik sehingga aku adalah antara guru muda serta mentor bagi subjek Matematik untuk membantu ajar pelajar-pelajar yang lemah dalam subjek tersebut. Masa result SPM keluar, Alhamdulillah aku mendapat result cemerlang dan gembira dapat banggakan ibu dan ayah aku. Selepas itu aku dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di sebuah universiti yang terletak di pantai timur dan baru-baru ni aku berjaya mengenggam segulung diploma. Sudah pastinya individu yang paling penting disebalik kejayaan aku ialah ibu dan ayah. Tiada apa yang lebih menggembirakan kita selain melihat ibu bapa tersenyum melihat kejayaan kita. Ketika itu rewind kembali zaman ‘kebodohan’ aku yang merancang utuk lari rumah. Kalaulah aku lari rumah waktu itu, aku takkan berada dekat atas pentas, ambil skrol diploma sekarang.

Jadi untuk mereka yang pernah terfikir macam aku dulu atau yang pernah terniat nak bunuh diri atau terniat nak buat perkara mungkar ke, korang kena ingat apa perasaan mak ayah korang dan kesan sampingan daripada perbuatan tu. Allah ada, Allah sayang kita.

-Anna-

– Anna

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit