Bangkit Kembali

Salam. Terima kasih admin jika confession ini disiarkan. Ok, straight to the point. Kisah ini berkenaan adik saya. Lelaki. Umur beliau masih dalam lingkungan 20-an. Saya berniat nak kongsi setelah baca confession ‘Ilmu Pengasih’. Lebih kurang sama macam apa yang terjadi pada Adik..cuma mungkin puncanya berbeza.

Sejak dari kecil, Adik memang seorang yang bijak. Otaknya cerdas, mudah memahami dan mengingati apa yang dipelajari. Raut wajah adik manis. Handsome. Aku tahu ramai perempuan yang menaruh hati pada Adik. Yelah, lengkap pakej. Adik juga pandai berbual tentang sesuatu topik walaupun seringkali diam buat hal sendiri.

Semakin lama, semakin banyak kejayaan yang dicipta Adik. Bila masuk sekolah berasrama penuh, lebih banyak yang Adik mahu buat dan buktikan. Kami sekeluarga memang berbangga dengan Adik. Sampailah tiba masa Adik buat persediaan untuk ke luar negara. Ada sesuatu yang terjadi hingga jadi turning point merubah hidup Adik 360°.

Adik mula suka memerap dalam bilik. Puntung rokok bersepah dalam bilik. Bau rokok jangan cerita. Dari pagi sampai ke malam bertapa dalam bilik. Solat entah ke mana. Mak Ayah dilawannya. Dan pernah juga dia bergaduh besar dengan aku. Aku tengok Adik banyak berubah sebelum buat persediaan. Dia selalu marah-marah dan nampak depressed. Mungkin rasa terbeban dengan harapan kami di sekelilingnya.

Adik berjaya juga habiskan pengajian A-level. Tapi result tak begitu membanggakan. Dia terkandas untuk sambung ke luar negara. Hanya sambung degree di Malaysia sahaja. Sejak itu, aku lihat Adik makin kusut. Awal dia sambung degree, ada berita mengejut dari Mak Ayah. Adik sakit! Mengadu takut. Ya, takut yang teramat. Semua orang jadi pelik.

Pendekkan cerita, pengajian Adik tak habis. Puas Mak Ayah bawa berubat sana sini. Mulut yang mengata jangan ceritalah. Seolah-olah mereka gembira dengan apa yang terjadi pada Adik. Padan mukakan Adik. Adik tak macam dulu. Rambut serabai, wajah kusut. Muka dan matanya hilang sinar. Nampak benar yang dia sakit.

Akhirnya aku nekad bawa Adik berubat dengan seorang ustaz yang aku yakin boleh membantu sedikit sebanyak. Masa tu macam-macam yang Adik dah lalui. Sampai kena buat MRI scan kepala, ujian darah apa semua tapi doktor tetap kata Adik sihat. Tapi Adik masih macam tu. Badan semakin kurus. Dan selalu rasa takut sampai malam-malam kena tidur tengah-tengah antara Mak dan Ayah. Aku sangat kesiankan Adik dan aku nekad.

Ustaz memberitahu, rupanya, separuh badan Adik sudah dipakaikan ‘baju’. Oleh lembaga yang siap bertengkolok bagai. Persis orang besar-besar zaman dulu. Mungkin mahu mendampingi Adik. Selesai rawatan, esoknya Adik bangun tidur Adik beritahu dia bermimpi rumah lama di kampung. Ramai orang menangis mendayu-dayu di beranda seolah-olah sedih ‘melepaskan’ Adik. Aku tak boleh bercerita lebih lanjut kerana isu ini sangat sensitif buat keluarga. Sampailah sekarang.

Adik juga bercerita yang dia selalu mimpi bukan-bukan. Orang berkepala besar. Hantu. Dan selalu mimpi rumah lama di kampung. Aku cuma mampu menasihatkan Adik apa yang patut. Sebab aku pun pernah lalui apa yang Adik lalui. Walaupun tak seteruk Adik tapi aku faham. Berbeza dengan yang lain. Mereka hanya mengatakan Adik depressed, tension study, putus cinta dan sebagainya. Tapi aku tahu sakit Adik lebih daripada itu. Aku tahu Adik sedih dengan nasib dirinya, mungkin sama macam apa yang confessor sebelum ni rasa. Adik lebih banyak mendiamkan diri tapi aku tahu jiwanya bercelaru.

Sekarang Adik dah pun sambung pengajian diploma. Sedang rakan-rakannya yang lain mungkin dah menggenggam segulung ijazah dan dah pun berkerja. Dah kahwin. Tapi Adik masih lagi sedang berusaha untuk sembuh sepenuhnya. Adik semakin menyendiri. Tapi perlahan-lahan aku nampak hikmah atas semua yang terjadi. Adik lebih mendekatkan diri padaNya.

Apapun terjadi pada Adik, walau semua orang mengutuk dirinya, memulaukan Adik atau mengejek Adik..dia tetap Adik yang aku bangga. Aku tetap percaya yang sakit Adik bukan dibuat-buat dan aku tahu Adik sedang struggle di dalam. Walau jalan hidupnya di dunia tak seindah apa yang dia rancang, aku tahu Allah sebaik-baik yang merancang. Lambat laun hikmah sebenar pasti akan muncul jua.

Pada confessor dan sesiapa jua yang sedang mengalami ‘sakit’ itu, aku doakan semoga Allah memberikan kesembuhan sepenuhnya dan menggantikannya dengan nikmat atas kesabaran kalian. Bersabarlah dan berjuanglah untuk sembuh. Anda bijak, jadi jangan biarkan kata-kata orang lain mempengaruhi fikiran anda. Mungkin mereka tak rasa apa yang anda rasa. Jiwa yang pernah lalui sahaja yang tahu betapa tersiksa. Sekuat mana pun sakitnya, Allah Maha Besar.

Doakan Adik aku juga sembuh. Dan dikurniakan kebahagiaan dunia akhirat. Itu sahaja harapan aku sebagai kakaknya.

Thanks sudi baca. Maaf jika membosankan.

– Kak Ngah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit