Maaf andai coretanku sedikit panjang. Aku cuma ingin meluahkan rasa hatiku. Yang terlalu lama ku pendam sehingga aku rasakan, ia telah menjadi barah yang membunuh jiwaku.
Aku ingin bermula dengan sejarah pendidikan diriku. Aku dulunya adalah seorang pelajar tahfiz. Aku sendiri memilih untuk menghafaz Al-Quran kerana jiwa aku memang sukakan agama. Aku berjaya tamat dengan baik pengajian Tahfizku.
Bukan itu yang ingin aku fokuskan. Tapi, aku sedih dengan keadaan diri aku sendiri sekarang. Aku tak tau kepada siapa dapat aku percaya.
Semasa aku di Tahfiz, aku sangat menjaga pergaulan. Aku tiada teman lelaki. Sesekali ada juga aku bercakap dengan lelaki atas urusan² penting.
Sehingga di tahun akhir, aku jatuh hati dengan seorang lelaki, kami sempat bercinta beberapa bulan dan akhirnya dia memutuskan hubungan dengan aku kerana dia melanjutkan pengajian ijazahnya ke negara luar, sedangkan aku hanya di Malaysia.
Pemergian dia membuatkan aku kecewa, kecewa yang sangat mendalam. Setiap hari aku berdoa dan berharap dia akan kembali semula pada aku. Beberapa tahun aku dalam pengajian ijazahku di sini, aku terus menanti. Tapi penantian aku hampa.
Penghujung pengajian, aku membuka hatiku untuk menerima cinta lelaki yang pernah meminati aku dalam diam, aku cuba menerima dia walaupun tidak sepenuh hati.
Kerana aku berfikir, sampai bila aku perlu terus menanti ex aku yang telah berada jauh di sana. Tapi aku hampa lagi, apabila aku telah mula menerima lelaki kedua itu, aku ditinggalkan kerana dia kembali semula kepada bekas kekasihnya.
Rupanya aku hanyalah tempat dia melepaskn kesunyian. Sungguh hati aku hampa.
Selepas putus kali kedua, aku tidak lagi berharap cinta lelaki. Aku hanya teruskan hidup dengan luka hati yang tidak sembuh.
Aku hanya berdoa semoga Dia temukan aku dengan lelaki yang baik, yang boleh membimbing dan memimpin aku menuju cinta Ilahi.
Jodohku sampai. Namun bukanlah dari kalangan orang² agama. Dia lelaki biasa.
Sehingga aku tertanya², kenapa kawan² di tahfiz aku yang tak menjaga ikhtilat, yang dating berdua-duaan, yang bercinta sampai tak ingat dunia, yang keluar outing berdua, mereka dijodohkan bersama,
Kemudian dapat anak yang soleh/solehah, suami yang mendidik anak² dgn agama, menghafal Al-Quran malah kehidupan mereka sangat berjaya sekarang.
Aku melihat diri aku. Yang berusaha menjaga maruah diri. Sehingga hari aku dinikahkan, aku hanya pernah keluar sekali dengan lelaki pertama (berempat), sekali dengan lelaki kedua (berdua dan hanya duduk makan di tempat awam utk beri dia hadiah dan terus balik),
Tetapi jodohku adalah lelaki yang bukan beraliran agama, jauh sekali aliran tahfiz, yang sehingga kini tidak dapat membimbing aku, menegur salahku,
Kadang² membiarkan aku tidak solat (yang aku sendiri tak tau kenapa aku tidak solat), tidak pernah mengingatkan aku untuk mengulang hafazan, tidak pernah menyuruh aku membaca Al-Quran, membiarkan sahaja aku hanyut sendiri.
Suami aku juga tidak pandai mendidik anak² aku dengan agama.
Awal perkahwinan, aku kerap minta dia menjadi imamku. Sesekali ku bentang sejadah, solat bersama. Dia menjadi imam. Bila anak² semakin membesar, aku minta dia bawa anak² ke surau. Dia bawa, tetapi dengan banyak alasan.
Dalam keadaan ini, setiap hari aku berdoa semoga dia dibukakan hati untuk belajar agama, belajar membaca Al-Quran, bertahun² aku berdoa, akhirnya aku berhenti kerana doa aku tidak maqbul.
Sesungguhnya saat aku menulis ini, hati aku terlalu hampa dan kecewa kepadaNya. Dan aku tidak lagi pernah meminta dia menjadi imamku. Kami solat sendiri² walaupun kadangkala dia sedang solat, aku juga solat.
Soal anak. Entahla. Aku selalu merasa aku menjadi ibu yang sangat gagal.
Aku yang pada awalnya berlemah lembut dengan anak² akhirnya menjadi keras, menempik, mengherdik, merotan, menjerit, memaki, sampai satu tahap aku benci dengan diri aku sendiri. Anak² aku membesar dengan amarah.
Sehingga mereka pun menjadi kasar dan sering bergaduh. Sedangkan setiap hari aku berdoa Allah berikan aku anak² yang soleh solehah, yang menyejukkan nata dan hatiku. Tapi, anak² aku tidak juga begitu. Aku hampa lagi.
Lalu aku mula mempersoalkan.
Kenapa Tuhan berikan aku taqdir begini. Aku yang menjaga maruah diri, mendapat suami yang tidak tahu perihal agama. Walaupun aku telah nasihatkan, tiada perubahan.
Walaupun aku telah berdoa bertahun, tidak dimaqbulkan. Sedangkan kawan² aku yang berdating sana sini, dapat suami yang soleh, anak² yang baik. Berjawatan tinggi. Suami memberi nafkah dan anak² terdidik dgn Islam. Tapi kenapa aku sebaliknya?
Sehingga aku mempersoalkan kenapa Dia taqdirkan keburukan kepada aku. Kalau nak diingat kembali, dari aku kecil aku memang terasa terasing.
Sewaktu kakakku duduk di asrama, ibu dan ayahku kerap menziarahi kakakku, walaupun jauh, tetap ziarah.
Tetapi bila giliran aku duduk di asrama dari tingkatan 1 sehingga aku tamat pengajian, tak sampai 5x ibu ayah datang menziarahi aku, walaupun dekat, itu pun datang kerana hal² penting, bukan untuk membawa aku outing atau membawa aku berjalan². Berbeza dengan kakakku.
Aku pergi dan pulang dari asrama sendiri. Menaiki bas, dan turun dari bas berjalan kaki hingga ke rumah. Jauh. Walaupun ketika itu aku baru berusia 13 tahun. Tapi waktu itu aku hanya menuruti taqdir aku. Aku tidak pernah persoalkan.
Kemudian aku menginjak dewasa, ditinggalkn teman lelaki, tiada siapa dari ahli keluarga yang mengerti perasaan aku. Tiada siapa yang peduli. Aku membawa hati aku yang luka sendirian, menangis sendirian, mengubat kekecewaan hatiku sendirian.
Yang sampai sekarang aku tak tau adakah perasaan itu telah terubat atau tidak, kerana mungkin aku tidak mendapat jawapan kenapa aku dijodohkan dengan seorang suami yang tidak seperti aku selalu doakan.
Suami aku bukan seorang yang jahat. Dia baik. Sabar. Ada kebaikan² dia yang selalu buat aku merasa aku tidak layak masuk ke syurga kerana aku derhaka.
Tapi, di sisi yang lain, bertahun² lamanya aku menunggu nafkahku.. sehingga kini, aku masih menunggu. Dan entahlah.
Aku selalu bertanya pada Allah, adakah aku ini terlalu hina hingga aku tak layak menerima nafkah dari seorang suami. Apakah dosa aku terlalu besar sehingga aku tidak layak mendapat hak ku dari seorang suami?..
Kenapa taqdir aku selalu begini.. aku mengalah.. dan aku tak mampu lagi untuk terus berdoa. Biarlah Allah nak taqdirkan apapun pada aku, aku tak mampu mengubahnya lagi..
Hari ni. Aku meninggalkan kesemua solat 5 waktu. Tapi aku sangat sedih. Sebab aku tau neraka telah menanti aku. Kerana aku terlalu kecewa.
Anak² aku sering bergaduh. Aku terlalu letih. Jiwa aku hilang. Aku seperti ingin pergi. Pergi jauh. Lari yang entah ke mana. Aku berharap Dia memberi aku jawapan kenapa taqdir aku begini. Yang sehingga kini aku tidak ketemu jawapannya. Jahat sangatkah aku.
Bantulah aku. Aku sangat kecewa.
– Saleha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit