Assalamulaikum dan salam sejahtera. Izinkan aku perkenalkan diriku, seorang ibu, anak 3, seorang suri rumah dan sudah berkahwin 11 tahun.
Kisahku ini lebih berkisarkan aku dan anak sulungku, tetapi terdapat juga selitan masalah kehidupan seharianku sebagai ‘background of the story’.
Baik, ketika ni, hampir masuk waktu subuh dan aku tidak dapat tidur kerana kejadianku memarahi anak sulungku disebabkan pertengkaran kecil bersama suami.
Aku pernah bernekad menjadi seorang ibu yang baik. Sebelum kelahiran anak kedua, anak sulungku ditatang bagaikan minyak yang penuh kerana aku ttc selama 4 tahun sebelum mendapat anak yang pertama.
Tidak disangka, semasa anakku berusia 5 bulan, aku sudahpun mengandung tiga bulan.
Aku mengambil pil perancang ketika itu tetapi berhenti seketika kerana berlaku pendarahan tiada henti. Disebabkan itu, aku mengandung.
Pada ketika itu, aku sangat gembira. Namun, sikapku selepas kelahiran anak kedua berubah dan ianya berterusan sehingga sekarang.
Aku menjadi seorang pemarah dan anak sulung sering menjadi mangsa. Hal ini kerana, anak kedua ku, sudah menunjukkan kelainan ketika berusia 9 bulan.
Setelah 3 tahun, anakku disahkan autism. Bukan mudah kerana anakku akan mengamuk tidak tentu pasal dan anak sulungku pula masih memerlukan perhatian.
Disebabkan aku tidak mampu untuk melayan karenah kedua2 nya, anak sulungku sudah pun dipaksa berdikari terlebih awal dan sering dimarahi jika melakukan kesalahan.
Aku ingat lagi, seawal umur setahun lebih anak sulungku sudah ditengking dan dia menangis ketakutan kerana marahku.
Ini kerana aku penat, penat dengan urusan rumah dan penat dengan anak kedua yang menangis tiada henti, memerlukan perhatian lebih.
Lama kelamaan, anakku sudah biasa dimarahi dan tidak lagi hairan dengan amarahku. Anak sulungku kini berusia 6 tahun.
Lebih mengecewakan, suamiku yang asalnya seorang yang tenang kini terikut dengan sifat baranku.
*Sedikit tentang suami, seorang yang bertanggungjawab, boleh membantu kerja rumah jika disuruh tetapi tidak boleh menyempurnakannya.
Contoh, jika mop dan vacuum rumah, perabot dialihkan tetapi tidak akan disusun semula. Suami juga suka melengah2 kan sesuatu perkara.
Contoh, kipas siling rumah hanya dipasang selepas 8 tahun berkahwin.
Aku terpaksa beli kipas berdiri untuk kegunaan rumah dimana ianya sangat tidak praktikal kerana anak autismku suka menjahanamkan kipas dengan menghempaskannya (Ini juga menambahkan tekanan padaku kerana aku perlu selesaikan segala2 nya)
Jika aku memarahi anak sulungku, suami akan memukul anak sulungku walaupun dengan perkara kecil seperti tumpahkan air. Aku sudah memberitahu pada suami, jangan dimarahi anakku kerana aku sudah marahkannya.
Dia sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anakku tetapi, ntah lah. Suamiku seperti tidak mengendahkan kata2 ku dan tetap memukul anakku jika melakukan kesalahan.
Aku sedih melihat anak sulungku. Aku sedih melihat dia menangis. Selepas dia dipukul aku akan peluk dia.
Aku cuba untuk tidak memarahinya tetapi kadang2 aku penat, emosi ku tidak boleh dikawal. Penat dengan anak syurgaku yang sangat mencabar kesabaranku.
Kadang2 najisnya disapu, dicalit dalam rumah. Pampersnya dibuka, kencing merata, makan berterabur sana sini. Nak beritahu dan berkata2 padanya, dia tidak faham.
Aku menghantar anak syurgaku ke sekolah khas dan terapi, tetapi masih belum banyak perubahan lagi. Tetap juga aku penat kerana perlu berulang alik satu jam setiap hari ke sekolah nya kerana tiada sekolah khas yang berdekatan.
Anak sulungku sering dimarahi olehku kerana dia suka melakukan pembaziran. Makanan dibuang. Tidak disentuh pun makanan itu, tetapi terus dibuang ke tong sampah pabila tiada yang perasan. Hanya diketahui setelah tong sampah dibuka.
Kemudian apabila lapar, dia akan meminta2 makanan yang kurang berkhasiat seperti biskut dan roti.
Aku tidak mengajar anakku makan benda merepek, tetapi apabila ke rumah neneknya yang berdekatan, dia diberi makanan2 ringan menyebabkan anakku tidak minat untuk makan makanan berkhasiat lagi.
Anakku juga tidak pandai menghargai barang dimana mainan2 yang ku beli akan dirosakkan dalam masa satu hari atau dua hari. Aku sering memarahinya kerana semua ini memerlukan duit.
Dia tidak faham walaupun sudah diberitahu berkali2, jaga barang elok2. apabila barang rosak atau bersepah, suami ku akan buang menyebabkan anak2 ku tiada mainan yang boleh dimain.
Aku tidak akan kerap membelikannya mainan kerana semua itu memerlukan wang, hatta dikedai dua ringgit pun kerana semua mainan itu akan dihilangkan atau dirosakkan dalam masa satu atau dua hari.
Kini, anak sulungku walaupun baru berusia 6 tahun, sudah pandai melawan dan tidak mahu mendengar kata2 ku. Dia sering membantah dan sudah pandai menipu.
Aku tahu, ini mungkin kerana aku dan suami kerap menghukumnya. Tetapi, aku tiap2 malam akan peluk cium dan minta maaf padanya sekiranya aku memarahinya mengikut emosi, tanpa gagal.
Aku sedih, aku risau kerana kelakuan ku, anakku menjadi begini. Aku tidak tahu lagi bagaimana mahu jadi ibu yang baik kerana aku sering penat menguruskan rumah dan anak istimewaku.
Aku cuba bernada baik dengan anak sulungku tetapi dia tidak mahu mendengar kata2 ku menyebabkan aku naik suara dan mengherdik, kemudian barulah dia melakukan seperti yang disuruh. Aku risau zaman remajanya nanti.
Aku menyesal dan berharap belum terlewat untukku membaiki sikapku.
Bantulah aku untuk menjadi ibu yang baik. Berikanlah nasihat dan kata2 yang baik padaku untuk aku membetulkan kesilapanku.
Sedikit nota: aku tidak boleh tidur kerana aku sedih, aku tidur di bilik berbeza dengan suami setelah pertengkaran kecil dan anak sulungku datang dua kali ke bilikku dan menyatakan “kakak sayang ibu”.
– Lili (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit