Apa maksud gila?
Asalnya aku rasa kisah ni tak perlu diceritakan, tapi sebab ada isu viral yang membabitkan reaksi orang awam kepada orang OKU mental yang buat kacau, jadi aku kongsikanlah kisah aku yang pernah jadi gila—sekadar nak meluah.
Aku pun tak pernah duga akan jadi gila. Sewaktu sekolah, aku pelajar yang baik, bijak, dan cantik. Aku belajar bersungguh-sungguh sebab nak jadi orang berjaya.
Keluarga aku miskin, dan aku tak nafikan sedih dengan keadaan ni sebab mudah membandingkan diri dengan orang yang berada.
Ramai kan orang yang mengalami tekanan hidup sebab masalah kewangan? Sebenarnya, aku tak sedar yang datukku dulu juga pernah jadi tak siuman. Jadi, sakit mental aku ada faktor keturunan.
Keadaan jadi kacau bila nak SPM, aku tertekan takut gagal. Kena pula pencapaian aku makin merosot dan tak capai target. Aku rasa nak bunuh diri…
Aku jadi orang yang berfikiran negatif. Selain itu, ada masalah untuk bersosial. Aku tak ada kawan. Aku rasa mustahil nak keluar daripada kepompong kemiskinan dengan keadaan aku yang sukar fokus pelajaran. Sebab aku pernah jadi pelajar cemerlang, bila gagal, aku sangat kecewa.
Aku mula benci diri sendiri, malas urus diri, murung, dan tak nak pergi sekolah.
Aku tak nak benda ni terjadi. Aku nak hidup normal dan teruskan belajar dengan baik, tapi mungkin takdir aku jadi begitu. Sampai cikgu datang rumah pujuk ke sekolah. Aku dah rasa malu dan malas.
Kasihan ibu bapa aku masa ni nak hadap perangai pelik aku. Jadi, inilah punca kenapa aku tak datang peperiksaan SPM waktu kawan sebaya menekuni untuk ke menara gading.
Adik-adik aku pun rasa malu bila cikgu sekolah bertanya tentang aku. Sampai mereka pilih tukar sekolah. Sebab daripada keadaan tu, fikiran aku makin celaru dan keliru. Aku macam dah tak kenal keluarga dan rasa macam terancam.
Aku lari rumah, pergi masjid. Jumpa seorang lelaki di situ dalam rupa aku yang kusut, kata nak ikut dia balik. Aku dah gila.
Orang tu hantar aku balik. Aku mengamuk di rumah, tak tahu punca. Pecahkan barang dan cermin almari. Tak lama, polis sampai bawa ke balai. Kemudian ada ambulans ambil, masuklah wad psikiatri.
Aku tak tahulah apa perasaan keluarga aku masa ni. Aku pasti mereka sangat sedih. Bila masuk situ, tukar baju wad—rasanya warna hijau muda.
Aku ditempatkan di satu katil. Tempat ni terbuka sebab ada kawasan padang di situ. Senang bila ada yang rasa tak betul, bergulinglah. Yang pasti, kami dibekalkan ubat. Berbaris nak makan ubat. Siapa pernah tengok filem Buli Balik? Lebih kurang begitulah.
Pada suatu hari tu, aku ada buat perangai nakal—usik barang di kawasan doktor. Ternyata tindakan aku tu dimarahi, dan aku akan diikat pada katil. Aku meronta, dan kakiku menyepak pada leher seorang jururawat. Dia yang sedang hamil itu jatuh terduduk.
Kemudian dia menanggalkan kasutnya dan memukul wajahku bertubi dengan kuat. Aku reda je waktu tu, tak boleh elak. Mukaku bengkak, nasib baik mataku tak buta, hidung tak patah. Tapi aku boleh faham kenapa dia sangat marah padaku.
Aku diberi suntikan penenang. Entah berapa lama aku diikat… Kemudian, bila aku dilepaskan, aku terus muntah. Aku pun fikir yang bukan-bukan—adakah dia suntik aku dengan racun?
Doktor ada sarankan aku diberi gelombang elektrik agar otak aku ni tak fikir bukan-bukan. Keluarga aku tak setuju. Makin lama, aku makin stabil, tapi jiwa aku rasa kosong.
Aku tak solat, tak puasa Ramadan, tak bertudung… Adakah waktu ni dosa ku tak ditulis? Aku mula fikir, aku boleh buat benda yang haram ke? Pernah ada seorang tukang cuci lelaki yang agak ada rupa, aku peluk dia. Hilang maruah kejap.
Tapi di situ ada juga aktiviti senaman atau seni, main masak-masak… Makin lama, aku rasa macam dah normal. Rindu nak jadi diri sendiri, terkenang impian aku yang hancur.
Tapi aku dapat rezeki masuk situ dan nampak banyak jenis orang gila. Ada tu aku nampak wanita yang pakai stoking dan meracau—rupanya meroyan lepas bersalin.
Ada juga yang lebih muda dan sangat tua… Macam kasihan juga dapat penyakit ni, tapi aku percaya keluarga lagilah berat nak hadap dan jaga pesakit ni.
Bila kita diuji sakit, yang menjaga juga diuji. Malah, aku kagum dengan petugas di sini yang aku anggap sangat sabar melayan orang tak betul.
Waktu makan, kami akan ke dewan. Lelaki perempuan campur duduk macam di kantin sekolah. Sebab dah lama di situ, aku ada kawan yang selesa duduk sama. Dia lelaki nampak matang dan baik.
Tak tahu kenapa dia masuk situ, tapi katanya dia pelajar universiti. Entahlah, aku macam jatuh cinta dengan dia, rasa macam nak ajak kahwin. Itulah masalah hormon.
Tak lama, aku sedar yang dia dah keluar dan kami putus hubungan. Akhirnya, aku boleh keluar wad, tapi dah tak sambung belajar—sedih gila.
Besar sangat pengorbanan ibu bapa aku masa ni. Sudahlah kami bukan keluarga senang, tapi mereka tetap bawa aku temujanji jumpa doktor dan tukar ubat.
Bukan senang aku nak berhadapan dengan orang yang tahu penyakit aku. Aku hampir putus asa. Sehingga aku mula rajinkan diri baca tafsir al-Quran. Aku jumpa banyak ayat yang memujuk:
“Jangan putus asa daripada rahmat Allah.”
“Tidak Allah uji seseorang melainkan mengikut kemampuan.”
“Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
Kemudian, bila aku baca kisah Nabi Muhammad SAW yang mahu berdakwah ke Thaif tetapi dikatakan gila membawa ajaran sesat, malah dibaling batu hingga berdarah…
Aku rasa aku yang banyak dosa ini lebih layak untuk dihina. Ujian itu tanda Allah sayang untuk kita lebih dekat dengan-Nya.
Baiknya Allah, dalam kesusahan ada kemudahan.
Nabi Muhammad menerima satu mukjizat untuk melalui perjalanan Isra’ wal Mikraj—bagaikan satu hadiah buat baginda selepas banyak ujian perjuangan dakwah serta kehilangan insan tersayang. Perjalanan bertemu Allah SWT untuk mendapatkan perintah solat.
Untuk mendapat ketenangan dan kebaikan dalam kehidupan. Kena jaga solat… Solat dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Barangkali musibah ujian hadir kerana lalai dalam perintah-Nya.
Terima kasih admin sudi siarkan luahan perkongsian ini. Bukan untuk membuka aib, tetapi membuka mata agar masyarakat lebih empati dengan masalah orang lain serta tidak mudah menghukum tindakan seseorang.
Semoga segala kebaikan akan dibalas kebaikan yang lebih baik. Maaf dengan kelemahan diri ini.
– Rahsia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Alhamdulillah, awak dah ‘pulih’, sbb dari gaya penulisan, saya rasa awk sangat ‘bijak’ dan waras.. jadikan lah ‘sejarah’ hidup awk tu sbg ‘pengalaman’ semalam yg harus dilupakan.., anggap ia sbg ‘mimpi buruk’ dan sekarang awak dah ‘bangun’ dari tidur, dan mulakan hidup baru.., hidup ini tidak lama, so habiskan sisa2 hidup ini dgn berbuat sesuatu yg bermanfaat dan bermakna utk diri awk, kluarga dan orang2 lain.., mohon ampun atas kesilapan awak yg lalu, klaw mmg betul awak x siuman pada masa itu, insha Allah dosa2 awak akn diampunkan Allah.. satu je yg agak menghairankan saya, yg awak ‘ingat’ mse awak melakukan kesalahan trsebut, dan awk tahu perkara itu ‘salah’.., cthnya mse tak amk exam SPM & mse tendang ‘nurse’ tu, slalunya org yg ‘gila’ xtau & x ingat apa yg mrk dah buat sbelom mereka jd siuman (wallahu a’lam).., apa2 pon, kekal kah jadi hamba Allah yg dikasihi Allah & makhluk2 Allah yg lain.. wasalam.