Assalamualaikum. Nama aku Tasya dan aku masih di awal 20-an serta sedang melanjutkan pengajian di satu IPTA.
Seperti tajuk yang tertera, aku ni banyak penyakit. Entah kepada orang lain tetapi sekurangnya aku yang mengemudi kehidupan aku sendiri, ya, aku banyak penyakit.
Bermula dari sekolah rendah, aku mempunyai gastritis. Oh ya, sering kali kita menggunakan terma gastrik, bukan?
Aku baru mengetahui bahawa terma itu salah. Kerana gastrik merujuk kepada perkara berkaitan perut dan gastritis merupakan radang perut.
Ini adalah salahku sendiri kerana sering mengabaikan pemakanan mengikut waktu yang ditetapkan. Namun sekarang, penyakit ini sudah tidak muncul dek kerana aku lebih menjaga pemakanan.
Jika aku sibuk sehingga tak sempat makan, barulah ia datang. Namun ya, sudah jarang sekali.
Gastritis bagi aku sangat menyeksakan, bermula dari pedih ulu hati ke perut. Rasa menyucuk sehingga rasa tak larat.
Dan jika ubat tidak diambil, ia takkan hilang dengan begitu sahaja. Bakal menganggu seharian hariku tanpa kehadiran ubat.
Selain itu, senggugut aku agak teruk. Aku pasti akan mengalami senggugut setiap bulan namun tidaklah berlarutan. Sekurangnya 2 hari senggugut akan menyerangku.
Sakit bawah abdomen, pelvis, sakit kepala menyucuk, letih sentiasa, tak larat bergerak. Ah sakit ya.
Terkadang dengan menyapu balm panas saja, ia sudah hilang. Terkadang segala balm, tuam air panas pun tak hilang.
Aku cuba sedaya upaya tak makan ubat kerana sepanjang hidupku ini sudah bermacam jenis ubat aku telan. Namun apabila terlalu tidak tahan, telan juga aku ubat pink itu.
Jika anda ada petua untuk kurangkan serta hilangkan senggugut, amatlah digalakkan berkongsi ya.
Seterusnya aku ada penyakit keturunan. Buasir ataupun berak berdarah. Cerita ini agak panjang dan maaf jika coretan aku menjijikkan.
Buasir ini merupakan penyakit tokwan belah ibuku. Kemudian dua bapa saudaraku juga turut ada penyakit ini dan ibu aku juga ada.
Tapi ibuku dapat buasir setelah beranak. Hanya ketulan tapi tidak pernah berak berdarah.
Buasir bukan lah terus datang begitu saja. Semuanya bermula dengan sembelit dan semua ini terjadi sewaktu aku di sekolah menengah.
Pada masa itu, aku tidak tahu bahawa penyahtinjaanku tidak normal. Sehingga lah bila membuang aku rasa sakit sangat, rasa menyucuk, rasa pedih di dubur dan doktor kata aku ada sembelit.
Semestinya banyak ubat serta bancuhan air fiber turut diberi agar urusan pernyahtinjaanku dipermudahkan.
Masih segar dalam ingatanku pertama kali aku berak berdarah. Ya Allah, aku terkejut bukan kepalang apabila melihat titisan darah segar itu.
Pengalaman dan debaran pada hari itu masih aku ingat sehingga sekarang. Dan keesokannya aku ke klinik dan doktor mengatakan kulit duburku terkoyak kerana teran terlalu kuat sehingga menyebabkan pendarahan.
Aku jadi sangat takut untuk membuang kerana kesakitan itu ah, tak dapat aku bayangkan sehingga biarlah aku tak membuang pun asalkan tak rasa sakit.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan sudah setahun berlalu pergi.
Dalam tempoh itu, berapa banyak kali aku ke klinik untuk mendapatkan ubat malah turut berikhtiar dengan rawatan tradisional, makan ubat herba untuk hilangkan berak berdarah ini. Telan ubat tahan sakit, telan ubat itu ini.
Aku sudah sampai di tahap berputus asa. Jadilah apa pun, jadilah. Aku sudah penat.
Dan aku kerap juga tidak hadir ke sekolah kerana penyakit ini. Apabila ia berlaku, aku tak boleh duduk, hanya boleh berdiri atau tidur kerana ia sangat-sangat sakit.
Bayangkan aku perlu duduk sepanjang hari di sekolah sehingga pukul 4 petang? Ah aku tak sanggup.
Dan berak berdarah ini bukan lah jadi setiap hari. Apabila aku makan makanan yang terlalu pedas, badan aku tak dapat tahan pedas itu, ya ketika itu lah ia terjadi.
Sewaktu pertama kali jadi begini, sangat susah untuk aku pantang makanan pedas. Ya lah, sudah lama aku makan pedas malah aku memang gemar makan pedas pun.
Kalau takda lauk atau kuah pedas, rasa tak lengkap hidup. Kadang, makanan yang aku makan tu takda lah pedas sangat tapi badan aku tak boleh terima dan keluar lah darah.
Nak kata sayur, air, protein semua aku jaga. Sayur merupakan menu wajib setiap hari. Air pun memang aku minum air putih sahaja, protein semestinya selalu. Buah pun selalu ambil juga lagi-lagi betik.
Sampai aku tak tahan perkara ini tak pernah nak habis dah lah aku nak SPM, aku tak nak penyakit ini jadi asbab yang bakal menganggu persediaan aku untuk SPM nanti.
Akhirnya aku ke hospital swasta dan menjalankan kolonoskopi. Waktu ini lah doktor sahkan aku ada buasir.
Aku tak berapa ingat kata-kata doktor itu tapi dia ada kata yang aku perlu ikat usus (atau apa ntah) tapi usus aku pendek jadi akhirnya tak ikat. Aku diberi ubat dan perlu habiskan kesemuanya.
Alhamdulillah aku rasa aku buat keputusan yang sangat tepat waktu itu sebab selepas itu, tiada lagi sebarang pendarahan. Berbulan lamanya sehingga lah jadi balik.
Mungkin aku rasa ia dah hilang, aku makan balik pedas. Tak pantang betul-betul.
Dan baru-baru ini ada kawan ibu aku turut berpengalaman seperti aku dan akhirnya mendapat kanser kolon di tahap 4.
Aku juga pernah membaca artikel seperti itu dan ya, aku sangat takut kalau penyakit aku berlarutan sampai ke tahap kanser. Moga dijauhkan.
Tipu lah kalau aku tak pernah salahkan takdir. Aku sering menangis kenapa aku? Kenapa dalam adik-beradik kami empat orang, kenapa aku yang dapat penyakit ni? Penyakit keturunan ini?
Kenapa kakak boleh makan pedas sampai tahap gigt cili padi tapi aku nak makan pedas sikit pun tak boleh? Kenapa kakak dan ibu tak pernah ada senggugut tapi aku yang ada, aku yang teruk?
Astaghfirunllahalazim. Tapi lama kelamaan setelah fikir secara rasional, aku ubah cara pemikiran aku. Takpa Sya, Allah sayang, Allah sayang, Allah sayang kau.
Aku mula redha, rasa lebih tenang tetapi masih berikhtiar agar aku takda lah sakit seperti dulu lagi.
Sekarang, aku sedang pantang pedas. Kalau ada segala sambal belacan, sambal nasi lemak, sambal penyet semua tu huhu jauhkan lah dari aku. Kerana aku takut penyakit ini melarat.
Sementara aku masih ada peluang nak mengubati baik aku pantang elok-elok dan betul-betul. Buat masa sekarang tiada sebarang pendarahan, berkat aku pantang.
Bila aku tengok orang buat challenge, makan pedas Samyang, Maggi Pedas Giler tu, aku pulak terasa sakitnya.
Buat anda yang makan pedas berlebihan tu, berpada-pada lah sebelum nikmat itu ditarik. Pedas itu juga satu nikmat maka nikmati lah sebaik-baiknya.
Aku akhiri coretan aku dengan meminta nasihat daripada anda yang pernah mengalami senggugut atau berak berdarah. Mungkin ada petua atau tips yang boleh aku ikut untuk sekurangnya mengurangkan kesakitan ini.
Maka, aku tutup dengan ucapan terima kasih buat semua. Assalamualaikum.
– Tasya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit