Bapaku…

Bapaku… Seorang figura yang amat aku kagumi, aku sangat menyantuni beliau, berbekal kan keazaman untuk keluar dari kepompong kemiskinan, bapaku berusaha sehingga berjaya.

Bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang senang, bapaku anak terakhir dalam keluarga seramai 7 beradik, tinggal di timur tanah air, arwah bapanya hanyalah pekerja sambilan dan ibunya berniaga kain dipasar pagi.

Kehidupan beliau semasa kecil, sudah terbiasa makan nasi berlaukkan garam kadangkala berlaukkan gula. Tidur beliau hanyalah diselimuti dengan sehelai kain pelikat nipis dan beralaskan tikar.

Sehingga hari ini, bapaku masih begitu. Hanya sehelai kain pelikat nipis membaluti tubuhnya ketika tidur dimalam hari, masih selesa tidur beralaskan lantai. Sudah terbiasa begitu.

Sekitar 60an eletrik mula dipasang diseluruh kampung, bersorak gembira anak kampung kerana malam tidak lagi didalam kegelapan,

Bapaku dibesarkan didalam kedaifan, curi2 menonton televisyen dicelahan papan jarang rumah jiran, kadangkala dimarahi dan diusir kerana mengganggu kententeraman.

Dizaman itu, hanya keluarga yang berada saja mampu memiliki sebuah televisyen. Kerana kedaifan juga, kehadiran bapaku tidak dialukan-alukan oleh keluarga besar beliau. Nenek bapaku bersikap pilih kasih antara mereka.

Hanya cucu yang berada saja dijamu dengan makanan yang enak, diberikan duit dan kasih sayang sepenuhnya manakala adik beradik bapaku hanya dipandang sebelah mata, diherdik dan dihina, makanan juga disorokkan.

Hal ini menyebabkan bapaku lebih bersemangat untuk mengubah kehidupan beliau.

Keputusan SRP bapaku sangat memuaskan, beliau dapat menyambung tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik Johor.

Walau jauh dari keluarga, bapaku nekad untuk pergi menimba ilmu disana. Selama berbelas-belas jam dalam gerabak kereta api, perjalanan amat memeritkan serta memenatkan tubuh badan.

Tanpa ditemani sesiapa, akhirnya bapaku sampai jua ditempat yang amat asing baginya. Pendaftaran berjalan lancar, sesi persekolahan bermula.

Beliau cuba memohon “scholarship” kerana beliau yakin keputusan beliau amat melayakkan dan beliau juga bukanlah dari keluarga berada tetapi pada zaman itu, “scholarship” hanya dimonopoli oleh anak-anak cikgu dan beliau mendapat tahu mereka semua menipu “payslip”.

Sehingga ke hari ini, bapaku menekankan kami supaya tidak menipu “payslip” kerana risau kami telah mengambil hak orang yang sepatutnya, seperti bapaku yang telah dinafikan haknya.

Bapaku tidak punya wang yang mencukupi, keadaannya sangat daif, beliau terpaksa mengikat perut demi kelangsungan hidup ditempat orang.

Baju- baju beliau sangat lusuh dan seluar yang koyak tidak dapat dibeli baru, hanya dijahit menggunakan tali rafia. Selama 2 tahun ditempat orang bapaku tidak pernah berganti baju.

Keputusan SPM bapaku cemerlang dan melayakkan beliau untuk menyambung pelajaran ke Kolej Ungku Umar di Ipoh, Perak.

Kehidupan di Ipoh lebih tenang, beliau telah menamatkan pelajaran dalam “Sijil Pengurusan Perniagaan”. Seusai menamatkan pelajaran, bapaku telah diterima bekerja di F3LCRA. Disana bapaku telah menimba ilmu dalam bidang persawitan.

Bapaku orang nya yang sering berfikir diluar kotak, tidak hanya melalui proses pembelajaran tetapi cuba mencari peluang dengan menimba ilmu dan menambah “skills” baharu.

Cukup 30an, bapaku telah bersara dari F3LCRA, alasannya cukup mudah, dia tahu sekiranya dia masih bersama F3LCRA tanpa membuat sebarang perubahan, tangga gajinya kecil untuk beberapa tahun akan datang malahan peluang untuk meningkat naik sangat perlahan,

Bapaku telah mengambil langkah drastik iaitu bekerja dengan beberapa orang bos cina (untuk belajar dan menggali peluang).

Pada usia seawal 37tahun, bapaku telah menjadi seorang “manager” disebuah tempat dan mempunyai kehidupan mewah, memandu kereta mewah. Dizaman itu tidak ramai orang melayu yang bekerja sebagai manager.

Langit tidak selalunya cerah, akhirnya tempat kerja terakhir bapaku diisytiharkan “bankrupt”, bapaku cuba mencari jalan keluar dengan membuka kedai runcit. Maka berpindahlah kami sekeluarga.

Perniagaan kedai runcit bapaku tidak berjalan lancar dan mengalami kerugian, sikap pemiutang yang tidak mahu membayar hutang dan mengambil kesempatan serta sikap kami adik beradik yang mengambil hasil jualan telah menjadi punca liability melebihi aset.

Akibat kerugian tersebut, bapaku telah terpaksa menutup perniagaan kedai runcit dan mengintai peluang baru.

Dari mercedes benz, bapaku tidak malu untuk menukar kereta kepada kereta yang lebih kecil, bapaku telah membeli kereta proton wira sebagai jalan terakhir.

Dari rumah 2 tingkat di tepi pantai, bapaku tidak malu untuk berpindah ke rumah yang lebih kecil. Dari seorang bos besar menjadi orang bawahan.

Pelbagai kata cacian dan sorakan kepada bapaku. Orang sekeliling bertepuk tangan melihat kejatuhan beliau. Namun bapaku sedikit pun tidak gentar, beliau telah membuat pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Hal ini telah berlarutan selama beberapa tahun. Bapaku telah mengambil tindakan sekali lagi untuk membawa kami berpindah ke kuala lumpur. Beliau percaya disana ada rezeki beliau.

Ketika di Kuala Lumpur, bapaku telah mencuba nasib beberapa kali bersama 2 orang rakan untuk membuka perniagaan berasaskan kelapa sawit, kecintaan bapaku terhadap kelapa sawit tidak pernah padam.

Pada ketika ini semua yang diusahakan oleh bapaku menemui jalan buntu.

Tahun 2014 menyaksikan airmata bapaku jatuh mengalir sederasnya, satu satunya kereta terakhir bapaku iaitu kereta proton wira akhirnya ditarik kerana bapaku tidak mampu lagi untuk membayarnya.

Bapaku akhirnya tinggal sehelai sepinggang. Pergi kemana-mana menaiki bas intrakota, sungguh sedih bila teringatkan saat kejatuhan itu.

Kasut yang dahulunya berjenama bonia, crocodile, tidak lagi mampu dimilikinya, bapaku hanya mampu memakai kasut berharga RM30.

Masih ku ingat ketika bapaku datang mengambil “report card” aku disekolah, aku berpesan kepadanya untuk memakai kemeja dan kasut kerana aku malu sekiranya bapaku selekeh (akal fikiran anak remaja yang masih belum matang),

Bapaku turutkan juga untuk menjaga hatiku dan airmuka ku. Dengan senyuman bapaku datang mengambil report card.

Akhir tahun 2015 kami mendapat khabar berita yang menggembirakan. Rakan lama bapaku yang pada ketika itu telah menjadi seorang bos besar, telah mempelawa beliau bekerja di salah sebuah syarikat persawitan separa swasta dengan jawatan “manager”.

Rakan lama mengetahui tentang kehebatan bapaku dalam bidang persawitan.

Bapaku kembali bernafas semula. Ketika didalam syarikat tersebut, bapaku telah menunjukkan skills yang tidak ramai tahu, kerana skills ini hanya dipelajari melalui pengalaman malahan tidak langsung diajar di dalam mana- mana buku pun.

Hal ini telah mendapat perhatian dari sebuah syarikat persawitan swasta terkemuka ditanah air. Bapaku telah diterima bekerja setelah dipanggil untuk sesi presentation interview. Syarikat ini telah tertarik dengan kebolehan bapaku.

Selama berbelas tahun bapaku mengabdikan diri bekerja disyarikat ini dengan jawatan terakhir sebagai “Vice president” dengan gaji Berangka RM2X,XXX bulanan.

Sesungguhnya bapaku merupakan sumber inspirasi hidupku, kecekalan beliau telah menjadikan beliau idola.

Kini bapaku telah bersara dari syarikat ini dan membuka perniagaan minyak masak sendiri based in Rawang, Selangor dan mengeksport minyak kelapa sawit mentah ke Cambodia.

Diharapkan pembaca semua dapat menitipkan doa agar bapaku sentiasa diberi kesihatan yang baik dan dilindungi Allah sentiasa. Bapaku insan hebat…

– Mawar Putih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *