Assalamualaikum dan salam bahagia tuan dan puan. Seperti tajuk yang aku berikan, pasti kalian dapat gambaran yang akan aku ceritakan.
Aku tahu, aku bukan orang yang layak untuk bersuara tetapi aku ingin meluahkan rasa sedih dan pilu dengan apa yang berlaku di media sosial sekarang. Dan terlebih dahulu aku mohon maaf sekiranya luahan ini tidak bermakna pada kalian.
Pelbagai isu dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan kesalahfahaman atau kesilapan dari barisan hadapan dan dipukul sama rata.
Hidup aku dikelilingi oleh mereka. Aku lihat sendiri tulang empat kerat mereka bekerja. Sangat letih tetapi tidak berhenti usaha. Tidur tak tentu masa, sedangkan mereka juga manusia yang hidup perlukan rehat secukupnya sama seperti kita.
Masyarakat cuma melihat ada kemewahan tetapi tak pernah tahu keringat yang mereka dialirkan.
Ya, diakui ada di antara mereka tewas dalam kenikmatan. Kalah dengan hasutan pemberi imbuhan. Kalah dipertengahan tugas dengan sogokan. Ada juga yang dikatakan tak beriman.
Mula dikatakan manusia bertopengkan syaitan. Tetapi dimanakah keadilan? Kerana segelintir dari mereka salah percaturan, kita nak jadi Tuhan menunding mereka semua tidak ada kebaikan?
“Data statistik swab test tu tipu je, nak takutkan kita.”
“Kluster kelab malam tak da pon, bukan ramai ke berkumpul kat situ?”
“Ambil suhu ni tak membantu pon, nak bodohkan kita.”
“Tak nak lah vaksin, nanti mati.”
Mereka bekerja nak menipu masyarakat dengan memakai PPE yang panas berjam-jam? Berapa kes indeks dan sampel yang diperlukan untuk dijadikan kluster kelab malam?
Adakah ambil suhu badan buatkan kita tak bermaya dan terus demam? Perlukah nak bunuh masyarakat yang juga keluarga mereka sendiri dalam diam?
“Makan gaji buta sebab ibu bapa yang kena ajar anak.”
“Seronoklah sekolah cuti, tak da kerja kan?
“Kerja dah elok ajar anak orang, tapi anak sendiri nakal nauzubillah.”
Mereka tak pilih jadi sampai begini. Kalau pon diberi cuti mereka tak goyang kaki malah mereka banyak utamakan anak murid dari anak sendiri.
Adakah dengan pekerjaan, iman dapat diwarisi? Bukankah mereka juga hamba Tuhan yang banyak benda perlu dipelajari?
“Dia suka ambil duit orang masuk poket sendiri.”
“Dia tangkap orang ambil dadah, tapi dia pon jual dadah.”
“Dia pernah seludup duit dulu, dah insaf ke sekarang?”
Dek kerana situasi segelintir yang sebegini, yang benar-benar jujur bekerja dikatakan makan duit riba. Sedangkan mereka tidak pernah melakukan benda yang sebegitu rupa. Ibu bapa, anak dan keluarga terpalit sama.
Sedar tak yang kita sakiti bukan orang yang kita tunding sahaja, malah seluruh ahli keluarganya.
Ada yang keluar rumah mencari rezeki untuk keluarga dari sebelum terbit matahari pagi, sehingga timbul cahaya bulan.
Sedang orang lain enak dibuai mimpi, mereka bergegas ke lokasi menahan pendatang asing menebusi sempadan. Mereka tetap menggalas tanggungjawab tanpa mengharapkan imbuhan.
Pekerjaan barisan hadapan tak menjanjikan mereka kegembiraan tetapi itu yang mereka pilih. Salahkah pilihan itu sampaikan masyarakat sering beri kata-kata pedih?
Mereka tak layak nak rasa sedih? Kita sebagai masyarakat penilai terbaik sampaikan mereka kadang tersisih?
Aku sebenarnya rasa terkilan dengan luahan hati mereka. Lepaskan lelah dengan rasa kecewa. Aku tahu aku tak mampu ubah nasib mereka.
Aku juga tahu aku tak mampu tahan semua orang dari terus mengata. Aku cuma boleh menjadi pendengar yang setia. Namun sekian lama luahan hati mereka buat aku menangis hiba.
Cari selipar di rumah orang sepanjang Aidilfitri. Saman rakyat yang langgar SOP dengan nilai yang tinggi. Apabila berita sebegini riuh diperkata sana sini, kalian pernah terfikir tak kenapa semua ni terjadi?
Jujurnya, mereka pon penat dengan tak mampu nak tanggung dan fikir apa lagi. Media pula seronok sebarkan berita kontroversi. Lagi pula masyarakat sendiri asyik menunding jari sesama sendiri. Kita semua tak satu hati. Asyik pentingkan diri sendiri.
Yang terbaru ada yang kata mereka anak tak sah taraf dan tak punya perasaan. Mudahnya jari menaip tanpa fikir ia melukakan. Isu yang lepas tak surut lagi.
Tambah pulak kata-kata yang sebegini. Mungkin kita boleh kata mereka tak perlu fikir terlalu dalam. Mulut orang bukan boleh diam. Ya, tetapi sedikit sebanyak semua ni sebenarnya menambah rasa penat dan lelah pada mereka. Kerana barisan hadapan juga manusia.
Banyak lagi pekerjaan yang diiktiraf barisan hadapan. Semuanya berjuang bukan sekadar untuk cari makan. Tetapi lebih kepada menjaga sesama insan.
Aku tahu masyarakat kita ramai yang baik. Cuma kadang ada yang tidak berfikir secara logik. Jadi aku mohon sangat, jangan terus mempertikai mereka tanpa usul periksa.
Takkan salah seorang kita nak pukul semua sama. Dan sedar atau tidak dengan terus mengata tentang kesalahan mereka, mulut kita ini menzahirkan doa?
Lebih ramai yang berbicara, tak mustahil Tuhan makbulkan yang sebenarnya sebelum ini tak pernah ada.
Kita semua sama. Nak rasa beraya dengan keluarga. Nak kan kehidupan seperti dulu semula. Berhentilah mengata. Lagipun bulan puasa. Fokus ibadah dan yang baik-baik sahaja.
Hargailah mereka yang berjuang tanpa mengira penat. Itu yang sepatutnya berlaku dalam bermasyarakat. Kita sayang orang tanpa syarat. Pasti hidup lebih nikmat. Dan moga Tuhan berikan kita rahmat.
Banyak lagi kalau nak cerita. Tapi takpelah. Sampai di sini sahaja.
Selamat Hari Pekerja
1 Mei 2021
– Pendengar Setia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit