Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Sejak akhir-akhir ni, banyak confession pasal depression dan confession aku kali ni pun pasal benda yang sama yakni KEMURUNGAN. Aku tak tahu sejak bila aku ada depression sebenarnya cuma baru-baru ni pergi check dan doktor dah diagnos aku dengan Major Depressive Disorder.
Zaman sekolah aku tak indah sangat. Keputusan exam aku yang tak cemerlang macam adik-beradik aku jadikan aku ibarat anak buangan mak bapak aku. Can’t blame them totally. Aku yang tak cukup usaha mungkin untuk jadi cemerlang. Adik-beradik aku semua masuk asrama, SBP, MRSM dan aku… cuma di sekolah harian biasa. Perlahan-lahan aku mula overthinking, aku bukan anak mak aku. Aku bukan anak bapak aku. Aku tak cemerlang, aku tak cukup bagus dalam keluarga ni. Aku pernah terfikir nak bunuh diri sebab aku rasa tak ada orang sayang aku. Kalau aku mati pun, tak ada siapa peduli. Aku solat lima waktu, mengaji tapi tak mampu nak hilangkan perasaan tu.
Sampai satu tahap, aku benci keluarga aku. Aku sayang keluarga aku tapi at the same time, aku benci. Aku benci sebab aku yang tak mampu nak jadi sehebat keluarga aku. Mak bapak aku pegawai kerajaan. Adik beradik mak bapak aku pun hebat-hebat. Menambahkan tekanan aku bila mak bapak aku mula bandingkan aku dengan sepupu-sepupu aku. Tak cukup dengan adik-beradik, sepupu-sepapat pulak. Aku pendam semuanya. Malam-malam aku menangis sendiri. Aku bercakap sorang-sorang, tanya kenapa aku? Kenapa bapak aku benci aku? Kenapa mak aku tak sayang aku? Aku ingat aku seorang je yang rasa bapak aku tak sayang aku tapi adik perempuan aku pernah tanya aku, kenapa bapak macam benci kakak? Aku mula ada masalah tidur malam, selera makan aku bertambah, prestasi aku kat sekolah up and down. Dalam kelas Kimia aku tidur. Fokus aku mula lari.
Ditakdirkan result SPM aku cukup-cukup makan (tak cemerlang sangat, taklah teruk sangat), aku sambung pengajian ke matrikulasi. Masuk matrikulasi, aku jadi tak nak balik rumah. Hatta cuti panjang, aku rela duduk kat bilik sebab tak nak balik. Semua mula berubah bila mak aku cakap bapak aku sakit. Aku mula semacam menyesal bila buat perangai bodoh aku. Aku mula cuba rapat dengan bapak aku semula tapi tetap juga bapak aku bandingkan aku dengan adik-beradik aku, sepupu-sepupu aku.
Sampailah masuk universiti, keadaan masih tak berubah. Aku masih pendam. Aku tak pernah cerita pada sesiapa. Aku selalu berlakon aku ceria, tak pernah ada masalah tapi kalau aku balik rumah, aku totally berubah. Tapi keadaan aku makin membaik bila aku mula rapat balik dengan bapak aku. Episod depression aku bermula balik apabila bapak aku meninggal. Waktu tu, perasaan bersalah mula menyelubungi aku. Aku mula tanya pada diri sendiri, apa jasa aku pada bapak aku? Apa yang aku dah bagi pada bapak aku? Tak ada! Aku cuma salahkan bapak aku padahal aku dulu yang tak usaha cukup baik untuk jadi anak yang terbaik bapak aku. Aku masih pendam. Aku tak tahu nak luah pada siapa. Aku mula nak berubah, untuk mak aku. Aku nak tebus semula kebodohan aku dengan cuba jadi cemerlang.
Akhirnya result aku naik tapi aku tak happy sebab bapak aku tak ada nak tengok keputusan cemerlang aku. Nak dijadikan cerita, waktu semester akhir aku, FYP aku tak menjadi. Orang lain dah nak sampai ke garisan penamat, aku masih terkial-kial dengan projek aku. Aku mula jauhkan diri dari kawan-kawan aku sebab aku rasa aku tak layak kawan dia orang. Dia orang confirm boleh grad, aku pula entah-entah kena repeat (overthinking). Dengan kawan aku yang paling rapat pun aku jauhkan diri. Aku rasa aku bodoh sebab tak mampu nak jadi macam kawan-kawan aku. Aku keep on terfikir yang kawan-kawan aku sedang ketawakan aku sebab FYP tak siap.
Tapi aku bernasib baik, ada kawan aku tolong aku. Dia punya FYP pun tak siap lagi tapi dia sama-sama tolong aku siapkan FYP aku. Serius aku cakap, waktu tu aku jumpa kawan dunia akhirat aku. Akhirnya aku berjaya siapkan FYP aku. Alhamdulillah. Rasa nak menangis bila tengok tesis aku. Hubungan aku dengan kawan-kawan mula okey semula. Aku yang approach dulu sebab dulu aku yang bodoh jauhkan diri.
Habis pengajian, masa untuk cari kerja dan aku masuk ke fasa kemurungan yang lebih dasyat. Hampir keseluruhan budak kursus aku dapat kerja. Kerja dalam bidang kami pulak tu. Tinggal aku dengan kawan dunia akhirat aku tu (dan beberapa orang lagi) yang masih tak bekerja. Aku mula dengar pakcik makcik aku mengata aku. Asyik tanya, “Bila nak dapat kerja? Sampai bila nak bela badan? Sampai bila nak mak awak kena tanggung awak?”
Demi Allah, aku dah berusaha. Sehabis baik aku berusaha untuk cari kerja. Dari kerja kedai kasut sampailah kerja dalam bidang aku. Semua aku minta tapi orang tak faham. Hari-hari lepas solat aku minta Allah murahkan rezeki aku. Aku hari-hari berdoa tapi semua cakap aku memilih kerja. Orang tak nampak effort aku. Semua cakap aku nak kerja best-best. Aku down! Aku rasa aku tak berguna. Perasaan yang aku rasa waktu sekolah menengah tu datang balik. Aku tak cukup bagus. Aku ni LOSER. Aku ni FAILURE. Dalam adik-beradik aku, akulah paling tak guna sekali. Mak aku tak pernah cakap aku susahkan dia tapi sedikit sebanyak, aku tahu… dia mesti aku ni susahkan dia (overthinking). Aku rasa aku ni elok mati kena langgar dengan kereta api je waktu tu.
Akhirnya selepas dua tahun aku menganggur, aku dapat kerja. Kerja aku best. Jujur aku cakap. Aku happy kerja sini. Bos pun okey tapi… company baru, banyak problem (normal kan?). Staff-staff sini mula cakap pasal company ni tak ada masa depan, semua cakap pasal nak berhenti. Benda-benda negatif yang staff cakap mula makan fikiran positif aku, gaji ciput, kerja banyak, staff A mengata staff B pasal staff C, staff B mengata staff C dengan staff A. Aku mula rasa tak seronok. Bukan sebab kerja tapi sebab orang sekeliling. Aku mula rasa penat. Aku mula terfikir nak bunuh diri semula. Aku fikir pasal kematian. Aku pernah lalu sebelah lori dan aku terfikir, “Apa rasanya kalau badan kena lenyek dengan tayar lori tu?”
Aku pernah nak mengadu pada kawan aku tapi kawan aku terus bagi conclusion yang aku ni tak cukup dekatkan diri dengan Allah, iman aku tak kuat. Aku ni lemah… yada… yada… Kenyataan dia tu buat aku takut nak bercerita. Kalau betul aku jauh dari Allah, aku dah lama bunuh diri. Tak payah tunggu sekarang. Bila seorang staff kat sini tegur aku, cakap nampak aku punya mood swing makin teruk, aku terus terfikir nak buat mental health test. Dan keputusannya seperti aku cakap di awal cerita, aku ada Major Depressive Disorder (aku bawak keputusan aku jumpa doktor dan doktor suruh buat sekali lagi depan dia). Doktor bekalkan aku dengan ubat anti-depressant dan aku akan jumpa dr psikiatri nanti.
Adik-beradik aku, orang pertama yang approach aku lepas tahu aku ada depression. Aku cerita semuanya tapi bila malam, aku mula ada doubt… betul ke keputusan aku bercerita pada family aku? (overthinking). Mak aku suruh aku berhenti kerja dan kerja je kat rumah. Tinggal dengan dia, jaga dia. Kawan-kawan aku? Ada yang masih tak faham apa itu depression tapi biarlah dia. Aku malas nak terang. Orang tak kena, tak rasa apa aku rasa senanglah bercakap. Aku masih takut nak bercerita tapi pesan mak aku, kalau ada orang nak tolong… jangan tolak dia sebaliknya bersyukur ada orang nak bantu aku.
Dan bila aku ada penyakit ni, aku baru sedar… keluarga aku sayang aku. Teruk mana pun aku, mereka sentiasa ada untuk aku. Alhamdulillah. Aku masih lagi dalam ‘perlawanan’ menentang diri aku sendiri. Doakan aku boleh menang dalam perlawanan ni. Buat orang ramai yang masih cakap depression ni ubatnya dekatkan diri pada Tuhan, baca al-Quran tolonglah faham… kami tak pernah sisihkan Tuhan, kami baca al-Quran tapi mungkin belum masanya kami sembuh. Bantulah kami, jangan sisihkan kami. Jangan hukum kami. Jangan ‘tolak’ kami. Dengarlah cerita kami. Jangan buang kami.
Dan nama aku Jihan, masih lagi berusaha menentang sisi murung aku.
– Jihan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit