Be Yourself

Assalamualaikum pembaca semua. Salam perkenalan. Nama aku cik Bee. Sudah semestinya bukan nama sebenar. Tahun ni genap berusia suku abad. Ini kisah aku.

Aku dilahirkan dalam keadaan yang sihat, cukup sifat dan waras. Alhamdulillah. Walaupun begitu, aku mempunyai keistimewaan tersendiri. Allah kurniakan aku tanda lahir aka birthmark yang besar berwarna hitam di pipi yang hampir menutup separuh muka aku.

Waktu kecil aku sering diejek kawan-kawan aku. Waktu darjah 1 tiada seorang pun yang nak kawan dengan aku. Aku dipulaukan. Budak-budak takut nak kawan dengan aku. Takut berjangkit. Mereka kata aku raksasa. Boleh bayangkan macam mana perasan aku masa tu. Sedih. Pedih.

Balik rumah aku nangis-nangis. Tak nak ke sekolah. Tapi ayah aku pujuk aku. Dia kata kat aku, takpe kalau orang tak nak kawan pun, belajar je pandai2 nanti adalah yang nak kawan. Tak payah hirau orang lain. Mula dari situ, aku cabar diri aku belajar betul-betul, sampai aku jadi pelajar terbaik. Alhamdulillah.

Untuk pengetahuan pembaca, aku ada dua orang kakak. Kakaks aku putih dan cantik-cantik belaka. Aku yang tak berapa nak putih ni selalulah dibanding-bandingkan dengan diaorang. Orang kata kakaks aku lahir bulan terang, aku lahir bulan gelap. Orang selalu kata aku ni anak angkat. Sebabnya muka aku je lain dari yang lain. Sungguh aku nangis sorang-sorang dalam bilik masa tu.

Sebabkan pipi aku yang hitam ni, macam-macam laa orang bagi petua. Antaranya kasi kerengga gigit dekat pipi yang hitam tu. Aku pun gigih ikut, tetapi tetap tiada perubahan. Kalau yang bagi petua aku okey lagi. Tapi ada manusia yang mulut puaka, depan-depan aku dia cakap sayanglaa muka kalau tak berubat, nanti takda orang laki nak. Tak cantik. Allah. Pedih hati ini. Ada seorang budak ni dia gelakkan aku sebab muka aku hitam sebelah, berdekah-dekah dia ketawa. Padahal mak budak tu ada kat sebelah, dia tak tegur pun anaknya. Ada yang kata muka aku terbakar atau kena air panas atau cacat. Banyak lagi kisah yang terjadi, sampai aku tak nak keluar rumah. Aku tak nak berjumpa dengan orang. Aku malu dengan diri sendiri. Tapi cukup itu je yang aku kongsikan sebab bila ingat balik semua tu hati ini sakit. Sakit yang teramat sakit.

Semakin aku dewasa, sampai satu tahap aku fikir apa matlamat hidup aku. Kenapa aku nak kesahkan cakap orang. Diaorang ada mulut diaorang boleh cakap apa yang diaorang nak cakap. Itu hak diorang. Janji aku tak kacau diaorang. Dan, alhamdulillah aku dah imun dengan kata-kata pedih pasal birthmark aku. Kalau dulu bila orang tanya kenapa muka, itu soalan yang sensitif bagi aku. Tapi kini tidak lagi, aku dengan bangganya cakap ini birthmark. Memang dari kecil dah ada.

Banyak hikmahnya dengan birthmark ni. Satu, Allah ajar aku untuk bersyukur. Terima segala kelebihan dan kekurangan diri. Sungguh banyak lagi nikmat Allah kurniakan. Kenapa perlu bersedih dengan hal yang remeh. Pandang kehadapan. Belajar untuk sayang diri sendiri. Dua, sabar. Walaupun orang kata-kata macam2, sabarlah. Tak apa, yakin Allah akan tolong. Kuatkan hati. Tak rugi mana pun kalau kita bersabar. Pasti ada ganjarannya. Tiga, Allah jaga aku. Allah pelihara aku dari siulan lelaki liar. Aku rasa kalau aku tak ada birthmark ni memang aku couple sana-sini. Tak tahu la jadi apa. Nauzubillahminzalik.

Akhirulkalam, nasihat kepada semua pembaca supaya sayangi diri anda. Terimalah diri seadanya kerana boleh jadi ada orang yang tidak punya apa-apa. Kekurangan seseorang itu merupakan kelebihan orang itu. Jadilah diri sendiri. Yakinlah dengan diri sendiri. Persetankan orang nak kata apa. Bak lagu kun anta yang aku translate dalam bi ‘BE YOURSELF, AND YOU’LL INCREASE IN BEAUTY’. (baru lepas layan kun anta beserta terjemahnya). Sekian. May Allah bless:))

Cik bee, sipipi hitam.

– Cik bee

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit