Bebanan Tugasan

Aku bekerja di sektor kerajaan. Jawatanku biasa-biasa sahaja. Istilahnya pelaksana. Jadi sepatutnya tugasanku hanyalah melaksanakan tugasan yang diarahkan. Tapi percaya atau tidak, bidang tugasanku bukan setakat itu. Hanya kerana aku orang lama, jadi aku juga selalu diarahkan untuk membuat keputusan yang besar dan tugasan itu sepatutnya tugasan pegawai.

Sejak bertukarnya pegawai dan rakan seunit, aku menjadi bahan rujukan. Tapi bukan setakat tu, aku juga menjadi orang yang paling dibebani tugasan. Mana nak laksanakan tugasan sendiri, mana nak laksanakan tugasan yang sepatutnya rakan seunit laksanakan, mana nak laksanakan tugasan pegawai. Pegawai cuma tahu angguk sahaja. Aku cuba meminta pembahagian tugasan. Tapi pegawai cuma pandai berjanji. Hingga masuk tahun seterusnya, masih juga tiada pembahagian tugas.

Aku penat mental dan fizikal, sampai tahap aku tak boleh nak uruskan rumahtangga dan anak-anak dengan baik. Sampai tahap aku tak boleh nak luangkan masa dengan anak-anak. Sampai tahap aku selalu lambat datang kerja, selalu mc. Nak bangun bersiap pergi kerja pun tahap heret kaki. Tapi itulah, aku tetap juga perlu selesaikan tugasan sampai selesai. Tak kira tugasan sendiri atau tugasan orang lain.

Bukan aku tak pernah menolak tugasan yang bukan tugasan aku. Tapi bila arahan dah ada, aku tetap juga perlu buat. Lagipun, aku tak mahu kerana kelewatan unit kami, unit atau bahagian lain pun terpaksa lewat melaksanakan tugas. Niat aku cuma nak memudahkan urusan orang lain.

Aku juga pernah meminta pertukaran. Tapi macam biasa, hanya janji yang aku dapat. Apa yang mengecewakan, pegawai dan rakan seunit bukannya nak belajar tugasan masing-masing. Sebaliknya yang pegawai akan arahkan aku untuk selesaikan dan rakan seunit asyik cakap tak tahu macam mana nak buat ataupun buat kerja seperti melepaskan batuk di tangga, buat kerja lambat dan silap sana sini.

Tapi akhirnya kesabaran aku dah sampai hadnya. Aku dah penat menghadap semua benda. Aku dah kecewa dek kerana bebanan tugas, rumahtangga aku banyak terabai. Aku dah sedih sebab aku mengabaikan keperluan anak-anak kerana aku sentiasa penat mental dan fizikal. Aku sentiasa stress sampai tahap aku bercakap sendirian sebab kononnya nak meluahkan apa yang aku rasakan kepada pegawai. Sampai tahap aku menangis sebab tak tahu nak selesaikan macam mana.

Aku akhirnya buat keputusan untuk abaikan kerja yang bukan tugasan aku. Aku terangkan kepada pegawai apa proses kerja sesuatu tugasan. Aku terangkan kepada pegawai apa yang pegawai dan rakan seunit perlu buat. Adakalanya aku rasa macam aku mengarahkan mereka. Tapi aku dah tak tahu nak buat macam mana lagi untuk aku jelaskan bahawa aku dah tak nak buat benda yang bukan tugasan aku. Aku juga dah tak selindungkan apa yang aku rasa. Aku merungut dan marah-marah di depan pegawai. Sebab aku dah tak tahan lagi. Aku tak mahu pendam stress yang akhirnya akan makan diri aku sendiri.

Dan syukur, aku akhirnya ditukarkan. Walaupun aku tahu, ada pihak yang tak puas hati dengan aku, tapi aku abaikan. Aku tahu segala kebaikan yang aku pernah buat dulu tak akan dipandang lagi oleh pegawai. Sebab pegawai membuat pertukaranku kerana aku dah mula ingkar arahan untuk buat kerja yang bukan tugasan aku. Bak kata orang, buat beribu kebaikan pun, sekali buat silap, memang kebaikan tak akan dipandang.

Aku juga tahu ada rakan-rakan sekerja lain yang pandang serong. Bagi mereka, aku terlalu merungut. Tapi mereka tak berada dalam situasi aku. Lagipun mereka adalah kawan baik rakan seunit. Dah tentulah mereka rasa aku yang salah.

Bayangkan kalau aku tak berkeras dan pendam stress sendiri. Setahun aku pendam perasaan. Macam-macam boleh jadi. Aku tersenyum dan cuba laksanakan tugasan secepat mungkin. Tapi bila sampai di rumah, aku hilang semangat, kadang menyendiri di dalam bilik. Mujurlah suami boleh uruskan anak-anak.

Sekarang ni, aku cuma perlu pandang ke depan. Aku perlu tumpukan perhatian pada tugasan baru. Aku tahu, di mana pun aku berada, aku tetap juga akan dibebani tugasan. Setiap orang pun begitu. Tapi janganlah sampai tahap tugasan orang lain pun kita kena laksanakan. Itulah yang menjadi punca stress.

Terima kasih kepada mantan pegawai sebab dah lupakan semua kebaikan yang pernah aku buat. Dah tak nak mesra dengan aku sejak aku bertukar tapi masih nak aku membantu kan?Maaf, aku rasa dah cukup aku membantu. Setahun lebih kononnya aku adalah bahan rujukan tapi kebanyakan tugasan tetap juga aku laksanakan. Jadi sekarang sudah tiba masanya team mereka berdikari 100%. Aku sudah ada tanggungjawab baru dan aku juga perlu belajar banyak benda yang baru. Jadi dah tak ada masa untuk aku membantu.

Rakan seunit pun nampaknya dah ada perubahan. Dah mula melaksanakan tugasan dan cuba ambil tahu. Tapi maaf, aku dah tak boleh nak membantu dan berikan ilmu lagi. Aku dah tawar hati nak membantu. Lagipun aku dah tak ada masa nak pandang ke belakang memandangkan di depanku sekarang dah ada benda baru yang perlu aku selesaikan.

Semoga pertukaranku ini boleh memberi semangat baru untuk aku dan memberi ruang kepada pegawai dan rakan seunit lama untuk belajar tugasan sendiri.

– Diana

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *