Bekas

Assalamualaikum. Dan selamat siang buat semua pembaca. Aku terdetik nak berkongsi cerita tentang bekas.

Bekas, boleh jadi tempat untuk meletakkan barang. Atau sesuatu perkara yang bukan lagi jadi milik kita.

Aku nak berkongsi cerita,perihal diriku yang pernah bertunang. Waktu itu, kami berkenalan saat sama – sama menghadiri temuduga AirAsia dia Klia. Saat akhir sesi, kami bertukar no telefon.

Dari perkenalan itu, kami semakin rapat sebelum mengikat tali pertunangan.

Dia baik. Dan keluarganya juga baik. Hubungan aku akrab dengan ibu bapa,adik beradik, hingga ke anak – anak saudaranya. Mereka menggelarku Mak De, sesuai gelaran dia, Uda.

Namun, menjelang 2 bulan sebelum bernikah, dia berubah. Sepi. Sentiasa sibuk.

Tidak mengangkat panggilan. Tidak membalas SMS (zaman itu belum ada Teknologi WhatsApp). Hingga dia memaksa aku balik ke kampungnya, mencari dia kalau – kalau dia ada. Aku rindu, tapi dia membisu.

Hingga tiba – tiba waktu aku singgah di rumah abang sulungnya, tiba – tiba dia datang dan menyapaku, sebelum dia berkata,

“Awak terlalu baik untuk saya”.

Punah awan. Hilang segala bulan dan Bintang.

Aku dapat tahu dari abangnya, dan dari anak saudaranya, dia kembali kepada bekas kekasihnya, lalu terlanjur.

Dia bernikah pada tarikh yang kami sepatutnya bersanding. Dan aku Masih ingat waktu itu kakak sulungnya menelefon aku,

“Sepatutnya waktu ni awak bersanding dengan Uda, tapi tak ada jodoh. Akak doakan awak kuat dan bahagia. Kami semua sayang awak”.

Waktu berlalu. Aku tidak membuka hati kepada sesiapa. Aku masih membujang, saat dia sudah punya 2 cahayamata.

Dan aku masih pulang lagi ke rumah ibu ayahnya, kerana keakraban kami (mereka biasanya akan menelefon aku dan beritahu, awak baliklah sini, minggu ni Uda tak balik).

Mereka masih memanggil aku Mak De. Dan aku difahamkan isteri beliau dipanggil auntie Wawa (kerana katanya dah terlanjur panggilan itu buatku maka tak mudah dibiasakan pada orang lain).

Waktu itu aku tak ada rasa apa – apa.

Dan alhamdulillah, kemudiannya aku bertemu jodoh. Jodoh yang baik.

Hingga baru – baru ini aku menghadiri majlis perkahwinan salah seorang anak saudaranya.

Waktu bersalaman dengan tetamu, aku terdengar anak saudaranya berbisik dengan tetamu lain.

“Itulah Mak De, bekas tunang Uda dulu”.

Allah. Bukankah perkara itu sudah 19 tahun berlalu, mengapakah masih disebut orang?

Jika dulu, Aku tak kisah kalau terdengar begitu. Bagiku, baguslah ada orang back up. Sebab bukan aku yang salah. Bukan aku yang putuskan pertunangan.

Tapi sekarang tidak. Aku rasa kurang enak.

Sudahlah isteri bekas tunangku itu tidak mendapat gelaran Mak De sampai bila – bila, apa pula perasaan dia jika dia terdengar? Perasaan anak – anak dia jika terdengar?

Kasihan, kan?

Entah kenapa aku jadi simpati.

Memang bukan aku yang salah pada awalnya.

Tapi, kesan perbuatan itu, mereka tanggung seumur hidup.

Mereka bersalah, benar. Dan aku dah maafkan. Dan aku doakan dia bahagia.

Jadilah kita manusia yang bertanggungjawab pada janji, agar tiada manusia akan menjadi bekas kita. Kerana kesannya mungkin bukan hari ini, tapi esok lusa.

– Aina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *