Bekas Kekasihku Rupanya Su4mi Orang

Salam buat semua pembaca. Seperti mana tajuk tersebut, aku hampir menjadi mangsa dan mungkin juga menjadi penyondol.

Aku berumur 35 tahun. Beberapa tahun yang lepas aku tergerak hati untuk menyertai beberapa portal pencarian jodoh Islamik. Aku memulakan perjalananku mencari jodoh di beberapa website terkenal.

Tahun demi tahun, berbagai jenis manusia yang aku temui. Ada yang hanya memandang rupa dan ada pula yang memandang kerjaya.

Aku bekerja sendiri iaitu berniaga dan tidak mempunyai sebarang gaji yang tetap. Ini menjadikan aku bukan pilihan mereka. Ada yang memulakan hubungan dengan alasan hanya sekadar berkawan.

Katanya berkawan ramai dan yang menjadi pilihan mereka mungkin aku, mungkin juga bukan aku. Sedangkan aku memilih untuk fokus pada seorang sahaja.

Tahun demi tahun berganti, tiada seorang pun yang mempunyai matlamat yang sama seperti aku. Semua mahu berkawan ramai-ramai dan memilih yang mereka berkenan sahaja.

Perkenalan di portal T merupakan azam baru aku setelah bertemu dengan suami orang di portal B.

Aku cukup berhati-hati dalam mengenali seseorang dan aku akan cuba siasat sehabis yang boleh sebelum terbuka untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki.

Titik permulaan detik pertemuan aku dan si dia di portal T yang aku gelarkan Z bermula pada tahun lepas. Keserasian kami menyebabkan aku memilih untuk mengenalinya secara lebih lagi.

Kami mencapai kata persetujuan apabila tujuan kami ke arah sebuah perkahwinan. Aku menjadi gembira kerana memikirkan yang aku telah bertemu dengan lelaki yang aku mahukan.

Perkenalan dengan ibunya yang seawal seminggu aku mengenalinya serta panggilan video darinya membuatkan aku yakin, mungkin inilah jodoh yang aku cari.

Selepas sebulan berkenalan kami berjumpa secara bersemuka bertemankan kawan-kawan ku.

Walaupun yakin tapi aku masih mencari semua maklumat tentang dirinya.

Dia yang juga bekerja sendiri membuatkan aku sukar mendapatkan maklumat tentang dirinya. Sudah aku meminta akaun sosial medianya namun dia memberikan alasan tidak aktif di media sosial.

Aku sentiasa meragui dan masih terus mencari tapi semuanya menemui jalan buntu. Aku makin merasa ada yang tak kena.

Akhirnya, aku hanya mampu melakukan solat hajat yang berterusan sepanjang aku mengenali dirinya dengan harapan moga Allah menunjukkan aku jalan yang benar.

Masa, dia sering menyatakan dia sibuk dan tiada masa untuk whatsapp atau call. Katanya, kalau dia perlukan aku, dia yang akan mencari aku.

Hari demi hari berganti bulan, aku bertanyakan arah pernikahan yang dijanjikan namun dia berkata dia sedang sibuk dan tiada tarikh yang tetap bila hendak bertemu dengan keluarga aku.

Aku makin merasakan tidak sedap hati. Lama kelamaan hubungan kami mula berantakan. Dia mengatakan aku terlampau meragui dirinya kerana aku banyak berprasangka tentangnya.

Betapa hancurnya hati bila dia mendiamkan diri selama sebulan lebih dan memberitahu aku supaya aku mencari orang lain. Aku akur kerana aku terlalu penat dalam hubungan ini. Aku memilih untuk mengalah.

Walaupun sudah tidak berhubung dengan dirinya, tapi naluri aku masih tertanya-tanya tentang dirinya.

Aku teringat dan mula mencari melalui aplikasi google tentang dirinya. Sehinggalah aku bertemu maklumat baru tentang dirinya.

Aku rasa tertipu kerana dia sebenarnya bekerja di sebuah syarikat sewaktu aku baru mengenalinya.

Katanya dia bekerja sendiri dan tiada apa-apa maklumat tentang syarikatnya. Dalam erti kata lain, dia menipu mengenai pekerjaannya.

Beberapa minggu kemudian, sewaktu aku sedang melihat gambar-gambar di sosial media, aku terkejut melihat satu gambar yang aku kenali iaitu dirinya. Dan gambar tersebut menuju ke sosial medianya.

Membuka sosial medianya menyebabkan aku terkejut melihat dia sebenarnya SUAMI seseorang dan juga AYAH kepada dua orang anak.

Melihat anaknya yang masih kecil menyebabkan aku sedih dan teringat kisah keluargaku.

Teringat tentang ayahku yang juga mengenali wanita lain sewaktu aku masih kecil lagi. Aku terdiam dan rasa bersalah yang amat pada isteri dan anaknya.

Walaupun aku ditipu tetapi aku masih merasakan aku yang bersalah.

Namun, aku hanya mampu bersyukur kepada ALLAH, kerana telah menjawab semua yang aku inginkan. Semua kebenaran yang aku mahukan semuanya hadir kerana Allah.

Alhamdulillah, Allah sayangkan aku dan menyelamatkan hidup aku. Dan semua kebenaran ini hadir pada waktu aku telah melepaskan dia sepenuhnya dari hidup aku.

Aku yakin Allah tidak pernah menolak apa yang didoakan hambaNya, hanya berlaku penundaaan dan ditunjukkan kebenaran pada masa yang sesuai.

Semua yang mengetahui berita ini terutamanya kawan-kawan yang menemani aku pada waktu itu menyatakan aku beruntung dan Allah menjaga diri aku dari digelar sebagai penyondol.

Aku pun tidak tahu apa yang akan aku lakukan andai aku mengetahui status sebenarnya pada waktu perasaan aku masih berharap padanya.

Alhamdulillah, buat masa sekarang akhirnya aku bertemu dengan seseorang yang aku perlukan.

Si dia Q yang sudi berjumpa dengan keluarga aku dan insyaALLAH aku akan tamatkan zaman bujangku dalam masa terdekat ini. Mohon doakan aku ye semua pembaca.

Pertemuan aku dengan si dia Q yang sekarang ini bukanlah melalui portal pencarian jodoh Islamik, tetapi portal yang dilabel tidak islamik.

Walaupun si Q bukanlah beragama penuh di dada, tapi hari makin hari aku nampak usahanya dan minatnya untuk mendalami agama.

Kami bermula sebagai seorang kawan yang akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan ke fasa seterusnya.

Sehingga kini aku masih meneruskan solat taubat, solat istikarah dan solat hajat kerana aku masih seorang wanita yang lemah. Jodoh itu sentiasa bergerak mengikut persekitaran hidup kita.

Pasangan hidup manakah yang kita perlukan dan inginkan, usahakan, hargai sepenuhnya dan jangan khianati. Menyesal kemudian hari.

Sesungguhnya perjalanan aku mencari jodoh ini bukanlah sesuatu yang mudah. Berbagai liku-liku yang aku hadapi.

Ada yang ibunya tidak berkenan, ada yang menolak setelah mengetahui pekerjaan, ada yang alasan jauh, ada yang menolak akibat saiz badan dan ada juga yang berdasarkan nafsu semata-mata.

Pada yang sedang berusaha mencari jodoh, jangan pernah lupa pada solat hajat sekurang-kurangnya sebelum tidur andai tidak mampu berjaga malam. Jangan lupa doa seorang ibu juga penting.

InsyaALLAH, setiap apa yang kita inginkan bukan tidak akan dimakbulkan tetapi cuma ditangguh.

Sekian..

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *