Kejadian yang bakal aku ceritakan ini berlaku semasa aku masih lagi bertugas di hospital lama Alor Setar atau yang sering dikenali sebagai ACC pada tahun 2014.
Kejadian ini ibarat siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi, tersemat rapi di dalam mindaku terutama sekali setiap perincian dan peristiwa yang berlaku.
Hospital lama tersebut masih lagi menempatkan pesakit-pesakit perubatan yang stabil, pesakit paru-paru, dan juga mereka yang bakal menjalani pembedahan kecil.
Walaupun kebanyakan wad seperti wad bersalin, wad kanak-kanak sudah ditutup dan tidak lagi mengambil pesakit memandangkan hospital baru sudah pun dibina, namun, semasa berkhidmat di jabatan perubatan, seorang house officer perlu bekerja di wad-wad di hospital lama.
Hari itu aku berseorangan di ward I dan ward H, bertugas syif PM. Syif PM itu secara tidak rasmi bermaksud aku harus masuk kerja jam pada jam 6 pagi (8 pagi mengikut jadual) dan balik pada jam 11 malam dan ke atas.
Syif itu kemudiannya digantikan dengan rakan aku pula yang perlu bekerja dari 11 malam sehingga 12 tengah hari esok setelah pulang pada jam 6 petang hari yang sama.
Itu merupakan hari terakhir aku di hospital lama. Keesokannya, aku harus ke wad jantung pula yang terletak di hospital baru. Beginilah kehidupan seseorang bergelar house officer. Seminggu sekali bertukar wad, atau paling lama pun, 2 minggu.
Kerja di wad perubatan tidaklah terlalu banyak untuk hospital lama. Pesakit yang stabil sahaja akan dihantar ke sini. Pesakit yang tidak stabil pula ditempatkan di hospital besar di Jalan Langgar, di mana wad di situ lebih baru, staf lebih ramai dan kelengkapan lebih moden.
Apabila pesakit pun stabil, maka kerja pun tidaklah banyak. Tiada banyak isu. Menyambung antibiotik, menjaga pesakit angin ahmar, itu sahaja dan jururawat di sana semuanya pakar-pakar belaka bab-bab penjagaan pesakit.
Sekiranya ada isu sekalipun, pesakit perlu distabilkan dan dihantar ke hospital baru yang mempunyai kelengkapan yang lebih baik.
Hal ini terpaksa dilakukan kerana hospital baru seringkali dipenuhi dengan pesakit, dan langkah sebegini dilaksanakan bagi memberikan kemudahan yang penting kepada pesakit yang lebih memerlukan.
Memang ada orang yang selalu salah faham mengapa pesakit dihantar ke sebuah tempat yang kemudahannya tidak cukup. The thing is, sekiranya anda bekerja di hospital, anda akan mendapati peralatan kemudahan sentiasa tidak cukup.
Syif aku hari itu cukup santai. Tiada perkara-perkara yang tidak diduga berlaku. Dari jam 6 petang sehinggalah jam 11.00 malam, tiada apa-apa yang signifikan. Maksudnya, semuanya seperti yang dirancangkan oleh medical officer perubatan aku.
Namun aku agak letih juga hari itu, kerana pada hari semalamnya, aku berkunjung ke gimnasium yang terletak di Jitra, memandangkan ukur lilit perut aku yang mula bertambah-tambah saat aku mula bekerja. Yalah, Kedah ni kan syurga makanana. Sudah lah sedap, murah pula tu.
Rakan aku, Dr Wafaa tiba. Dia on-call malam itu, dan jam 11.15 malam setelah aku passover kepadanya, aku berangkat pulang.
Aku memandu kereta perlahan sahaja malam itu. Tidak melebihi 90 kilometer sejam. Maklumlah, di lebuhraya Darul Aman ini banyak perangkap had laju. Terutama di salah satu flyover.
Aku dah terkena hampir 4 kali saman laju. Yalah, kelajuan dibenarkan cuma 90 kilometer sejam sahaja dan aku memandu macam pelesit, 183 kilometer sejam tertera di salah satu surat saman.
Tak tahu aku nak bangga atau nak menangis. Pokoknya, aku tak mahu pisang berbuah dua kali atau dalam konteks ini, 5 kali pada malam itu.
Sewaktu aku menghampiri persimpangan jalan Hutan Kampung, aku mula memperlahankan kenderaan. Macam hari-hari sebelum ini, aku tak mahu bahagian bawah kereta aku tergesel di jalan raya yang sedikit beralun di situ dan kereta aku pula terlalu ‘lowered’. Namun, hari itu sedikit berbeza.
Aku lihat ramai sungguh orang berkumpul di tepi jalan. 2 buah motosikal remuk di tepi jalan. Terdapat sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan, dan belakangnya remuk. Butnya terbuka menampakkan isi dalam kereta.
Saat itu, terdengar bunyi pecahan-pecahan kaca dan plastik dilenyek tayar kereta aku. Serpihan-serpihan lampu dan mungkin plastik daripada motosikal yang pecah bertaburan. Aku memandang keluar melalui cermin sisi pemandu. Ini sudah pasti kemalangan jalan raya.
Aku juga dapat melihat terdapat 3 orang pemuda terduduk di tepi jalan sambil dikerumuni ramai orang ramai. Mungkin itu mangsa kemalangan aku terfikir.
Tak fikir panjang, aku buka lampu ‘hazard’ aku dan meletakkan kereta di sisi jalan raya. Orang ramai memandang aku saat aku keluar daripada kereta.
Melihatkan stetoskop di leher dan tag nama aku yang tergantung di leher, aku pasti mereka tahu aku seorang perawat, dan tahu niat aku untuk menolong.
Tuan kereta Proton Waja itu, seorang lelaki berumur lewat 50-an dan memakai kopiah, berjambang putih dan memakai baju pagoda dan kain pelikat menghampiri diri aku dan memberikan penjelasan tanpa aku perlu bertanya.
“Doktot (doktor) kan? Ni ha depa bawak motor laju sangat, lepas tu berlanggar belakang kereta pakcik”
Aku mengangguk sahaja, dalam hatiku, hal tersebut nanti kita bincang kemudian apabila bertemu dengan polis trafik, namun, apa yang penting adalah nyawa dan keadaan mangsa-mangsa kemalangan tersebut.
“Tak mengapa, pakcik tolong telefon 999, minta sambung ke Hospital Sultanah Bahiyah sebab itulah hospital yang paling dekat. Lagipun tu hospital baru, kelengkapannya insya Allah lengkap”, aku mengarahkannya menelefon.
Tanpa banyak soal, terus dia mendail dan menelefon talian kecemasan. Aku lihat makin ramai orang memberhentikan kenderaan di sisi jalan. Orang yang baru sampai ada yang ingat motor tersebut berlanggar dengan kereta aku. Mereka pelik mengapa kereta aku sedikit pun tidak remuk.
Aku pun malas nak terangkan kepada mereka ni, kecuali kalau mereka nak menolong, itu tidak mengapa. Tetapi kalau berhenti sekadar nak tahu, dan kemudiannya merekod video menggunakan telefon bimbit, tak perlu tahu pun tak mengapa.
Aku segera membuka pintu sisi penumpang kereta ku. Di dalamnya terdapat “beg medic”. Aku panggilnya “beg medic”, kerana di dalamnya terdapat pelbagai peralatan dan instrumen perubatan.
Ada gauze, kapas, benang jahitan, forceps, arterial clamp, gunting, plaster, jarum serta cecair normal saline yang dalam botol kecil tu.
Aku meraba-raba juga mencari satu alatan kecil yang dipanggil “portable pulse oximetry”. Dah 2-3 minit aku cari, baru aku sedar alatan tersebut tergantung di leher aku.
“Portable pulse oximetry” adalah satu gajet kecil yang boleh menunjukkan jumlah oksigen di dalam darah serta kadar denyutan nadi. Aku tiada alat untuk mengukur tekanan darah,
tetapi itu tidak menjadi masalah kerana tekanan darah adalah bacaan ‘vital’ yang terakhir akan terkesan apabila seseorang itu kehilangan darah. Parameter yang pertama yang akan berubah adalah nadi pesakit, yang akan meningkat sekiranya pendarahan berlaku.
Aku terus turun dan menghampiri pesakit pertama. Dia memberitahu aku namanya adalah Rahman. Rahman terduduk dan bila aku suruh baring dia tak mahu, mungkin kerana tidak selesa akibat kesakitan.
ABC, itulah yang perlu aku pantau dan lihat. Airway, breathing dan circulation, serta melihat ada tak gejala-gejala 5H dan 5T beberapa penyebab utama yang menyebabkan denyutan jantung terhenti dan boleh diubati.
(Korang jangan keliru tau, yang CAB tu adalah akronim untuk pesakit yang tidak sedar, bukan dalam keadaan ini).
Memang semasa bergelar pelajar perubatan, kami dah terlatih dengan menguruskan kes-kes kemalangan ini. ATLS namanya.
Rahman nampak okay. Kandungan oksigen dalam darahnya, atau sPO2 adalah 98% dan nadinya normal. Aku lihat terdapat luka akibat tergesel di jalan di pipi kirinya dan tetapi tiada tanda-tanda kepatahan pada tangan dan kakinya.
Pernafasannya normal, matanya reaktif kedua-dua belah dan tanda-tanda yang lain semuanya normal. Aku suruh dia berehat dahulu sementara menunggu ambulans tiba.
Pesakit kedua, Said, putus hujung jari telunjuk tangan kanannya (bahagian distal interphalageal joint – hujung jari). Segera aku letak gauze untuk menghentikan pendarahan yang tidak begitu laju. Orang ramai menjumpai jarinya yang putus itu dan meletakkan di dalam beg berisi ais.
Aku fikir, mungkin mereka dapat ais daripada gerai makanan di sisi jalan itu, sangat berdekatan dengan tempat kemalangan. Namun aku tak rasa jarinya yang putus tu boleh disambung semula sebenarnya kerana cebisan kecil sebegitu kerana risikonya tidak berbaloi untuk pesakit.
Tapi aku letakkan beg plastik di sebelahnya, dan menyerahkan keputusan tersebut kepada doktor di bahagian kecemasan yang bertugas apabila mereka tiba di hospital kelak.
Lengan kirinya patah (close fracture) kerana aku boleh lihat dengan jelas kedudukan tangannya yang agak abnormal dan tiada tulang yang tersembul keluar atau luka pada kulitnya.
Aku tak boleh cuba buat apa-apa untuk kepatahan tersebut. Segala pembetulan tulang tanpa ubat bius on-site adalah menyeksa pesakit.
Aku kira, nanti sampai hospital mungkin doktor sana boleh buat, kerana tidaklah ‘urgent’ dan proses reduction ini (External reduction) memerlukan mesin X-ray dan ubat bius.
Pesakit ketiga yang bernama Musa pula kelihatan yang paling okay antara ketiga-tiga mangsa. Dia sedang berdiri semasa aku menghampirinya. Berjalan sana dan sini. Aku suruh dia duduk sementara aku membuat pemeriksaan. GCS okay dan well-oriented.
Semuanya normal kecuali luka di tangan dan kaki kanannya, mungkin terjatuh dan terseret di belah kanan badannya. Aku sebenarnya malas mahu memeriksanya dengan teliti memandangkan dia tak duduk diam.
Hari dah semakin lewat dan aku lihat dia nampak tidak apa-apa yang signifikan. Namun aku teruskan sahajalah membuat pemeriksaan terutama sekali vital signs (kecuali tekanan darah), Tiada apa-apa yang ganjil atau abnormal bagi aku.
Semasa aku sedang membuat pemeriksaan terhadap Musa, Pakcik tuan kereta proton Waja cuba memberi air kepada Said, namun aku terpaksa menghalangnya.
Aku buat demikian kerana memang seharusnya tidak boleh memberi pesakit apa-apa makanan atau minuman selagi dia betul-betul belum dipastikan tidak mengalami apa-apa kecederaan di otak atau badannya. Macam-macam risiko ada termasuklah aspiration.
Walaupun aku masih boleh berfikir dengan elok, fizikal dan mental sebenarnya kepenatan dan jam menunjukkan pukul 12.45 malam. Esok aku perlu masuk kerja jam 6 pagi. Ambulans pun aku kira sudah pun dalam perjalanan.
Aku memberitahu pakcik tu, mereka nampak okay, dan tunggu ambulans datang untuk memberi rawatan seterusnya. Aku masuk semula ke dalam kereta. Terdengar juga orang bertanya,
“Eh, dah langgar orang boleh blah macam tu je?”
Malas aku nak mempedulikan nak menjawab soalan sebegitu rupa. Aku kemudiannya terus memandu pulang. Aku dah terlalu rindu tilam empuk di rumahku.
Setibanya di rumah, aku terbongkang tidur kerana kepenatan. Badan pun sakit-sakit juga. Gim punya pasal. Lena sungguh aku tidur pada malam itu. Keesokannya aku bekerja di wad jantung, wad kegemaran ku.
Kerja tidak banyak juga hari itu. Kebanyakan pesakit yang aku jaga hanya menunggu temu janji mereka di Institut Jantung Negara (IJN) sahaja dan ada yang sudah pun stabil dan menunggu masa untuk pulang.
Aku turun ke kafe jam 12 tengahari. Selesai makan sekeping roti, aku baru sahaja nak balik ke wad aku. Tiba-tiba aku terserempak dengan kawan aku di kafeteria. Dr Hanani namanya.
Aku lihat dia sedang beratur untuk membayar beberapa keping kuih-muih dan roti di kaunter. Aku tahu dia salah seorang house officer yang kini bertugas di jabatan kecemasan.
“Weh Nani, malam tadi hang kerja red zone kan?”, aku memulakan bicara, mencuba sedaya upaya bercakap dengan dialek utara walaupun kedengaran macam orang Siam try hard nak cakap Melayu memandangkan Dr Hanani juga orang utara.
“A’ah, busy gila wei, ni baru okay sikit”, katanya. Matanya yang ibarat panda itu menceritakan kepadaku bahawa sememangnya dia sibuk sehingga tidak cukup tidur.
“Hang ada terima pesakit 3 orang laki tak, muda-muda semua, accident kat lebuhraya Darul Aman”, aku bertanya. Aku ingin tahu juga apa terjadi kepada pesakit itu semua malam tadi.
“Ada, tapi teruk weh. Seorang tu kena masuk ward tulang, patah tangan, jari putus. Seorang lagi subarachnoid bleeding, tolak masuk bilik bedah otak terus, dan seorang lagi DOA (Dead on Arrival – mati ketika dalam perjalanan ke hospital), pendarahan dalaman”, katanya panjang lebar.
“Hah!!! Siapa nama yang DOA tu?”, aku terkejut.
“Musa kalau tak silap aku…” jawab Dr Hanani.
Taktala kedengaran nama Musa sahaja, aku jadi pucat, serta merta aku berlari ke sinki memuntahkan semua isi perut. Jantung aku berdebar-debar. Ya Allah! Ya Allah, apa yang aku dah buat ni?! Ini salah aku ni!.
Muka aku bertukar seolah-olah nampak hantu. Pucat lesi. Dr Hanani datang ke arah aku di sinki kafe. Dia ingin menenangkan aku, tetapi dia sendiri pun tak tahu mengapa aku jadi begitu.
“Awat weh hang? Ok dak ni?”, tanya dia.
Aku mengangguk dan terpaksa menipunya dengan alasan ada kecemasan di wad jantung, Dia kelihatan terpinga-pinga dan reaksi mukanya memang aku tahu yang dia tahu apa yang aku katakan itu hanyalah penipuan semata-mata serta aku menyembunyikan sesuatu daripadanya.
Setibanya di wad, aku masuk ke dalam bilik doktor on-call, dan mengunci pintu dari dalam. Mendengar penjelasan Dr Hanani itu ibarat satu ledakan bom atom dalam diri aku.
Pesakit bernama Musa meninggal dunia kerana pendarahan dalaman (intra abdominal bleeding). Ini semua salah aku. Kalaulah aku menyelak bajunya, mungkin boleh melihat kesan-kesan lebam atau apa-apa tanda, tetapi aku tidak buat pemeriksaan tersebut.
Memang pendarahan dalaman amat berbahaya dan seharusnya sebagai seorang doktor, seseorang itu perlu dan patut mengenalpasti tanda-tanda pendarahan dalaman seseorang pesakit seperti munculnya lebam-lebam di perut seperti yang terkandung dalam ATLS course.
Aku betul-betul terkesan dengan kejadian tersebut. Kerana kejahilan aku dan kemalasan aku, pesakit tersebut mati.
Aku mulai menyalahkan diri aku dan mula lemas dan tenggelam dalam self-guilt. Salah aku dia mati. Salah aku. Namun aku tak boleh bersifat narcissist. Aku hanyalah manusia yang tidak lari dari melakukan kesilapan, walaupun ianya berharga sebuah nyawa.
Ayat “ajal maut sudah ditetapkan, tidak boleh dianjak mahupun diawalkan walau sesaat’ sedikit sebanyak mengurangkan rasa bersalah aku yang memuncak-muncak saat aku semakin kelemasan dalam lautan rasa bersalah ini.
Aku tidaklah dipersalahkan sepenuhnya, tetapi ada sedikit daripada punca kematiannya yang disebabkan oleh aku.
“You may suffer, but you cannot make your patient suffer”, itulah kata-kata seorang pakar bedah sewaktu aku di sekolah perubatan. Aku terlalu fikirkan keletihan dan kepenatan aku. Apalah keletihan dan kepenatan aku itu jika nak dibandingkan dengan harga nyawa seorang insan.
Segala kesilapan yang aku lakukan sebegini, tidak sekali-kali akan ku ulangi. Betapa pentingnya perincian sesuatu perkara walaupun kecil. Aku bertekad, tidak akan ku ulangi kesilapan ini selagi hayat dikandung badan. Aku masih dalam proses untuk belajar. Belajar daripada kesilapan.
P/s – Orang kata, belajar daripada kesilapan diri ini adalah bagus, namun, belajar daripada kesilapan orang lain itu jauh lebih baik.
Harapan aku adalah korang belajar daripada apa yang aku lalui ini dan mengambil iktibar sepenuhnya agar korang tidak akan suffer hari-hari berikutnya dengan kesilapan yang dilakukan macam apa yang aku lakukan.
– ILZANNO SHARKY
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit