Belajar Untuk Kehidupan

Assalamualaikum.
Terima kasih admin, jika menyiarkan penulisan saya ini. Sebagai pengenalan, saya seorang guru. Saya terpanggil untuk berkongsi sedikit ilmu dengan sesiapa yang sudi membaca.

Sebelum ini, saya ada terbaca beberapa pendapat mengenai ketidaksetujuan ibu bapa untuk mempersiap anak-anak dengan dengan kemahiran asas membaca dan mengira sebelum anak-anak melangkah ke Tahun 1.

Pada pendapat saya, mungkin ibu bapa memikirkan rumitnya untuk mempersiap anak-anak dengan kemahiran tersebut. Tambahan lagi, jika semua ibu bapa buat, apa lagi yang tinggal untuk guru buat? Makan gaji buta?

Di sini, saya ingin kongsikan:
1. Apa yang ibu bapa boleh buat.
2. Kenapa perlu buat.
3. Apa yang cikgu akan buat.
Saya akan fokuskan untuk subjek matematik.

Apa yang ibu bapa boleh buat adalah perkenalkan nombor seawal yang boleh. Boleh buat aktiviti membilang dengan anak-anak. Yang paling dekat dengan semua, bilang jari.

Selain itu, boleh membilang objek lain yang ada dalam rumah. Sambil masak, boleh minta anak bilang sudu, straw, kacang buncis contohnya. Sambil mengemas mainan, boleh minta anak kira bilangan mainan yang telah disimpan. Sambil memandu, minta anak bilang berapa kereta warna merah yang dia dah nampak. Sambil makan, berapa banyak potongan lobak yang telah dimakan. Jika masih bayi pun, boleh buat aktiviti goyangkan tangan dan kaki dengan kiraan.

Selain membilang, boleh kenalkan nombor. 1, 2, 3 hingga 10. Paling baik jika dapat kenal hingga 20. Kerana ikut pemerhatian saya, ramai murid yang kurang pendedahan nombor belas di rumah. Nombor boleh diperkenalkan dengan tunjuk nombor guna kad imbas, tulisan ibu bapa di kertas, dan sebagainya.

Selain itu, boleh juga minta anak menulis nombor guna jari di udara. Jika mampu, boleh minta anak menulis guna jari di atas pasir, membuat bentuk nombor menggunakan tanah liat, dan sebagainya. Antara aktiviti tanpa kos, dan digemari anak-anak adalah menggerakkan badan mengikut cara menulis bentuk nombor. Boleh gerakkan kepala, tangan, kaki, pinggang. Ikutlah kreativiti masing-masing.

Mengenai bab pecahan. Sambil memotong kek, boleh beritahu anak, ini potong setengah, separuh, atau suku. Sambil makan piza kegemaran ramai pun, masih boleh dedahkan mengenai pecahan. Sambil tuang air, nyatakan ini separuh gelas.

Dalam soal wang. Ibu bapa boleh perkenalkan wang Malaysia. Apa yang ada pada wang. Warnanya. Nilainya. Libatkan anak dalam aktiviti jual beli yang ringkas. Contohnya, beli roti, minta anak yang hulurkan duit pada jurujual, dan terima baki. Boleh juga ajar adab jual beli. Adab mengucapkan terima kasih. Selain itu, boleh buat simulasi jual beli di rumah, main dengan ibu bapa dan adik beradik. Libatkan duit syiling. Aktiviti lain yang menarik, main jutaria.

Berkaitan dengan masa dan waktu, boleh terapkan dalam perbualan harian. Hari ini hari apa? Hari ini kita nak buat apa? Semalam hari apa? Semalam kita buat apa, kita makan apa? Esok? Lusa? Terapkan sahaja dalam perbualan. Jangan elak guna perkataan ini dengan anak-anak yang masih kecil. Jika rajin lagi, nyanyi nama-nama bulan. Beritahu nama bulan kelahiran ahli keluarga. Sekadar sebut pun dah cukup baik. Oh, sekarang bulan Disember. Bulan 12. Bulan depan, bulan Januari dah masuk tahun baharu 2018.

Jam analog. Boleh belikan jam yang comel pada anak-anak. Elakkan beli jam digital. Bukan tak boleh guna, tapi dengan adanya jam analog, dapat merangsang anak berfikir, sebelum dapat menyatakan waktu. Setelah anak ada jam tangan sendiri, perlahan-lahan, ajar anak menyatakan waktu.

Rasanya dah banyak yang saya kongsi. Jika ada permintaan nanti, saya akan kongsi aktiviti lain pula. (Takut taip panjang-panjang, tapi syok sendiri… Huhu).

Ok, kita pergi ke isi kedua.
Kenapa ibu bapa perlu buat aktiviti ini dengan anak-anak? Adakah untuk dapat keputusan cemerlang? Pada pendapat saya, tidak.

Ibu bapa perlu buat aktiviti ini supaya dapat luangkan masa dan perhatian kepada anak-anak dengan aktiviti berfaedah. Anda sibuk? Sebab itu, kebanyakan aktiviti yang saya cadangkan adalah aktiviti seharian kita. Cuma ditambah dengan soalan-soalan dan menyelitkan konsep matematik dalam kehidupan.

Kesilapan yang kita selalu buat, kita selalu elak guna perkataan yang kita rasa anak tak faham. Contohnya, perkataan setengah, separuh, suku, belas, baki, esok, lusa, jumlah, kanan, kiri, panjang, pendek, tinggi, rendah, besar, kecil, lebih, kurang, dan sebagainya.

Sepatutnya, guna sahaja perkataan tersebut dalam komunikasi harian. Bukankah pada asalnya, anak-anak kita tak faham pun apa itu ibu, ayah, susu dan nasi? Dan sedikit peringatan, jangan bercakap pelat dengan anak. Bertutur dengan jelas. Jika anak pelat, lama-lama dia akan belajar untuk bertutur dengan sebutan yang kita biasa gunakan.

Tambahan lagi, aktiviti ini saya rasakan dapat dilakukan dalam situasi yang menyeronokkan. Sambil belajar, dapat buat aktiviti menyeronokkan. Bahkan dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.

Selain itu, seperti tajuk yang saya pilih, belajar untuk kehidupan. Ilmu yang anak-anak belajar dan kuasai ini boleh digunakan untuk kehidupan mereka. Anak-anak akan lebih berdikari, lebih peka dengan masa, bilangan, nombor, nilai wang dan sebagainya. Ilmu ini juga boleh digunakan di rumah dan di luar rumah.

Pada hari pertama persekolahan nanti, mereka dah kenal nombor van sekolah, dah kenal duit, dan boleh membeli makanan di kantin. Dah boleh tahu waktu bersiap, datang, dan pulang sekolah. Dan banyak perkara yang memudahkan anak-anak untuk menyesuaikan diri di sekolah. Secara tak langsung, semangat dan percaya diri anak-anak juga tinggi.

Isi ketiga. Apa yang akan guru buat di sekolah? Cikgu akan mengajar ikut silibus yang diberikan. Adakah saya akan membiarkan anak-anak yang belum menguasai kemahiran asas, belum mengenal nombor? Jawapannya, tidak.

Saya akan usahakan untuk membimbing murid menguasai kemahiran asas. Bahkan ada murid yang perlu diajar menyebut nama sendiri (dia cuma tahu nama dia boboy, ayahnya bernama papa, dan ibunya bernama mama ).

Secara peribadi, beberapa aktiviti yang telah saya sarankan di atas, telah pun saya lakukan dengan murid saya. Terutamanya pergerakan jari dan badan untuk menulis nombor, membilang dengan jari, dan alat tulis. Menunjukkan wang Malaysia sebenar, menunjukkan jam analog, menunjukkan pecahan dengan memotong kek sebenar, menyanyi nama bulan, bersoal jawab berkaitan semalam, esok, lusa, dan macam-macam lagi.

Tetapi, persoalannya, berkesankah jika saya hanya melakukan setiap aktiviti ini sekali? Seperti mengajar anak makan dengan tertib di meja makan, adakah anak dapat buat dengan betul hanya setelah diberitahu sekali?

Di situlah kekangannya. Seminggu saya hanya ada 3 jam. Bukan dalam sehari, ya. Dalam seminggu, hanya 3 jam untuk mengajar Matematik. Belum ditolak masa pengajaran yang digunakan untuk pelbagai aktiviti lain yang juga menyumbang kepada pembentukan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Tambahan lagi, purata 1 kelas, ada 40 orang murid. Berapakah masa yang saya ada untuk seorang murid?

Dalam masa saya bertungkus lumus mengajar 1-20 kepada murid yang belum menguasai, masa terus berjalan. Murid yang dah menguasai asas, sudah boleh menambah, menolak dengan kaedah bentuk lazim, dah boleh belajar pecahan satu perdua, tiga perempat, belajar tajuk panjang, jisim, isi padu, bentuk 2D, 3D dan sebagainya. Semua yang saya nyatakan ini, ada dalam silibus Tahun 1.

Bukan saya tak tahu, yang tak semua anak mampu kuasai semua ini. Bukan bilangan A yang kita kejar. Bahkan hal tekanan pihak atasan mengenai kadar 100% menguasai LINUS, saya buat tak dengar sahaja.

Tetapi, saya rasakan hak anak-anak untuk belajar apa yang rakan seusia belajar, tanpa tercicir. Dan tanggungjawab saya untuk sampaikan semua yang ada dalam silibus. Lagipun, semua ilmu ini dapat digunakan dalam kehidupan anak-anak.

Bagi yang ingin kritik silibus, saya tidak berada dalam posisi yang mampu ubah silibus. Dan kebanyakan ibu bapa juga tergolong seperti saya. Jika akan datang, akan ada perubahan sekali pun, prosesnya akan ambil masa. Jadi, kita buat apa yang kita mampu buat dengan situasi sekarang, ok? Jom kita bekerjasama, demi anak-anak kita.

Akhir kata, saya mohon maaf jika ada salah di mana-mana. Semoga penulisan ini ada manfaat kepada pembaca.

– Najah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit