Belanja Kahwin

Aku berasal dari Melaka. Aku dah kahwin lebih kurang setahun. Isteri aku dulu belajar sama-sama dengan aku di universiti.

Kami kahwin suka sama suka. Aku memang betul-betul sayangkan dia dan aku yakin dia pun sayangkan aku. Kami pun merancang untuk meniti bahtera perkahwinan.

Kerja aku biasa. Aku tak ada income yang besar. Tapi aku mampu dan pandai menyimpan, merancang untuk kehidupan selepas perkahwinan.

Apabila kami merancang untuk berkahwin, kami mula uruskan satu persatu.

Beli barang-barang untuk hantaran. Isteri aku ini memang minat barang-barang yang berjenama. Aku faham, aku layankan sebab aku nak dia happy selagimana bajet aku mampu.

Aku yakin dia pun faham keadaan aku. Jadi kami pun beli barang hantaran sama-sama dan terus terang, cuma untuk barang hantaran dah mencecah RM3000.

Ini tak termasuk cincin nikah, gelang emas yang aku rancang nak belikan untuk dia sebelum berkahwin.

Bila kami keluar sama-sama untuk beli cincin, aku pun beritahu dia bajet aku untuk cincin dan gelang emas.

Dia mula ‘argue’ yang aku letak bajet terlalu rendah. Tak boleh dapat yang bagus dengan bajet sebegitu.

Aku pun terpaksa naikkan bajet aku semula dan belanja lebih RM3000 juga untuk dua-dua barang kemas tersebut.

Aku agak tertekan sebenarnya. Aku dah cuba jelaskan. Dia yang tak faham dan tak cuba memahami. Tapi, bila kau dah sayang, bukan senang kau nak tolak.

Perkahwinan menjelang tiba. Semua duit simpanan aku lebih kurang RM20k habis untuk bayaran wang hantaran dan barang-barang hantaran.

Aku cuba minta untuk dikurangkan sedikit wang hantaran sebab aku fikir kehidupan lepas kahwin.

Tapi macam biasalah, adat melebihi keperluan. Aku pun bayarlah RM15000 wang hantaran.

Untuk majlis sebelah aku, bapa aku taja seluruh majlis kecuali benda-benda macam pakaian dan lain-lain. Aku terpaksa pinjam kakak aku RM3000 untuk urusan-urusan walimah sebelah aku.

Sekarang aku dah kahwin dan dengan izin Allah aku akan menimang cahaya mata dalam sebulan lagi.

Aku nak beri isteri aku yang terbaik. Dia suka hospital swasta daripada kerajaan. Tapi aku tak mampu dah. Duit aku habis.

Lepas kahwin berapa banyak belanja lagi. Aku susah nak menyimpan. Lagi-lagi dengan keadaan hari ini yang tak menentu.

Aku sangat tertekan. Aku tak boleh nak balance antara sayang dengan keperluan. Yang aku tak tahan, dalam hati aku mula timbul sedikit sesal berkahwin dengan dia.

Aku tak suka perasaan macam ini, tapi benda tu dah mula datang. Aku tak tahulah dia baca ke tak confession aku ni, aku harap dia baca. Supaya dia boleh fikir.

Aku nak nasihat pada semua pemuda, gadis yang nak berkahwin. Fikirlah masak-masak. Jangan kau orang enjoy sehari tu, tapi kau menyesal nanti. Tak kiralah lelaki atau perempuan.

Memanglah orang akan puji hebatnya majlis kau, cantiknya barang hantaran kau. Tapi pujian tu tak cukup untuk tanggung kehidupan kau.

Sayang kau dekat dia tu tak boleh tanggung kehidupan kau. Berhemahlah.

Sebahagian akan cakap jangan lokek dengan isteri ataupun kahwin memang macam tu. Hanya sebab semua orang buat macam tu tak menjadikan benda tu baik.

Aku tak pernah lokek, aku cuma boleh beri ikut kemampuan aku.

Semua bakal pengantin, pasangan kekasih atau sesiapa pun, fikirlah benda ni masak-masak. Jangan menyesal kemudian hari.

– Lelaki Yang Menyimpan Rasa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *