Assalamualaikum. Saya harap perkongsian ini buka mata semua pihak terutamanya adik adik yang masih muda yang masih nak enjoy..
Semuanya tentang Rumah menjadi sabit ketaatan anak, kasih sayang mak ayah dan tanggungjawap nafkah & ketenteraman batin emosi pasangan.
Rumah.. kalau dibuat ukuran dunia sifatnya aset. Ada nilai untuk duduk, jual atau sewa. Ia juga dikira dalam senarai keperluan asas manusia, tempat tinggal & jaminan keselamatan yang buat hati kita sedikit tenang dalam menjalani kehidupan.
Saya menyebut disini dari sudut membeli rumah untuk menetap bukan untuk buat harta. Ramai orang waktu muda tidak ambil pusing hal ini, ada kata tunggu dah kahwin baru pakat kongsi laki bini beli rumah sekali.
Ada juga kata enjoy dulu buat travel, beli kereta untuk mudah gerak jalan jalan. Tapi persepsi saya taraf rakyat marhaen, gaji biasa biasa, berpendapat, carilah rumah dulu untuk menetap di usia muda.
Banyak kesan buruknya jika kita tak punya rumah bila sudah ada anak, atau bila dah tua. Kesannya bukan diri kita seorang, anak cucu menantu juga boleh terkesan.
Mari kita tengok kebaikan beli rumah waktu muda;
1. Jimat sewa – kita kononnya sewalah dulu sementara cari rumah elok kena dengan jiwa akhirnya sewa jadi bertahun dan duit sewa saja boleh simpan beli satu apartment pulak. Dari kita bagi kat tuan rumah baik duit itu kita gunakan untuk bayar aset yang sah sah akan jadi milik kita.
2. Umur masih muda, chances banker nak lulus loan maksimum, tempoh kelayakan tenure, ada skim rumah pertama dan insurance juga dikira lebih murah menjadikan bayaran bulanan rumah lebih murah berbanding kita beli rumah waktu dah lewat. Banyak beza juga tu.
3. Bila kita abaikan keperluan beli rumah waktu muda, ingat risikonya kita tak punya jaminan tempat tinggal waktu anak semakin ramai, waktu tua.
Dek komitmen membesarkan anak itu ini, akhirnya kita terus menyewa.
Sampai masa kita akhirnya menyusahkan anak anak pula bila terpaksa menumpang hidup dengan mereka atau si anak perlu susah payah menyediakan rumah untuk kita sedangkan si anak juga sudah punyai keluarga dan tanggungjawap. Jangan mempersoalkan tanggungjawap anak pada orang tua.
Mari susuri kisah benar dalam hidup saya kini untuk lebih faham kenapa pentingnya usaha mencari rumah waktu muda;
Saya berkahwin dengan suami di ambang umur orang kata masih bergetah muda, 25 tahun. Orang kata baru bertatih hidup dan kerja.
Bila berkahwin saya baru tahu, ayah mertua saya tidak mempunyai perkerjaan tetap dan ibu mertua saya sahaja yang berkerja menanggung keluarga. Anak pula ramai. Suami anak sulung.
Saya mula mengenali keluarga suami dan mertua saya sedikit demi sedikit. Rupanya mertua saya dulu dulu anak orang senang, hidup serba senang dari kecil,
Sebelum ini mempunyai perkerjaan bagus dan berhenti kerja atasan alasan mengikut kawan untuk mulakan syarikat dengan anggapan pendapatan lebih akan diperolehi. Akhirnya ia langsung tak menjadi, kerja hilang, terjerut dengan hutang.
Apabila anak sudah ramai sudah tentu mertua fikirkan rumah utk anak anak. Di saat kami baru membina hidup, mertua pula berkenan hendak mengambil rumah yang dijual oleh abangnya dan ingin pinjam nama suami.
Disini lah bermula sengsara kami suami isteri. Atas dasar anak yang taat dan nak gembirakan hati si ayah, suami bersetuju dalam terpaksa. Mungkin juga boleh kata suami terjerat dengan janji manis ayah sendiri.
Asal si ayah berjanji akan membayar sendiri ansuran, 6 bulan selepas itu, kami cuba membuat satu loan atas nama suami barulah kami tahu yang nama suami sudah blacklisted kerana si ayah rupanya sudah gagal membayar ansuran selama 6 bulan. Tiada langsung dimaklumkan kepada kami anak menantu.
Kami suami isteri sudah tahu risiko masa akan datang, kemungkinan besar kami juga akan sukar membeli rumah lagi atau buat loan masa depan,
Jadi kami suami isteri ambil keputusan untuk memgambil alih tanggungjawap membayar ansuran rumah itu bagi menyelamatkan nama suami berisiko muflis. Maka bermula komitmen kami dua perkara besar, rumah sewa & rumah mertua ini Funny kan?
Suami menyedapkan hati saya dengan memujuk yang rumah itu adalah rumah kami seolah kami sudah membeli rumah maka tak perlulah lagi kami risaukan tentang rumah sendiri lepas ini.
Tapi jika difikirkan berapa lama kami betul betul boleh duduk rumah ini. Kerana mertua saya masih ada hingga ke hari ini.
Maka saya pun terima dan berusaha membantu suami membayar bulanan rumah atas fikiran itu adalah rumah kami untuk diduduki kelak.
Biar awalnya mertua telah memberi hint pada suami tidak mahu rumah ini diletakkan nama saya sekali atas alasan biarlah rumah ini urusan mereka anak beranak.
Tapi nah sebaliknya lain jadi, sekarang Allah balikkan dari tidak memberi peluang pada suami saya menyediakan rumah untuk saya dengan dijerat memikul hutang nama sekarang saya pula menantu,
Memotong sejumlah duit dari akaun saya untuk menbayar hutang nama suami ini. Dah situ pulak jadinya.
Suami meminta saya membantu kewangan rumah, sementelaah dia uruskan belanja dalam rumah, anak anak yang lain ikut nafkah sepatutnya. Jika dikira memang sudah terkeluar nafkah saya. Sedih bukan ?
Tapi saya jenis berdikari tak pandai meminta, maka saya redha inilah kemampuan suami.
Cuma saya sedikit terkilan kemampuan suami yang asalnya mampu menanggung nafkah keluarga kami dek desakan si ayah hal nakkan rumah ini semuanya menjadi kacau bilau dalam hidup kami.
Keluarga mereka tidak pernah tahu saya membayar rumah dengan duit saya bukan anak mereka.
Hal rumah ini sering menjadi isu dalam keluarga mertua, awalnya mereka khuatir saya merebut,
Artikel entah mana di kutip adik suami secara tiba tiba tanpa angin tanpa ribut di post dalam whatsapp keluarga dimana dalam artikel itu mengatakan hukum dalam agama bunyinya, rumah kita anak adalah ibarat rumah si ibu dan ayah.
Sudah pasti ia ditujukan kepada saya dan suami. Apakah maksudnya post artikel demikian dalam semua tahu rumah yang mereka duduki sedang dibayar tanggung oleh saya dan suami.
Benar suami adalah keluarga mereka perlu berkorban untuk mak ayah sendiri tapi sekurangnya fikirkan juga saya anak orang yang berkahwin dengan salah seorang ahli keluarga mereka yang juga mempunyai hak untuk mempunyai jaminan tempat tinggal oleh suami saya.
Apa guna suami mengahwini anak perempuan orang, jika tak dibenarkan aank lelaki menunaikan tanggungjawap.
Anak anak semakin besar, saya juga memikirkan bagai hendak pecah kepala khuatir saya akan menyusahkan anak anak pula waktu tua jika kami gagal mendapatkan rumah waktu masih ada kudrat berkerja ini.
Ayah mertua saya akhirnya meninggal dunia, nah 100% sudah menjadi tanggungjawap suami saya sebagai anak sulung. Meninggalkan si ibu dan adik adik yang masih belum ada rumah bertahun tinggal di rumah itu.
Saya tidak pernah menyebut bagaimana bertahun kecewa perasaan saya apabila loan untuk kami beli rumah kedua kerana kami juga tidak mahu terus menyewa selamanya. Nak harapkan rumah yang dibayar tapi diduduki mereka anak beranak kami sendiri tak tahu sampai bila.
Saya pun tidak sekejam mana untuk menghalau keluar ibu suami sendiri. Maka saya pejamkan mata. Loan kami tidak lulus kerana rekod ccris suami rumah pertama sebelum ini yang tidak cantik kerana mertua tidak membayar ansuran.
Kemudian kami jumpa satu lagi rumah tapi loan kami tidak lepas kerana nama suami pula sangkut komitmen tinggi sudah ada rumah dibeli. Untuk makluman, saya hanya kerja sendiri kerana menguruskan anak anak.
Bertahun kami menyewa dengan perasaan sentiasa takut tuan rumah datang meminta rumah balik. Dari anak satu hingga anak 5, kami menyewa terus menyewa.
Dengan nilai sewa jika dikumpulkan boleh beli satu apartment takpun sudah untung 10 tahun kami membayar ansuran rumah pertama. Ya, 10 tahun saya terpaksa menyewa dek berpaut kisah hidup mertua saya.
Belum cukup disini, keluarga suami agak trigger hal berkaitan rumah, adik suami demi menjaga air muka mak ayah menjaja cerita di kampung keluarga mereka yang lain mengatakan dialah membayar ansuran rumah selama ini. Wah!! Habis dimana duit saya yang tukang membayarnya..
Sungguh hati saya sangat terluka dengan cara keluarga suami. Sudahlah kita berhabisan menyenangkan mereka, mulut dan perbuatan tak pula tahu dijaga.
Disebabkan rumah itu nama suami, meskipun mereka yang tinggal dalam rumah itu, apa sahaja berkaitan rumah akan disuruh pihak suami saya selesaikan. Atas alasan rumah itu rumah suami saya.
Sedihkan.. padahal adik adil suami sudah berkerja baik dan masih tinggal bersama mertua. Rosak satu pintu disebut pada suami. Cukai pintu pun suami dituju, itu ini. Kadang kala baik kami sewakan saja boleh juga dapat pendapatan untuk urusan maintenance rumah itu.
Banyaklah hal hal lain yang menguris hati. Nak meluahkan semua sangatlah panjang. Cukuplah 10 tahun saya bergolak perasaan makan hati antara suami & mertua.
Hingga satu peringkat saya rasa tawar hati lebih baik hidup sendiri dengan anak anak. Tapi suami selalu memujuk kerana dia tahu silap awalnya dari dia sendiri kerana tidak bertegas. Lihatlah bagaimana hal ini boleh merosakkan perasaan suami isteri.
Saya tak tahu ending nya macamana, Jangan kata saya tidak sabar, tidak tahu nak kutip pahala atau besar pengorbanan anak pada mak ayah, itu saya tak nafikan. Sebab itu saya pejam mata apa mereka nak buat dengan rumah itu. Saya hanya meneruskan hidup yang Allah sudah tetapkan untuk saya.
Tapi saya juga tak nafikan mungkin pengorbanan dan kerja kuat kami bertahun mengumpul duit untuk cari rumah sendiri untuk anak anak, Allah Taala rewardkan kami dapat beli tanah dan buat rumah banglo sendiri yang kami tak jangka dengan umur kami sekarang.
Rumah ini saya ingin jalani hidup tua saya dengan suami tanpa ada gangguan dari mana mana pihak.
Saya tidak mahu waktu tua saya menyusahkan anak anak pula untuk tempat tinggal saya. Saya tak mahu anak dan menantu saya melalui pengalaman seperti saya. Saya mengasuh didik anak lelaki saya agar menjadi lelaki bertanggungjawap dalam keluarganya.
Maka saya berusaha kini agar tidak menjadi sebab menyusahkan hidup anak sendiri. Kerana saya amat sayangkan anak anak saya, dan saya ingin mereka bahagia tanpa susah kerana saya.
Saya hanya menulis disini untuk menegur dan beri peringatan adik adik yang masih muda, jangan terlalu ghairah nak enjoy, nak travel dan membazir duit pada perkara tak sepatutnya.
Kumpul duit, kerja lah rajin, beli rumah awal awal dan jangan beri nama dipinjam orang hatta keluarga sendiri. Harta dan duit ini orang boleh lupa saudara. Ayah pun boleh lupa anak.
Belilah rumah muda muda jangan jadi macam saya. Jika mampu belilah rumah nama masing masing. Kita tak tahu apa penyudah satu perkahwinan. Ajarlah anak anak pula pengurusan wang yang betul, menabung membeli rumah bukan berjoli.
Kepada yang bakal menjadi mak ayah, usahakan sekarang jika masih belum ada rumah, jangan disusahkan kehidupan anak menantu dari segi duit & batin. Mereka juga berhak untuk bahagia.
Jangan asyik nak claim kita dah susah payah besarkan naak takkan tak boleh tumpang hasil. Tanya diri kita, benarkan kita mak ayah yang sayangkan anak?
Kepada ibubapa yang punya anak perempuan semaklah latar belakang keluarga bakal menantu, kerana salah pilih anak perempuan kita yang menerima tempias. Kadang kala anak anak tidak ada masalah yang menjadi punca masalah campur tangga mak ayah sendiri.
– Maya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit