Saya benci dengan bapak sendiri. Saya tahu kalau dia tak ada maka tak adalah saya didunia ni juga.
Tapi tulah hakikat perasaan saya sejak kecik yang mana saya tak dapat nafikan lagi. Sejak kecil bapak tak pernah peduli pasal isteri, anak-anak dan hal ehwal rumah tangga.
Saya menyaksikan sejak saya kecil yang mana mak yang bersusah payah membesarkan anak-anak, menghadapi pelbagai masalah seorang diri dan boleh dikatakan hampir 100% urusan rumah tangga mak yang bereskan.
Bapak dah lama tak bekerja (sejak saya sekolah lagi) dan segala tanggungjawab dia, dia serahkan pada mak.
Bapak memang tak membantu langsung. Bapak hidup dengan cara ‘bujang’ walaupun duduk serumah dengan anak isteri.
Kain baju bapak basuh sendiri. Sidai sendiri.
Kalau hujan dia akan angkat kain dia sendiri sahaja. Hal-hal rumah lain bapak tak peduli.
Gas habis ke, atap bocor ke. Langsung tak peduli.
Bapak juga bukan jenis ada disiplin. Pakaian dah dipakai ditinggalkan merata-rata.
Barang-barang yang dia punggah dia tak akan simpan semula. Saya tak suka perangai bapak yang ini sejak saya kecil lagi sebab akhirnya saya yang sentiasa disuruh untuk kemaskan.
Tapi siapa saya untuk bersuara ketika itu? Bapak jenis makan dekat luar dengan kawan-kawan yang dia lepak.
Mak masak dekat rumah tapi bapak lebih suka makan dengan kawan-kawan. Setiap waktu dia makan diluar.
Dia tak nak beli barang dapur walaupun mak dah kirim pesan berkali-kali. Sebab bagi dia, dia tak makan dirumah jadi apa keperluan untuk dia beli barang dapur lagi.
Dalam fikiran dia, isteri dan anak-anaknya bukan tanggungan dia. Kalau lapar carilah makan sendiri.
Benda ni jadi sejak saya sekolah lagi Bapak juga suka marah-marah bila tiap kali bil air, elektrik sampai.
Katanya isteri dan anak-anak tak tahu berjimat. Sedangkan isi rumah kami ramai (saya mempunyai 11 adik-beradik, saya antara yang besar).
Bila saya dan adik-beradik lain perlukan duit belanja lebih untuk beli buku dan peralatan sekolah lain, mak akan pesan pada kami supaya minta pada bapak. Tapi bapak pulak suruh kami minta pada mak.
Akhirnya semua perbelanjaan kami mak yang tanggung sepenuhnya sehingga kami melanjutkan pelajaran.
Tidak keterlaluan saya katakan yang mak adalah ketua keluarga, tonggak utama keluarga sejak kami kecil lagi.
Bukan bapak Bapak juga suka menceritakan hal-hal aib anak dan isteri pada keluarganya dan kawan-kawan dia.
Sampaikan kawan-kawan dia berani mengutuk dan ‘bergurau’ pada kami berkenaan hal yang mengaibkan kami sekeluarga. Bapak juga kutuk mak pada kawan-kawan dia.
Maruah kami dipijak-pijak oleh orang luar akibat perangai bapak yang suka bercerita tanpa tapis pada orang luar. Bapak juga suka menokok nambah cerita.
Jadi orang luar lagi seronok nak mengata kami. Saya tengok mak sangat banyak bersabar dalam perkara ini.
Saya tahu belakang kami adik beradik mak mesti dah banyak menangis.
Ada 2 peristiwa saya tak dapat lupakan yang berkaitan dengan bapak.
Peristiwa 1
Dulu saya pernah hampir dirogol ketika mahu balik dari sekolah sebab ada lelaki tak dikenali ikut saya. Tapi saya selamat. Sejak tu saya trauma nak pergi sekolah naik basikal, bas atau jalan kaki.
Jadi mak minta bapak jemput saya tiap kali balik sekolah. Pergi sekolah ada orang tolong hantar, tak apalah. Tapi bapak tak ambil berat pada saya.
Saya balik pukul 1 petang. Tapi bapak akan ambil saya pukul 2. 30 atau 3 petang dan pernah lagi lewat dari itu.
Sedangkan bapak tak bekerja. Dia hanya ikut kawan-kawan melepak. Sekolah saya pula bukan di bandar.
Jadi agak sunyi bila semua orang dah balik. Sejak itu saya tahu bapak bukan peduli pasal saya.
Peristiwa 2
Zaman sekolah dulu saya adalah mangsa buli. Saya disuruh buat kerja sekolah si pembuli,
Buku saya selalu diambil si pembuli untuk dia pinjam tiru kerja sekolah saya sampai berhari-hari si pembuli tak pulangkan sebab si pembuli ponteng. Saya yang kena marah dengan cikgu.
Barang-barang saya dibaling oleh si pembuli bila si pembuli tengah bergaduh dengan orang lain.
Malah si pembuli pernah mengugut saya yang dia akan panggil abang angkat dia datang untuk rogol saya bergilir-gilir kalau saya tak ikut apa kemahuan dia. Saya takut dan menangis sampailah bapak jemput saya petang itu.
Saya cerita pada bapak dan dia tak peduli pun. Sejak daritu saya tahu bapak tak akan ambil peduli lagi kalau saya ada masalah lain. Berminggu-minggu saya trauma dengan ugutan tu dan kerap menangis sorang diri.
Masatu saya belasan tahun. Mentah lagi. Saya betul-betul takut ianya terjadi pada saya.
–
Bapak tak hargai mak selayaknya seorang isteri. Bapak bukan jenis berbincang apa-apa hal pun dengan mak.
Nafkah pada mak dah bertahun-tahun dia abaikan. Selama perkahwinan mak tanggung dirinya dan seisi rumah sepenuhnya.
Walaupun bapak bukan kaki pukul tapi emosi mak dia dera dan dia abaikan. Dia selalu mengutuk dan mengejek mak.
Dia tak pernah bertanya apa-apa pandangan mak, kesukaan mak, keinginan mak dan plan mak untuk masa depan. Yang bapak tahu dia dan kawan-kawan dia sahaja.
Kawan dia tak ada duit, dia laju tolong. Saya tahu sebab pernah nampak dia hulur RM500 pada kawan dia dengan akad ‘jangan susah payah nak bayar. Ada duit nanti baru kau bayar’. Sedangkan untuk keluarga sendiri amat berkira.
Pergi mana-mana bapak selalu ingat kawan dia. Kalau dekat kedai makan, dia akan sebut kawan nama si polan suka makan sekian sekian, yang si polan lain tak boleh makan sekian sekian.
Kalau pergi jalan jalan dia akan beli buah tangan untuk kawan-kawan dia.
Sedangkan kalau dia pergi kedai makan yang sedap, pergi jalan dengan kawan dia, langsung tak ingat nak beli apa-apa untuk mak atau nak bawa mak pula kesana.
Dia tak ingat kami anak-anak tak apa tapi ingatlah pada mak yang terlalu banyak berkorban untuk keluarga.
Bila saya kahwin saya takut suami saya jadi begini. Alhamdulillah setakat ni suami jauh beza dengan bapak. Sangat jauh beza.
Saya malu kalau suami tahu perangai sebenar bapak. Saya bersyukur akhirnya saya temui bahagia dan berdoa moga kekal sampai akhir hayat.
Saya tak pernah share cerita pada adik beradik termasuk mak yang suami dan bapak sangat berbeza. Saya bahagia dengan suami.
Tapi saya tak nak cerita dengan mak sebab tak nak mak rasa sedih. Saya tak suka ada perasaan benci pada ahli keluarga terdekat sebegini.
Saya nak lupakan semuanya, saya nak maafkan bapak walaupun sampai hari ni perangai dia masih begitu dan tak berubah. Tapi susah sangat.
Saya bukan jenis melawan. Tapi saya akan mengelakkan diri daripada mempunyai apa-apa urusan dengan bapak.
Saya juga mengelak untuk bertembung dengan dia dan bila kena duduk sebelah menyebelah pun saya rasa sangatlah janggal. Kalau dia ada di dapur, saya akan tunggu dia keluar dari dapur dulu.
Dari dulu sampai sekarang macam tulah hubungan saya dengan dia. Tak bergaduh apa pun tapi dingin.
Satu benda yang saya belajar ialah, kalau nak diri kita dihormati maka kita kena laksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi. Tidak kiralah sama ada hal dengan keluarga ke kerja ke.
Bila kita tunaikan tanggungjawab dan amanah secara tak langsung kita menghormati diri sendiri juga. Kita meletakkan nilai diri kita pada lingkaran yang paling baik dalam hidup kita.
Kalau bukan kita yang nak hormat diri sendiri siapa lagi yang nak hormatkan?
– Lobaloba (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit