Benci Orang Yang Menjaga Aku

Saya N, perempuan, umur baru 18. Cukup itu sahaja pengenalan diri. Saya tak tahu nak luahkan pada siapa, saya luah disini sebab sekurangnya saya tahu ada yang baca.

Hari semakin hari, perasaan benci pada ayah semakin menebal. Ayah saya bukan pembunuh orang, tetapi ayah pembunuh jiwa dan emosi saya sekeluarga. Hanya kerana dia ayah, dan suami. Dia boleh buat apa yang dia mahu.

Menengking ibu didepan orang ramai, mengutuk ibu bersama adik beradiknya yang lain. Layan ibu seperti babu.

Kadang-kadang saya persoalkan, walaupun saya sedar saya tidak layak untuk persoalkan. Kenapa ayah hari-hari ke surau, mengaji hari-hari masih begitu sikapnya?

Pernah, ayah tengok movie ada perempuan cantik dan ayah kata dekat pakcik saya (adik ayah) “Best ada bini macam ni, tak macam kak (ibu kesayangan saya) kau” Dan waktu itu, ibu disebelahnya.

Kayu tiga, usah dicakap. Makin meningkat umur, makin menjadi–jadi.

Saya pernah kata pada ibu, saya ada lesen kereta kita boleh senyap-senyap pergi mana-mana yang boleh settlekan urusan fasakh. Saya teringin nak ibu kesayangan saya bercerai, tetapi ibu saya masih memikirkan anak.

Ibu tidak bekerja, ayah pesara tentera. Tiap kali duit gaji masuk, ayah bagi ibu duit untuk beli lauk. Baginya kadang RM 300 atau RM 250. Itulah duit ibu beli lauk, itu jugalah duit yang akan diminta semula.

Saya tidak tahu ayah duduk di zaman bila, bila dia pernah menjerkah ibu dihadapan orang sebab katanya ibu boros. Walhal, ibu hanya beli barang dapur untuk seminggu.

Kadang-kadang, saya rasa saya nak bunuh ayah. Saya terbayang, saya berjalan dan bunuh ayah. Kenapa hanya ada istilah Anak Derhaka?

Isteri Derhaka? Kemana hilangnya istilah Bapa Durjana? Jika salah sedikit, bersedia sajalah dengan makian yang keluar dari mulutnya.

Orang kuat surau, orang puji ayah kata ayah lemah lembut tak pernah marah, dan kadangkala saya terapung dengan mimpi membayangkan ayah seperti yang dikatakan orang.

Ibu pun ayah maki. Sakit betul hati saya tengok ibu saya, syurga saya dimaki dari mulut si tua itu. Saya pujuk ibu, cerai sajalah. Saya akan ada dengan ibu, tetapi saya masih tidak faham bagaimana berbezanya pemikiran ibu dan saya.

Saya selalu kata dengan diri sendiri, kalau ibu tak ada bila saya dah bekerja nanti. Siaplah ayah saya tinggalkan di pusat kebajikan. Biarlah dia. Saya benci ayah. Sangat.

Ayah bercakap soal agama, seolah-olah dialah yang duduk di zaman Nabi. Kadang-kadang, kalau ibu masak tersikit masin, dia mula meludah kembali dalam masakan, dan kata “duduk dapur bertahun bodoh lagi ke masak?”

Tuan, Puan.

Usahlah menyalahkan satu pihak sahaja jika ibu bapa ditinggalkan anak-anak dipusat kebajikan. Kadangkala sikap ibu bapa juga yang membuatkan kita rasa begitu.

Fikiran saya celaru, sampaikan jalan cerita saya berterabur. Pernah masa kecil, saya diberi RM 5 untuk menutup mulut agar tak beritahu ibu, yang ayah sedang keluar makan dengan seorang perempuan. Naif bodohnya saya.

Pernah saya baca ayah bersayang sayang dengan perempuan lain, siap mengutuk ibu dengan perempuan itu.

Kalian tahu, saya anak luar nikah. Wallah, saya tidak menyalahkan ibu ayah berkaitan dengan taraf saya. Ibu minta maaf, dan bertaubat. Ibu baik, ibu selalu doakan ayah, dan ibu selalu pesan ‘itu ayah’.

Cukup dua kalimat ini, saya terus memahami maksud ibu. Ayah? Ya, dia akan mengungkit ibu dengan istilah ‘murah’. Bersyukur yang tidak dapat saya katakan lagi, saya tidak berbintikan lelaki itu.

Doakan ibu saya. Ibu tak bagi saya kerja part time, katanya fokus saja belajar. Ibu memang tak bekerja, cuma ibu kadangkala ambil tempahan nasi dan kuih.

Jika ada tempahan, ibu adalah duit. Nak menjual hari-hari? Mimpi sahajalah, ayah akan mengungkit gajinya cukup setakat nak menyara “tiga ekor” ini. Haha.

Kalau ambil tempahan pun, ayah mula kata, “kebulur sangat ke?” “tak cukup ke apa dibagi”.

Saya ada hari ini, sebab saya bertahan untuk teman Ibu berjuang. Sekiranya tidak, pasti sudah dikambus tanah. Semoga segala keperitan Ibu diberi kebahagiaan yang melimpah, walaupun bukan dengan ayah.

Itu saja.

– Anak Ibu. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *