Cerita aku tidaklah semenarik seperti cerita orang lain cuma tujuan aku bercerita sekadar ingin meluahkan rasa syukur pada setiap ketetapan Maha Pencipta.
Kisahnya bermula pada awal perkenalanku bersama si dia yang ku namakan sebagai Megat (bukan nama sebenar).
Perkenalanku bersama Megat bermula pada zaman matrikulasi.
Aku yang seorang introvert semestinya tidak pandai untuk memulakan persahabatan dengan mana-mana jantina kerana sejak zaman persekolahan lagi aku tidak mempunyai ramai kawan yang sangat berbeza dengan Megat.
Megat berasal dari negeri metropolitan yang terletak nun jauh dari negeriku. Dia mempunyai perwatakan yang sangat menarik selain daripada sikapnya yang sangat pandai bergaul.
Perkenalan kami bermula apabila Megat menegur aku sewaktu aku sedang menunggu giliran untuk mengambil wang dari satu-satunya mesin ATM di matrikulasiku.
Teguran yang berunsur gurauan mengundang kerutan di wajahku. Daripada gurauan seterusnya melahirkan sebuah persahabatan.
Kami mula rapat apabila kami banyak menghabiskan masa bersama atas urusan pembelajaran.
Tingkahnya yang kadang kala mengusik perasaanku membuatkan aku menjadi keliru dan mula menanam perasaan pada sahabatku sendiri
Namun tatkala perasaan sayang dan cinta mula menapak di hatiku, kami mula renggang pada semester ke 2.
Untuk pengetahuan, kami berdua mengikuti program matrikulasi selama satu tahun.
Puas aku berfikir mengenai kesalahan yang ku lakukan sehingga dia bertindak menjauhkan diri daripadaku. Namun jawapan yang ku terima menemui jalan buntu
Akhirnya aku akur pada takdir yang mungkin segala perpisahan yang berlaku ini ada hikmahnya.
Namun tidak sedikit pon perasaan sayang itu hilang dari hatiku ini. Kami masih berada di dalam kelas yang sama namun kami berdua tidak lagi serapat dahulu.
Masa berlalu dengan pantas, kami berdua bakal menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi. Aku pernah berkira-kira ingin meluahkan perasaanku ini namun ku lupakan atas dasar sedar diri.
Namun perasaanku dijentik semula pada hari terakhir kami bersama apabila dia seperti berkias mengenai sikapku yang tidak pernah berani meluahkan perasaanku.
Dipendekkan cerita, kami masing2 meneruskan pelajaran di negeri yang berbeza dan hilang khabar sejak dari itu. Mungkin kerana pengharapan pada bait kata sebelum perpisahan membuatkan aku susah menerima lelaki lain di dalam hidupku.
Aku pernah cuba ingin meluahkan perasaanku supaya aku mampu melupakan perasaanku ini namun tidak berjaya kerana sifat malu yang masih menebal,
Tambahan lagi aku tidak ingin memulakan sesuatu perhubungan yang tidak jelas tujuannya memandangkan kami masih belajar dan perhubungan selain pernikahan itu haram.
Waktu berlalu dan aku sudah pon menginjak ke alam perkerjaan. Keperitan aku membina kerjayaan membuatkan aku lupa sebentar perasaan ingin bercinta mahupon berkahwin sehingga lah aku hampir menginjak umur 30 tahun.
Ahli keluargaku sudah mula risau dengan anak bujang mereka ini kerana pada usia yang hampir menginjak 30 tahun, tiada khabar berita mengenai pernikahan.
Sikapku yang kadang kala keras kepala serta pendirianku dalam memilih bakal suami yang dikatakan agak cerewet membuatkan keluargaku risau aku bakal keseorangan di hari tua
Namun percaturan Allah itu Maha Adil. Aku bertemu jodoh bersama suamiku dikala aku betul-betul bersedia menjadi seorang isteri.
Aku tidak nafikan sikapku yang keras kepala serta kriteriaku yang agak panjang untuk bakal suamiku membuatkan aku susah menerima kehadiran seorang lelaki
Alam dewasa memantangkan aku sebagai seorang manusia. Jika dahulu aku terlalu banyak berkhayal dalam cerita dongeng, alam perkerjaan mematangkan aku dalam memilih calon hidupku.
Aku mengerti kesusahan mencari rezeki dan tidak lagi memilih cinta sebagai kriteria utama dalam perkahwinan.
Aku mula menetapkan tujuan utama aku melangkah menuju alam perkahwinan dan tidak mahu menamatkan zaman bujangku bagi memenuhi “expectation” manusia lain.
Suamiku bagiku seorang lelaki yang cukup baik bagiku. Dia seorang lelaki yang lemah lembut, rajin menolongku melakukan kerja rumah dan sentiasa cuba memenuhi setiap keinginanku.
Keinginan untuk mempunyai sosok suami yang sentiasa mendekatkan aku ke arah akhirat juga tercapai.
Jika dahulu, aku tidak pasti aku akan mencintai lelaki lain selain daripada “crush”ku itu, namun demi Allah tiada lelaki lain yang aku cintai saat ini selain suamiku
Perasaan sayang dan cinta pada “crush”ku hilang di saat aku mula berkenalan dengan suamiku.
Sungguh Allah Maha membolak balikkan hati ini. Perasaan cinta selama 10 tahun hilang begitu sahaja di saat aku benar2 serius ingin melangkah ke arah perkahwinan.
Alhamdulillah untuk semuanya dan untuk lelaki yang pernah menapak di hati aku ini, aku doakan semoga peroleh kebahagian dunia dan akhirat.
Untuk suamiku, dikaulah lelaki yang ku cinta buat selamanya.
Untuk penonton sekalian, hubungan tanpa akad nikah itu akan sia2. Perkahwinan itu ibadah terpanjang di dalam hidup kita.
Cinta itu akan lahir dengan sendirinya berkat doa, usaha dan niat yang betul dalam mendirikan rumah tangga. Yakinlah dengan setiap percaturan yang Allah rencanakan.
– Pencinta sejati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit