Berani Potong Jari La

Saya Alya. Saya menulis ini bukan untuk membuka aib mana-mana pihak. Hanya secebis nasihat ikhlas atas pengalaman saya setelah bergelar balu.

Sepanjang saya berkahwin, saya langsung tiada masalah dengan keluarga mentua. Memandangkan saya sebatang kara di negeri ini, 80% hidup saya adalah dengan keluarga mentua.

Saya tak punyai siapa-siapa, waima seorang sepupu pun di sini. Saya berpindah ke sini setelah bernikah dengan arwah suami.

Setiap kali cuti sekolah, setiap kali raya.. muka ni la dengan anak-beranak ziarah mentua. Menemani, membantu memasak dan meriuhkan suasana rumah kampung. Ipar-ipar jarang balik kerana susah cuti dan bekerja shift.

Ke mana mentua nak pergi, kami bawa.. Langsung saya tidak berkira masa dan wang ringgit untuk keluarga mentua.

Sumpah, saya sayangkan kedua mentua macam ibu bapa sendiri. Kadang-kadang saya yang ‘over’ nak balik rumah mentua.. nampak tak di situ, betapa saya selesa, rapat dan sayangkan mereka…huuu

Apabila mentua ke bandar, rumah ini la mentua bermalam. Even rumah anak-anak perempuan kandungnya ada sekitar sini, rumah ini jugak dia pilih untuk bermalam.

Tapi setelah arwah suami saya meninggal.. keadaan bagai langit dan bumi. Saya tak tahu apa silapnya.

Pada mulanya, saya seperti biasa.. tetap balik ke rumah mentua even suami telah meninggal. Tetap telefon dan menghulurkan duit jika pulang ke kampung.

Tapi layanan mereka berbeza, tiada lagi panggilan telefon bertanya khabar saya dan anak-anak. Tiada lagi kunjungan ziarah mereka ke rumah ini.

Saya sejenis positif. Bersangka baik je.. even hati sedih. Dah la hilang suami, rasa pulak terkontang-kanting tanpa sesiapa di negeri ini. Memang hilang tempat bermanja sepenuhnya..huu.

Kemuncak rasa hati ini meletup bila aku di Pusaka Kecil (urusan faraidkan rumah ini). Rumah ini nama bersama bersama arwah. Saya jelas dan faham berkenaan faraid.

Bapa mentua pernah cakap, dia tidak akan tuntut waima sesen pun harta arwah. Dia hanya berharap aku dapat besarkan empat orang cucunya dengan baik. Cukup makan, pakai dan pelajarannya.

Sepanjang dalam iddah, saya dan anak-anak langsung tidak dapat bantuan nafkah daripada keluarga mentua. 100% duit saya aturkan perbelanjaan kami anak-beranak.

Tapi saya masih lagi positif, even dapat rasakan layanan sudah berbeza. Mungkin keluarga mentua beranggapan dia berlepas tangan dari segi nafkah kerana melepaskan bahagian faraidnya.

Dua minggu sebelum arwah suami meninggal (kondisi dah teruk), kami ada berbincang soal rumah ini. Arwah tanya, di mana saya nak duduk dengan anak-anak jika dia meninggal.

Dia tahu saya tiada sesiapa di negeri ini. Raut wajah, jelas nampak dia bimbangkan saya dan anak-anak. Saya jauh dengan saudara dan darah daging sendiri.

Saya dengan tenang, menjawab.. Rumah kita di sini, saya dengan anak-anak akan terus di sini. Ke mana lagi saya nak pergi.. harta kita, rumah ni sahaja.

Tambahan pula, keluarga mentua sangat baik. Saya yakin mereka pasti tidak akan abaikan saya dan anak-anak.

Arwah menambah, dia BERANI POTONG JARI laa.. kalo ayahnya menuntut bahagian faraid rumah ini..

Namun saya cuba meminta arwah declare dengan keluarga mentua berhubung hutang arwah (loan bank) yang menggunakan nama saya.

Saya berharap bila suami declare, keluarga mentua jangan la menuntut faraidnya kerana saya menanggung hutang arwah. Lebih banyak amaunnya daripada hak faraid mereka.

Tetapi arwah sekali lagi berkata, dia BERANI POTONG JARI kalau ayahnya menuntut rumah ini.

Namun apa yang saya gusarkan terjadi juga. Bapa mentua mahukan tuntutan faraid atas rumah ini.

Di Pusaka Kecil, hakim meminta kami angkat sumpah untuk berkata yang BENAR-BENAR BELAKA setiap statement yang dikeluarkan. Kami sama-sama mengangkat tangan bersumpah.

Hakim menanyakan, anak-anak dibesarkan bersama siapa, kami tinggal di mana, dapat bantuan dari keluarga mentua tak, dah buat badal haji untuk arwah ke, bagaimana dengan segala urusan hutang arwah..

Saya menjawab apa yang betul.  Anak bersama saya, duduk di rumah yang dituntut ini, telah membuat badal haji untuk arwah dan telah melangsaikan segala hutang arwah (kecuali hutang arwah atas nama saya. Saya tak akan mampu bayar sedebuk.)

Hakim tanyakan lagi, sudahkah kami berbincangkan berkenaan faraid rumah yang dituntut.

Saya jawab tidak kerana bapa mentua dah maklumkan, di mana dia tidak mahu sesen pun duit arwah. Dia hanya meminta saya membesarkan empat cucunya dengan baik.

Sejurus itu juga, bapa mentua bersuara dan ingin menuntut bahagian rumah ini. Saya masih ingat lagi kata-katanya, kalau ikut dia..

Dia kesiankan saya dan cucu-cucunya tetapi adik-beradik arwah yang lain menyuruhnya menuntut rumah ini atas alasan untuk kenang-kenangan.

Sungguh saya terkesima. Menitik-nitik air mata dan tersedu-sedu saya di depan hakim. Sampai hati ipar-ipar Sungguh saya terkejut dan kecewa. Tak sangka begitu busuknya hati ipar-ipar ni..

Dan berganda tak sangka yang bapa mentua akur dengan cadangan ipar-ipar.

Rupa-rupanya saya sahaja yang menyayangi mentua seikhlas hati, mereka tak anggap pun saya ni macam anak dia. Masih orang luar. Saya sahaja yang terhegeh-hegeh rupanya.

Jika mereka anggap saya ni anaknya, dia tak akan sampai hati buat saya macam ni.. Jika mereka menganggap saya ni adik-beradik, mereka tak akan sampai hati perlakukan kami sebegini.

Mereka tahu perjalanan hidup kami suami-isteri. Suami pernah kena tipu dengan partner (loan atas nama saya).

Rezeki tidak menyebelahi arwah suami even dia sangat rajin. Suami kerja ON OFF atas pelbagai faktor terutama kesihatan. Sebahagian besar urusan perjalanan kewangan rumah ini, dari duit gaji saya.

Berkenaan loan atas nama saya, saya tak menyesal. Saya ikhlas bantu suami saya. Satu nasihat ikhlas saya, jika la suatu hari nanti..

Kalian diuji suami yang kurang kemampuan dari segi kewangan, JANGAN HULURKAN DUIT KEPADA MENTUA MELALUI SUAMI. Jika kalian hendak memberi, berilah dengan tangan dan jari-jemari sendiri.

Biar keluarga mentua tahu realiti perkahwinan anaknya. Jika suami tak ada duit ketika itu, biarkan.. biar tangan kita sahaja yang menghulur dan sememangnya pun duit kita.

Rutin kami dulu, arwah suami menghulur dan saya pun menghulur even duitnya dari gaji saya. Bila dah jadi begini, pengajaran untuk saya. Jangan diulang pada yang lain.

Niat saya baik, nak jaga aib suami tapi niat baik tu membuat saya kesal hingga hari ini. Keluarga mentua mungkin beranggapan anaknya banyak duit.

Saya pun bukan jenis bercerita kekurangan nafkah suami dalam keluaga kecil kami. Saya bantu mencukupkan keperluan rumah dan anak-anak. Saya bukan jenis berkira orangnya. Tapi nasib saya tidak begitu baik bila diperlakukan begini. Sungguh saya kesal.

Sesungguhnya, jika suami kalian meninggal.. orang tak cari ayah, ibu, kakak atau adik bagi melangsaikan hutang arwah. Tetapi orang akan cari isteri. Hadap la isteri seorang.

Even mereka tahu hutang darah-dagingnya, dia hanya mendengar. Tak ada pun sama-sama buat collection untuk langsaikan hutang, isteri ini la bergolok-gadai membayar segalanya.

Saat suami nazak, saya menelefon individu yang suami berhutang. Saya merayu tolong lepaskan bebanan hutang suami dengan meletakkan semua hutang atas nama saya. Saya berjanji membayarnya sehingga langsai. Ada yang menghalalkan dan ada yang saya bayar berperingkat.

Saat saya berbisik di telinga arwah, memaklumkan semua hutangnya saya sudah langsaikan (hutang berpindah atas nama saya). Dia hanya mengalirkan air mata. Saya nampak wajah tenang di saat nyawanya ditarik.

Saya hanya berdoa, agar Allah mudahkan saya melangsaikan hutang. Sungguh saya rasa terbeban bila menanggung hutang sesama manusia.

Moga Allah memanjang usia saya, memewahkan rezeki saya dan memudahkan segala urusan saya membesarkan empat anak yatim ini.

Jangan ulangi kesilapan saya.

Soalan saya, perlu ke lagi saya berbaik? Kalau ditanya saat ini, hati saya kosong. Hilang rasa untuk hubungan keluarga ini. Saya hanya mendiamkan diri. Sesekali bila teringat, air mata ini laju je mengenangkan nasib.

Kalau arwah masih hidup, pasti dia pun sedih dan tak sangka layanan sebegini isteri dan anak-anaknya dapat.

– Alya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *