Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada admin & pembaca. Apa yang nak saya kongsikan adalah lebih kepada self-reflection, dan saya berharap self-reflection ini dapat memberikan perspektif yang berbeza bagaimana cara kita memandang sesuatu isu. Secara spesifik fokus perkongsian saya adalah berkenaan penjagaan ibu bapa yg telah uzur terutamanya di hospital.

Saya terpanggil menulis kerana viral satu ketika dahulu bagaimana seseorang ini telah membantu 1 orang tua yang ditinggalkan sendirian di hospital tanpa teman. Saya berasa bangga kerana dalam lingkungan masyarakat kita terdiri daripada kalangan insan2 yang prihatin. Sehinggakan tiada perasaan berat utk membantu seorang tua bukan sahabat apatah lagi saudara, ada juga yang berlainan bangsa dan agama.

Namun, keprihatinan ini kadang kala ada yang kurang enaknya. Ia mula jadi berat sebelah apabila kita sebagai orang luar sama ada yang melakukan kebaikan ataupun yang membaca posting tersebut, mula menyelitkan kata2 dan komen seperti anak si tua seolah2 mengabaikan kebajikan si tua, ditinggalkan di wad tanpa pemerhatian sedangkan perlu ada yang menemani.

Saya dan keluarga pernah menjaga arwah bapa kami yang disahkan menghidapi kanser. Pada masa tersebut, hospital di daerah kami tidak mempunyai kepakaran dan perkhidmatan rawatan kanser, maka bapa kami telah direfer ke hospital yang jaraknya 2jam perjalanan menaiki kereta daripada kediaman kami. Ibu kami pula sudah uzur, mana mungkin ibu mempunyai kudrat dan menjaga bapa semasa proses rawatan kemoterapi di wad, sedangkan ibu juga perlu dibantu.

Syukur pada ketika itu, saya baru selesai degree dan baru bekerja beberapa bulan, maka tidak menjadi keberatan buat saya berhenti kerja kerana belum ada komitmen kewangan. Dan ketika itu juga, adik beradik saya berniaga, maka abang saya dapat memberikan tanggungjawab menjaga kedai kepada kakak ipar, dan kakak saya pula menguruskan ibu di rumah. Maka saya dan abang bergilir2 menjaga bapa di wad. Rezeki arwah juga, anak2 sentiasa ada di sisi.

Semasa saya menjaga bapa di hospital, banyak pesakit dan waris telah saya amati. Dan percayalah, bukan mudah seseorang untuk meninggalkan ibu bapa mereka uruskan diri keseorangan di wad. Inilah ibu bapa yang telah melahirkan dan menjaga sehingga dewasa, menyayangi dan menyantuni, berkorban masa dan cita2 untuk anak2. Saya yakin, kekuatan kasih sayang sebegini tidak akan membuatkan seorang anak tutup mata, melainkan terpaksa.

Mungkin saja anak tadi anak tunggal. Maka dia perlu menguruskan anak kecil yang masih menyusu. Barangkali suaminya juga weekend husband, maka tidak dapat menggantikan isteri di kala merawat ibu bapa di wad.

Mungkin juga si anak tadi seperti kami, perlu mendapatkan rawatan jauh dari tempat tinggal. Punya ibu atau bapa lain di rumah yang juga perlu perhatian. Anak mana yang sanggup membiarkan ibu bapa sendirian, melainkan tiada cara lain melainkan bertawakal pada Allah agar ada insan mulia yang akan membantu mempermudahkan urusan ibu bapa mereka ketika bersendirian.

Perspektif kita harus luas dalam menilai sesuatu perkara, agar kita tidak mudah menjatuhkan hukum. Pengalaman peribadi menjaga bapa di hospital yang jauh dari tempat tinggal, memberikan 1 kesedaran bahawa tidak semua anak diberikan peluang sebagaimana kami.

Semoga kita lebih terbuka dalam menilai perkara di hadapan kita, dalam apa2 perkara sekalipun. Mungkin tujuan utama kita menyiarkan peristiwa kita membantu ibu bapa seseorang yang tidak dikenali dan netizen2 memberikan ulasan agak negatif agar menjadi pedoman buat semua dan bukan mencari kemuliaan duniawi, namun, percayalah, BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL.

Maaf atas salah kata dan kasar bahasa.

Yang ikhlas,

– N

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *