Assalamualaikum semua. Buat pertama kali aku confess di sini, harapnya admin akan approve la. Aku ingin bercerita mengenai diri aku yang aku rasakan rezeki aku terlalu berat sekali, apa sahaja yang aku lakukan tidak pernah menjadi. Aku berharap pada pembaca, bolehlah bagi aku kata-kata semangat, nasihat atau mempunyai cara untuk aku baiki keadaan hidupku ini.
Selepas sebulan aku habis belajar, aku mendapatkan kerja di sebuah syarikat yang baru mula beroperasi. Alhamdulillah, rezeki aku habis belajar dan aku dapat kerja sesuai dengan bidang aku ceburi. Setelah beberapa tahun aku kerja, aku mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Habis belajar aku mendapatkan kerja dengan jawatan yang lebih tinggi.
Selepas 6 bulan bekerja, boss aku memanggil aku bagi untuk membincangkan menambahkan tempoh latihan aku selama 3 bulan lagi, bukan kerana masalah disiplin aku, tetapi kerana aku bukanlah salah seorang pekerja yang sentiasa menurut segala perintahnya (kaki kipas) walaupun benda itu salah. Hampir 3 bulan, aku diberi pilihan samada berhenti kerja dengan sendiri ataupun di buang kerja, jadi aku memilih untuk mengundurkan diri.
Di sinilah bermula kisah hidup aku yang baru, sampai aku terfikir kenapa aku diuji sebegini rupa. Setelah berhenti kerja, 2 tahun aku menganggur. Aku cuba mencari kerja, pelbagai tempat telah aku pergi untuk temuduga, tapi 1 pun tiada yang memanggil. Sampailah aku nekad untuk bekerja sebagai operator kilang sahaja. Tetapi aku hanya mampu bertahan selama sebulan kerana tidak boleh bekerja shift. Aku berhenti kerja dan mendapatkan pekerjaan yang jauh dari bidang aku pelajari. Sebulan berlalu, aku ambil keputusan untuk berhenti kerana masalah dengan pihak atasan dan kerana aku juga tidak mampu menyesuaikan diri dengan bidang baru. Sekali lagi aku terpaksa menganggur setahun lebih.
Aku dapat kerja, pun aku dapat bertahan hanya selama sebulan sahaja. Hari pertama aku masuk kerja, baru aku tahu, aku seorang sahaja yang ada dalam department aku. Aku tidak mempunyai orang atasan (manager) dan orang bawahan (operator). Sebulan aku kerja, tiada siapa pun yang mengajar aku membuat kerja. Setiap hari aku datang kerja, apa aku buat, aku akan on komputer, cari kerja kosong dan mohon. Selepas sebulan bekerja, aku mendapatkan pekerjaan lain hasil daripada pertolongan seorang kawan.
Aku ingatkan ini akan menjadi pekerjaan terakhir buat diriku, tetapi malang bagiku, aku hanya mampu bertahan hanya selama 6 bulan sahaja. Di sebabkan syarikat itu majoriti adalah non muslim, aku tidak di benarkan solat pada waktu bekerja, aku hanya di benarkan solat hanya pada waktu rehat sahaja tetapi 1 hal yang aku tidak tahu, surau akan di kunci selepas pada waktu pejabat. Jadi jika aku melakukan kerja lebih masa, aku perlu keluar solat diluar dan mengambil masa hampir setengah jam, oleh kerana jarak tempat kerja dan surau berdekatan adalah lebih kurang 10 minit. Aku pernah menyuarakan masalah aku kepada pihak sumber manusia, tapi langsung tiada apa-apa tindakan di ambil. Jadi aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja, kerana kesukaran aku untuk solat.
Untuk keberapa kalinya aku gagal dalam pekerjaan dan untuk tempoh masa yang agak lama aku menganggur, akhirnya aku dapat pekerjaan lagi. Dan masalah yang sama masih menghantui diri aku. Aku bertahan dalam tempoh lebih kurang 6 bulan, akhirnya aku berhenti kerana syarikat mempunyai masalah kewangan yang menyebabkan syarikat tidak mampu mebayar gaji pekerja sepenuhnya dan juga tidak dapat membayar KWSP kepada pekerja. Sekarang aku sekali lagi menjadi penganggur sudah hampir 3 bulan dan aku sendiri tidak tahu sampai bila lagi nasib aku akan terus sebegini.
Pelbagai cara telah aku lakukan. Aku sentiasa menjaga solat lima waktuku walau dalam apa keadaan sekali pun. Aku juga sentiasa melakukan solat sunat dhuha dan merasakan seperti 1 kewajipan pada diri aku. Setiap hari, aku juga tidak pernah lupa untuk membaca al-quran sekurang-kurangnya 1 muka surat, membaca surah al-waqiah dan al mulk pada setiap malam. Bersedekah setiap hari jumaat. Segala amalan murah rezeki telah aku lakukan, tapi aku tidak tahu kenapa nasibku sebegini. Aku tidak mampu untuk bertahan dengan 1 pekerjaan dalam tempoh melebihi 1 tahun pun dan setiap kali aku mendapatkan pekerjaan pasti akan ada masalah yang memaksa aku untuk berhenti.
Aku beruntung kerana mempunyai keluarga yang memahami diri aku. Tetapi orang sekeliling sentiasa akan memberikan tanggapan yang negatif pada aku membuatkan aku merasa sangat tertekan. Aku berasa cemburu pada rakan-rakanku yang sudah mempunyai kerjaya tetap dan memiliki harta sendiri, tetapi aku pada usia 33 tahun pada tahun ini, masih tiada apa yang dapat di banggakan pada diri aku. Aku seorang yang gagal dalam apa jua yang aku lakukan. Kadang aku rasa aku dah tak kuat untuk hadap semua ini, dan ingin menyerah sahaja.
– Ayda
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit