Hi dan assalamualaikum readers,
Bismillah, pertama kali nak menulis.
Saya kenalkan diri saya sebagai Alya, anak ke 5 daripada 6 adik beradik, dan berumur dalam lingkungan 20an. Saya masih belajar dan sedang melalui latihan industri di sebuah syarikat.
Berkenaan dengan tajuk confession ni, saya nak meluahkan isi hati yang terpendam lama sejak dari bangku persekolahan lagi berkenaan dengan ibu dan bapa saya.
Sejak dari kecil, saya ni memang bukan daripada keluarga yang bahagia, ibu ayah selalu bergaduh atas faktor ayah curang dan mempunyai perempuan simpanan,
Benda ni berulang-ulang untuk masa yang terlalu lama, dari zaman saya sekolah rendah sehingga dewasa kini.
Nak dipendekkan cerita, ketika saya SPM, ibu dapat tahu yang ayah telah berkahwin lain (secara senyap-senyap) dan perkahwinan itu dah berlangsung selama sebulan.
Mengamuklah ibu bila dapat tahu, dan itu permulaan hari hari yang lebih buruk untuk kami sekeluarga.
Saya banyak merana kerana ibu seorang yang sangat kasar.
Beliau tidak kisah untuk menyumpah seranah, untuk menghalau ayah dari rumah dan beliau juga sering memarahi saya dan berkata untuk cepat cepat habis belajar dan keluar dari rumah kerana bagi beliau hidup sendiri lebih baik.
Ibu saya sering bercerita buruk tentang ayah di depan anak-anak, dan juga di depan adik beradik ayah, hasilnya kami jadi seorang anak yang benci pada ayah sendiri dan hilang hormat terhadapnya.
Ayah memang seorang yang tidak bertanggungjawab, culas nafkah, kini ayah telah mempunyai 2 anak dengan isteri kedua.
Walaupun ketika belajar, susah untuk saya minta duit belanja pada ayah walaupun kami daripada keluarga yang senang, selama 3 tahun saya di oversea, tidak pernah sekalipon ayah bertanya khabar melalui call bahkan WhatsApp.
Hanya saya yang sering kali bertanya tentang kesihatan dan keadaan ayah.
Ayah juga pernah terlanjur beberapa kali dengan wanita-wanita lain (dan ibu sedia maklum hal ini), segalanya diceritakan kepada kami adik-beradik, bertahun-tahun didengarkan dengan segala cerita cerita buruk ayah.
Ibu juga selalu menghalau ayah dari rumah sekiranya dia dapat tahu ayah ke rumah isteri keduanya, dan mengugut ayah untuk menceraikan perempuan itu sekiranya ingin pulang ke rumah.
Disebabkan oleh ini, ayah sering ada dan tidak ada di rumah, sekiranya dia pulang kerumah, itu kerana ayah berjanji pada ibu yang dia akan menceraikan perempuan itu, dan ibu percaya.
Sedangkan ayah sudah pernah berjanji sebelum ini, tapi ketika tiba hari penyebutan cerai di mahkamah, ayah mengatakan yang dia masih sayang isteri keduanya didepan hakim, dan hakim tidak benarkan untuk bercerai asbab tiada alasan yang kukuh.
Tapi pembaca sekalian, perkara ni dah berlarutan terlalu lama, seakan-akan ayah membodohkan ibu dengan segala janji kosongnya untuk pulang ke rumah dan ibu sentiasa menerima semula dan membuka pintu walaupun telah di tipu berulang kali.
Saya tidak faham ibu, banyak kali kami adik beradik menasihatkan supaya ibu move on dengan hidup beliau dan bercerai sahaja, namun ibu tetap memilih untuk percaya pada janji sama dan memberi peluang ke sejuta kali.
Apa pendapat pembaca sekalian? Kenapa ibu masih bertahan? Bodoh atau sayang? Saya tidak faham.
Dan saya terlalu penat. Mental dan emosi, saya tidak tahan untuk melalui hidup dalam suasana rumah dan keluarga yang penuh toxic sebegini.
Kalau betul terluka, mengapa bertahan? Kalau betul sayang, kenapa perlu memupuk rasa benci pada hati anak-anak? Sedangkan pada akhirnya ibu tetap memilih untuk menerima.
Dah terlalu panjang bercerita, sekiranya ada waktu saya sambung pula di confession seterusnya.
– Alya Dalisya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit