Aku Lin (bukan nama sebenar).. Aina (bukan nama sebenar) merupakan sahabat baikku. Cerita ini disampaikan padaku dan aku kongsikan di sini.
Aina telah berkahwin dan mempunyai 3 orang cahayamata. Mempunyai seorang suami yang baik dan penyayang. Suaminya merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga dari 4 beradik.
Mula-mula nak cerita pasal Aina dulu. Aina ni dah berkahwin sejak tahun 2010. Sejak dah berkahwin dia decided untuk jadi surirumah dan jaga anak-anak. Suaminya hanya kerja biasa-biasa je. Aina pun bukan sekadar duduk di rumah sahaja, dia juga ada menjalankan bisnes online dari rumah.
Cukuplah aku katakan kehidupan mereka di bandar ni sekadar besederhana. Mereka hanya ada sebuah kereta buatan tempatan dan hanya menyewa rumah di bandar. Alhamdulillah katanya.. Tidak kaya, tetapi cukuplah jika mendapat ketenangan hati. Itupun sudah memadai pada Aina.
Baiklah ini bukan nak cerita pasal Aina.. Cerita ini lebih kepada ibu mertua Aina.
Pernah satu ketika ibu mertua datang ke rumahnya di bandar M, Aina kata.. dia teruja sangat nak tunggu ibu mertua dia datang.. Dek kerana terlampau excited tu, si Aina pergilah beli barang-barang basah dan masaklah bermacam jenis lauk untuk ibu mertuanya.
Setibanya ibu mertua dirumahnya, Aina pun pelawa ibu mertuanya makan. Namun ibu mertuanya menolak dengan alasan sudah makan di kedai sebelum tiba di rumah Aina.
Aina perasan yang ibu mertuanya ada membeli lauk yang dibungkus di kedai. Ibu mertuanya meminta Aina memanaskan sahaja lauk tu pada waktu makan malam nanti.
So.. apa jadi dengan lauk pauk yang banyak dimasak oleh Aina tu.. Aina cerita pada aku yang ibu mertuanya langsung tidak menjamah apa yang dimasak oleh Aina. Dia hanya makan lauk yang dibeli di kedai itu sahaja.
Mengenali peribadi Aina, Aina seorang yang baik, mengambil berat dan sering juga bertanya khabar aku.
Persahabatan kami sangat rapat. Apabila berkelapangan aku mesti berkunjung ke rumah Aina. Rumah Aina biasa-biasa sahaja. Tidak ada perabot yang mewah dan yang paling penting BERSIH dan kemas.
Berbalik cerita dengan kes ibu mertua Aina yang tak makan masakan Aina tu.. aku rasa kasihan dengan Aina. Masak banyak-banyak, lepas tu ibu mertua langsung tak jamah sikit pun. Takkan la ada isu kebersihan di sini..
Aku kenal Aina, takkanlah sampai hati ibu mertua tak makan. Aku ingin bersangka baik tetapi tindakan ibu mertua Aina itu aku anggap macam tak patut sangat. Tak appreciate menantu yang penat masak dan sambut ibu mertua datang.
Siapalah aku nak cakap lebih-lebih pasal ni. Hanya Aina je yang kenal ibu mertuanya berbanding aku. Rupanya kisah ini (masak untuk ibu mertua tetapi ibu mertua tak makan) dah banyak kali terjadi. Berulang kali rasanya.
Hal ini tidak pula diceritakan pada suaminya kerana bimbang berlaku pergaduhan mulut antara ibu mertua dan suaminya.
Begitu tabah Aina.. Kalau aku di tempat Aina, dah lama aku kecil hati dengan ibu mertua sendiri. Dah lah penat-penat masak. Jamah pun tidak. Tak hargai langsung penat lelah menantu tu. Hmm..
Pernah suatu ketika aku sendiri bertanyakan pada Aina.. “kau tak kecik hati ke bila mak mertua kau tak makan masakan kau?”Aina jawab.. “takpelah Lin, setakat tak makan masakan aku tu, aku tak kisah sangat.. lagipun ibu mertua aku baik, tak pernah sekalipun dia memaki aku.. ”
Aku tau layanan yang diterima oleh Aina tidaklah seperti menantu-menantu lain dalam keluarga suaminya. Aina menyedari hal itu, layanan ibu mertua agak dingin padanya sementelah Aina sedar dia bukanlah menantu pilihan ibu mertuanya.
Namun Aina tak putus asa untuk mengambil hati ibu mertuanya. Itulah yang aku puji sikap Aina. Tak cepat melatah walau ada dugaan yang datang.
Pernah suatu ketika ada kenduri yang diadakan di rumah ibu mertuanya di daerah J, ibu mertua meminta Aina dan suaminya pulang untuk membantu membuat persiapan untuk kenduri.
Seperti biasa Aina dan suaminya menjadi tulang belakang untuk kenduri itu. Bila buat kenduri kendara ni kena fahamlah.. dia punya penat memang tak boleh bawa bincang.
Seronok bila buat majlis dan jemput orang makan. Tapi bila kena bab mengemas dan membasuh, semua tugas tersebut diserahkan pada Aina dan suaminya.
Bila dengar kisah Aina ni, aku berpendapat ibu mertuanya berat sebelah. Hanya mengarahkan Aina dan suaminya sahaja untuk mengemas dan membasuh segala periuk belanga yang ada.
Ipar dan biras hanya berehat di dalam rumah. Mereka tidak boleh buat kerja-kerja orang gaji ni, sebab nanti akan jatuh standard. Yang layak buat kerja ni hanya Aina dan suaminya sahaja..
Setiap kali kenduri memang Aina dan suaminya sahaja yang jadi mangsa untuk mengemas dan membersihkan rumah ibu mertuanya.
Selagi belum selesai, mereka tidak boleh balik ke rumah sendiri. Adik beradik lain pulak dah balik dulu sebelum siap mengemas. Jadinya Aina dan suami merupakan orang terakhir yang akan balik. Perkara itu sudah biasa berlaku pada Aina.
Ada ketika suami Aina merungut kerana terpaksa membuat kerja-kerja ini pada setiap kali kenduri diadakan. Kadangkala suaminya tidak berpuas hati dengan ibunya sendiri yang suka membeza-bezakan layanan antara dia dan adik beradiknya.
Aina pernah cakap dan nasihatkan suaminya tetaplah berbuat baik dengan ibunya sendiri kerana dia merupakan anak lelaki yang wajib taat pada ibunya.
Aina ada beritahu pada aku, yang dia telah pun kehilangan ibunya ketika dia berusia 7 tahun. Maka aku tak hairanlah betapa gigihnya dia nak mengambil hati ibu mertuanya. Dia dahagakan kasih sayang seorang ibu. Dia pun nak disayangi macam orang lain jugak.
Tak tahulah ibu mertua dia ni dingin sangat pada Aina. Entah apa yang tak kena dengan Aina. Mungkinkah Aina tidak sebagus menantu-menantu lain.
Aina hanya seorang surirumah berbanding ipar-iparnya seorang doktor dan jugak peguam. Di sini aku dah nampak ada jurang antara Aina dan keluarga belah suaminya.
Pernah dia cakap kat aku.. “walaupun aku tak tahu berapa lama lagi ibu mertua aku akan terima aku sepenuhnya, tetapi aku berdoa suatu hari nanti ibu mertua aku akan menyayangi aku seperti anaknya sendiri.. aku RINDU mak aku Lin.. RINDU sangat.. ”
Weyhh.. menitik airmata aku dengar bila Aina cakap macam ni.. So please lah.. yang ada menantu yang baik macam Aina ni tolonglah jaga baik-baik. Sayangi dia seperti anak sendiri. Aina mungkin tak kaya seperti ipar dan birasnya. Jangan dibeza-bezakan layanan.
Selalunya yang hidup biasa-biasa lagi ambil berat dan boleh diharap buat kerja. Berbanding yang acah-acah kaya dan macam bagus tula yang kadangkala takda empati.
Sebenarnya ada banyak lagi kisah Aina ni, tapi cukuplah setakat ni bimbang nanti pembaca muak pula nak membaca.
Nasihat aku, kita semua sahaja, yang membezakan kita hanya amalan. Kaya dan miskin jangan dibuat jurang. Jangan dibeza-bezakan. Kerana pada akhirnya nanti kita semua akan memakai ‘baju putih’ dan apa yang kita ada di dunia ni kita akan tinggalkan..
Perbanyakkan amalan sebab itu sahaja yang akan kita bawa ke ‘alam’ sana nanti.
Hamba Allah,
– Lin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc. com/submit